Site icon MuslimahHTM News

Wahai Orang yang Berselimut (Bahagian 1/2)

[Tafsir Quran] Wahai Orang yang Berselimut (Bahagian 1/2)

Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُزَّمِّلُ ١  قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلٗا ٢  نِّصۡفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلًا ٣  أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا ٤

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”..” [TMQ Al-Muzzammil (73): 1-4]

 

Surah ini dinamakan Al-Muzammil yang diambil dari ayat pertama. Dinamakan sedemikian, yang bermaksud orang yang berselimut, kerana surah tersebut bercerita tentang Nabi Muhammad SAW pada awal turunnya wahyu. Ianya juga kerana surah ini dimulakan dengan perintah Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk meninggalkan selimut yang digunakan dan bangkit untuk menyampaikan risalah Tuhannya.

 

Surah ini dimulakan dengan perintah kepada penutup para Nabi dan Rasul agar melakukan tabligh (menyampaikan risalah) dan indzaar (memberikan peringatan) serta tidak bersantai-santai di malam hari.

 

Dalam surah ini dijelaskan tentang petunjuk-petunjuk Ilahi yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan kehidupan di tengah-tengah penyampaian dakwah serta ancaman terhadap kaum musyrik yang berpaling dan tidak mahu menerima dakwah itu. Surah ini dimulakan dengan perintah kepada Nabi Muhammad SAW agar menunaikan solat di malam hari dan membaca Al-Quran dengan perlahan-lahan untuk menguatkan jiwanya.

 

Terkait jumlah ayat, terdapat perbezaan di kalangan para ulama. Ada yang mengatakan ia berjumlah 19 ayat, ada juga yang mengatakan 20 ayat.

 

Surah ini termasuk Makiyah. Menurut Al-Hasan, Ikrimah, ‘Atha` dan Jabir, semua ayatnya turun di Mekah. Menurut Ibnu ‘Abbas ra. dan Qatadah pula, semua ayatnya turun di Mekah, kecuali dua ayat, iaitu firman Allah SWT, وَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu)…” [TMQ Al-Muzammil (73): 10]

 

Dan ayat berikutnya. Perkara ini diriwayatkan oleh Al-Mawardi.

 

Menurut Ats-Tsa’labi, kecuali ayat, إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُوْمُ “Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) …” [TMQ Al-Muzammil (73): 20] sehingga ke akhir ayat ini diturunkan di Madinah.

 

An-Nahhas meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas ra. yang berkata, Surah Al-Muzammil diturunkan di Mekah kecuali dua ayat : إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُوْمُ “Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud)…” [TMQ Al-Muzammil (73): 20]

 

Pendapat ini dapat diterima kerana di dalamnya berbicara tentang adanya kaum muslim yang berperang. Sedangkan peperangan baru berlaku pada tahun kedua dari hijrah Nabi SAW ke Madinah.

 

Asbabun Nuzul

 

Jabir ra. berkata, kaum Quraisy pernah berkumpul di Dar an-Nadwah, lalu mereka memperkatakan tentang Nabi SAW. Sebahagian dari mereka menggelar Baginda sebagai seorang “penyihir”, namun sebahagian dari mereka menyangkalnya. Sebahagian lagi menyebut Baginda sebagai “dukun”, “orang gila”, tetapi tetap sebahagian lagi menyangkalnya. Kemudian mereka berkata, “dia memisahkan seorang kekasih dengan kekasihnya” dan menyebarkan perkara itu. Berita itu sampai pada Nabi SAW lalu Baginda berselimut dengan pakaiannya. Kemudian Allah SWT menurunkan firman-Nya “Ya ayyuha Al-Muzammil, Ya ayyuha al-Muddatsir.” (HR Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jam al-Awsath).

 

Tafsir Ayat

 

Allah SWT berfirman,

يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُزَّمِّلُ ١

“Wahai orang yang berselimut (Muhammad)!”

 

Perkataan يَا pada awal ayat ini merupakan harf nidâ‘, iaitu huruf yang digunakan untuk memanggil dan mengharapkan yang dipanggil mahu menoleh atau mendengar.

 

Perkataan الْمُزَّمِّل (orang yang berselimut) berkedudukan sebagai badal atau na’t (sifat) dari kata munâdâ yang disebutkan sebelumnya: أَيُّ.

 

Yang dimaksudkan dengan al-muzzammil di sini adalah Rasulullah SAW. Tak ada perbezaan pendapat tentang hal ini. Dengan demikian, khithâb (seruan) dalam ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW.

 

Secara bahasa, perkataan الْمُزَّمِّل berasal dari kata اَلْمُتَزِمِّلُ, kemudian huruf al-tâ‘ dimasukkan ke dalam huruf al-zây. Hal itu lebih sesuai digunakan daripada mengganti al-zay dengan al-tâ‘. Sebagaimana juga kata الْمُدَّثِّرُ yang juga bentuk aslinya adalah الْمُتَدَثِّرِ (yang berselimut). Oleh kerana Ubay bin Ka’ab membacanya: اَلْمُتزمِّلُ dalam bentuk aslinya, berbeda dengan jumhur yang membaca dengan الْمُزَّمِّلُ.

 

Perkataan tersebut merupakan ism al-fâ’il dari kata التَّزَمُّلُ yang bermaksud: لَفُّفُ فِي الثَّوْبِ (berselimut dalam pakaian). Dalam kalimat: تزمَّل بثوبه, ertinya: التف به وتغطَّى (berselimut dan berselubung dengan pakaiannya). Dikatakan: زمَّل غيره, ketika: غطاه (dia menutupinya). Dengan demikian الْمُزَّمِّل bermakna اَلْمُتَلَفِّفُ بِثِيَابِهِ (yang berselimut dengan pakaiannya).

 

Patut dicatat, al-muzzammil bukan merupakan salah satu nama Nabi SAW. Di antara yang menegaskan hal ini adalah as-Suhaili. Sebutan tersebut diambil dari keadaan Baginda yang sedang berselimut ketika sedang diseru.

 

Menurut para mufasir, Baginda dipanggil demikian kerana sedang dalam keadaan berselimut. Qatadah berkata, “Orang yang berselimut dengan pakaiannya.” Aisyah dan Ibrahim al-Nakha’i juga mengatakan bahawa ayat ini diturunkan saat Nabi SAW sedang menyelimuti dirinya dengan pakaiannya.

 

Ada juga yang memaknai kata ini secara majaz. Menurut Ikrimah, makna ayat ini adalah, “Wahai orang yang berselimut dengan kenabian dan menyampaikan risalah.”

 

Ibnu Abbas ra. dalam sebuah riwayat juga mentafsirkan, “Wahai orang yang berselimut dengan Al-Quran.”

 

Menurut Ibnu Jarir ath-Thabari, pendapat Qatadah lebih tepat. Ini kerana panggilan tersebut kemudian diiringi dengan firman-Nya: قُمِ اللَّيْلِ (Bangunlah [untuk solat] pada malam hari). Itu merupakan penjelasan tentang keadaan Baginda yang sedang diselimuti pakaian untuk solat. Makna ini juga lebih jelas.

 

Panggilan kepada Nabi SAW dengan sifat tersebut, iaitu al-muzzammil (orang yang berselimut) berguna sebagai al-mulâhazhah; untuk menunjukkan sikap ramah dan lembut. Ketika orang Arab ingin menunjukkan kelembutan kepada orang yang diajak bicara dan tidak mencela dia, mereka akan menyebutnya dengan ism musytaq (kata benda bentukan) dari keadaannya pada saat itu. Itu untuk menunjukkan bahawa itu bukan teguran dan celaan. Demikian pula firman Allah SWT dalam ayat ini: يَاَيُّهَا الْمُزَّمِّل (Wahai orang yang berselimut). Ini juga menunjukkan keramahan dan kelembutan agar Baginda tidak merasa ditegur.

 

Menurut Ibnu ‘Asyur, pada asalnya an-nidâ` (panggilan) dengan menyebutkan nama al-munâdâ (orang yang dipanggil) jika namanya diketahui oleh yang berbicara. Tidak dipalingkan dari namanya ke sifat atau idhâfah kecuali ada tujuan tertentu, baik ta’zhîm wa takrîm (untuk mengagungkan dan menghormati),  seperti firman Allah SWT, (Wahai Nabi). Untuk menunjukkan kelembutan dan kedekatan, seperti ungkapan: يَا بُنَيَّ وَيَا أَبَتِ (Wahai anakku, wahai bapaku); atau untuk tahakkum (mengejek, mengolok-olok), seperti dalam firman Allah SWT,

 

وَقَالُواْ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِي نُزِّلَ عَلَيۡهِ ٱلذِّكۡرُ إِنَّكَ لَمَجۡنُونٞ ٦

“Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila”.” [TMQ Al-Hijr (15): 6]

 

Ketika orang dipanggil dengan menyebut penampilannya baik pakaiannya, cara duduknya, cara berbaringnya atau yang semacamnya, maka biasanya itu dimaksudkan untuk menunjukkan kelembutan dan kecintaan kepada dia dan pada penampilannya. Inilah yang dilakukan Rasulullah SAW ketika mendapati Ali sedang berbaring di masjid dan di pelipisnya melekatl debu. Baginda memanggil: قُمْ أَبَا تُرَابٍ (berdirilah, wahai Abu Turâb). Hudzaifah bin al-Yamani pula, Baginda panggil dengan: Abû Nawmân. Abdurrahman bin Shahr ad-Dausi, Baginda panggil dengan: Abu Hurairah. Demikian juga panggilan Allah SWT kepada Rasul-Nya dalam ayat dengan memanggil Baginda, al-muzzammil.

 

Panggilan tersebut juga memberikan faedah untuk mengingatkan kepada semua orang yang tidur berselimut pada malam hari agar mereka bangun untuk mengerjakan solat malam dan berzikir kepada Allah. Sebabnya, al-ism al-musytaq (kata bentukan) yang berasal dari al-fi’l (kata kerja) mencakup di dalamnya orang yang diseru dan semua orang yang memiliki sifat tersebut, iaitu mereka yang sedang berselimut.

 

Dengan demikian, panggilan tersebut juga tertuju kepada setiap orang yang tidur di malam hari agar memperhatikan pesanan ayat ini dengan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

Tentang penyebab Nabi SAW berselimut, ada beberapa penjelasan. Menurut Ibnu ‘Abbas, ketika Jibril pertama kali mendatangi Baginda, Nabi SAW merasa takut dan menyangka didatangi oleh jin. Baginda pun pulang dalam keadaan takut dan berkata: زَمِّلُوْنِي زَمِّلُوْنِي (Selimutilah aku, selimutilah aku!)

 

Demikianlah keadaannya ketika Jibril mendatangi dan memanggil Baginda dan berkata: يَاَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (Wahai orang yang berselimut). Menurut al-Kalbi dan al-Farra`, Nabi SAW sedang berselimut untuk bersiap mengerjakan solat.

 

Kemudian Allah SWT berfirman,

قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلٗا ٢

“Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),”

 

Perkataan قُمْ merupakan fi’l al-amr dari kata قامَ – يَقُوْمُ – قَوْمًا وَقِيَامًا وَقَامَةً (berdiri, bangun, tegak). Perkataan الْقِيَام (berdiri) yang dimaksudkan di sini adalah solat. Ini berbeza dengan perintah al-qiyâm yang terdapat pada firman Allah SWT,

 

قُمۡ فَأَنذِرۡ ٢

“Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).” [TMQ al-Muddatstsir (74): 2], yang bermakna al-syurû‘ (bersegera).

 

Dengan demikian makna قُمْ (berdirilah) di sini adalah صَلِّ (solatlah). Disebutkan demikian kerana kata qiyâm secara kebiasaannya banyak digunakan untuk menyebut solat.

 

Kata اللَّيْل merupakan lawan dari النَّهَار (siang hari), batasnya setelah terbenamnya matahari sehingga terbitnya fajar. Dalam ayat ini, perkataan tersebut berkedudukan sebagai azh-zharf (keterangan waktu).

 

Jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya, maka ayat ini bermaksud, “Janganlah kalian berselimut dan berbaring. Tinggalkanlah keadaan itu kerana ada yang lebih utama dari itu. Berdirilah untuk solat pada malam hari.”

 

Yang dimaksudkan dengan qiyâm al-layl (solat malam) menurut Al-Quran dan as-Sunnah adalah solat pada malam hari selain maghrib dan isya’. Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW bersabda,

 

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ الله الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ

“Seutama-utama puasa setelah (puasa) Ramadan adalah (puasa) bulan Allah, Muharram dan seutama-utama solat setelah (salat) fardu adalah solat lail.” (HR Muslim)

 

Dalam hadis tersebut disebutkan bahawa solat malam bukan solat fardu. Dalam hadis lain juga disebutkan bahawa qiyâm al-layl menunjuk dua solat, iaitu solat witir dan solat tahajjud.

 

Menurut Ibnu Katsir dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk meninggalkan selimut yang menutupi dirinya di malam hari, lalu bangun untuk menunaikan ibadah kepada Tuhannya dengan melakukan qiyamullail.

 

Tentang ayat ini, Muhammad Ali ash-Shabuni berkata, “Tinggalkan selimut dan bangkitlah melakukan solat malam serta bangun dalam beberapa saat untuk beribadah kepada Tuhanmu supaya tetap bersedia untuk menanggung perkara yang agung, penting lagi berat iaitu aktiviti menyampaikan dakwah Tuhanmu kepada manusia dan memberikan khabar gembira kepada mereka tentang agama yang baru, kemudian menjelaskan poros yang semestinya dikitari dalam beribadah kepada Allah SWT.”

 

Kemudian disebutkan إِلاَّ قَلِيلاً (kecuali sebahagian kecil). Ini merupakan istitsnâ‘ (pengecualian) dari kata al-layl (malam hari) yang disebutkan sebelumnya. Maksudnya, “Solatlah di waktu malam kecuali hanya sebentar saja.” Sebab, berdiri mengerjakan solat terus-menerus merupakan hal yang tidak mungkin sehingga dikecualikan sedikit waktu untuk mengistirahatkan badan.

 

Secara bahasa, kata al-qalîl bermaksud kurang dari separuh atau setengah. Menurut Wahab bin Munabbih, ia di antara sepersepuluh dan seperenam. Menurut al-Kalbi dan Muqatil mengatakannya sepertiga. Wallahualam bissawab.

 

Bersambung ke bahagian 2/2

 

#TafsirAlQuran

Exit mobile version