Site icon MuslimahHTM News

Strategi Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik dalam Penaklukan Andalusia

[Tarikh Khulafa] Strategi Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik dalam Penaklukan Andalusia

Penulis: Nabila Ummu Anas

Andalusia adalah nama sebuah wilayah di Semenanjung Iberia. Penaklukan Andalusia merupakan projek besar dan penuh cabaran. Penaklukannya tidak sama seperti penyerbuan kawasan mana-mana di Afrika Utara. Penaklukannya memerlukan persiapan yang cukup dan masa yang cukup lama. Ini adalah kali pertama umat Islam menakluki wilayah yang besar di benua Eropah dan dipisahkan oleh laut yang sangat berbahaya.


Strategi Jitu Penaklukan

Salah seorang pemimpin pasukan umat Islam, Musa bin Nushair berunding melalui surat kepada Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik tentang penaklukan Andalusia. Khalifah yang berpusat di Damsyik membalas surat tersebut dengan memerintahkan Musa bin Nushair agar menguji beberapa batalion kecil untuk memerhatikan keadaan yang sedia ada. Dengan cara begitu, walaupun keadaan lautnya ganas, tidak semua pasukan umat Islam akan dilamun ombak. 

Ibnul Atsir menceritakan respon Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, “Kerahkan beberapa batalion sahaja dahulu. Jangan korbankan semua pasukan muslim ke dalam laut yang sangat berbahaya.” Kemudian Musa melaporkan kepada khalifah, “Itu bukan lautan luas, melainkan hanyalah selat. Tanah di belakangnya jelas kelihatan.” Namun, Khalifah Al-Walid konsisten dengan pendapatnya.

Surat-menyurat berulang antara Musa bin Nushair dan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik ini mengambil masa yang lama kerana jarak yang jauh antara Damsyik, ibu kota khalifah dan Kairouan tempat Musa bin Nushair bermarkas. Semua ini menunjukkan kewaspadaan dan langkah berhati-hati pemimpin umat Islam. Mereka tidak melangkah sebelum mengkaji semua aspek sasaran dan menyempurnakan persiapan mereka untuk meraih kemenangan.

Apabila Musa bin Nushair berusaha meminimumkan bahaya, dia mesti menjamin penyeberangan laut antara benua Afrika dan Eropah. Pasukan Islam yang ingin melintasinya mesti sentiasa dihubungkan dengan pangkalan tentera dan pusat komandonya di Afrika Utara. Rangkaian perhubungan ini mestilah selamat supaya apabila berlaku keadaan darurat yang memerlukan bantuan daripada pusat, ia dapat dipenuhi pada masa yang tepat.


Kejayaan Batalion yang Dihantar 


Musa bin Nushair menghantar pasukan Islam di bawah pimpinan Tharif bin Malik. Tharif memimpin empat ratus tentera infantri (tentera berjalan kaki) dan seratus tentera kavalri (tentera berkuda). Pasukan Tharif telah diangkut dengan empat kapal menuju ke sebuah pulau di Andalusia yang kemudian dinamakan Pulau Tarifa. Kemudian Tharif menyerbu Pulau Agreciras dan berjaya mendapat banyak ghanimah. Beliau pun kembali dalam keadaan selamat pada Ramadhan 91 H. Melihat kejayaan Tharif, umat Islam bergegas untuk melaksanakan rancangan yang berikutnya, iaitu bermulanya operasi penaklukan Andalusia.


Pertempuran Hebat 

Penaklukan itu bermula dengan mengamanahkan panji komando tentera kepada Thariq bin Ziyad untuk memimpin tujuh ribu tentera. Thariq dan pasukannya melintasi Selat (Gibraltar) dan berhenti di sebuah gunung yang kini dikenali sebagai Gibraltar (Jabal Thariq). Berlaku pertempuran yang hebat antara tentera Thariq dan tentera Goth yang menguasai gunung tersebut. Tentera Goth tepah dikalahkan dan tentera Thariq terus mendesak mereka sehingga ke bandar Cordoba.

Mendengar kekalahan tersebut, Roderic, penguasa Andalusia segera berangkat ke sana dari Toledo. Akhirnya, bertemulah pasukan Roderic dan pasukan Thariq di sebuah tempat yang bernama Syidzunah (Medina-Sidonia).

Pertempuran demi pertempuran yang sengit terjadi. Roderic sentiasa menghantar beberapa pasukan untuk menambah kekuatannya. Namun, setiap pasukan yang ditambah oleh Roderic selalu berjaya dikalahkan oleh pasukan Thariq bin Ziyad.

Tentera Islam bertambah kuat. Tentera artileri beralih menjadi tentera berkuda, lalu merebak ke semua wilayah yang dilintasi mereka. Kemenangan pasukan Thariq di Syidzunah terus maju ke kota Ecija, kemudian Thariq membahagikan pasukannya ke Cordoba, Granada, Malaga, dan Tudmir. Thariq sendiri menuju ke Jaen kemudian Toledo.

Sepanjang tahun 92-93 H, Thariq bin Ziyad bersama dua belas ribu pasukan muslim berjaya menakluki wilayah yang sangat luas. Kota-kota di Andalusia jatuh satu persatu di tangan pasukan umat Islam yang dipimpin oleh Thariq bin Ziyad. Thariq menetap di Toledo untuk menunggu kedatangan Musa bin Nushair untuk mengkaji bersama-sama keadaan yang ada dan menakluki saki-baki wilayah Semenanjung Iberia.


Menghapuskan Kezaliman


Dengan penaklukan Andalusia, maka masyarakat diselamatkan daripada kezaliman dan kesewenang-wenangan serta membebaskan mereka daripada eksploitasi dan penjajahan. Ini kerana sebelum ditakluki oleh Islam, masyarakat Andalusia berada dalam beberapa lapisan sosial yang sangat diskriminasi dan zalim. Sistem politik rosak, begitu juga kehidupan beragama jauh lebih rosak dan zalim. Dalam semua aspek kehidupan, masyarakat mengeluh, merasa dizalimi, tidak saling percaya dan hubungan penguasa dengan rakyatnya tidak harmoni.

Peperangan di Syidzunah telah menentukan perjalanan Andalusia untuk kepentingan Islam dan umat Islam. Sama seperti peperangan Yarmuk yang menentukan perjalanan negeri Syam. Perang Qadisiyah yang menentukan perjalanan negara Irak dan Perang Nahawand yang menentukan perjalanan seluruh Empayar Parsi.

Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar

#TarikhKhulafa
#StrategiKhalifahalWalid
#StrategiPeperangan
#TaklukAndalusia
#ThariqbinZiyad

Exit mobile version