Site icon MuslimahHTM News

Benarkah Kita Telah Berkorban untuk Dakwah?

 [Nafsiyah] Benarkah Kita Telah Berkorban untuk Dakwah?

 

Apakah itu berkorban? Berkorban bermaksud mencurahkan segala keikhlasan dan kemampuan untuk mencapai sesuatu perkara yang ingin dicapai.

 

Pengorbanan hakiki perlu ada dalam setiap Muslim yang benar-benar ingin mendapat keredhaan Allah Swt. Tanpa pengorbanan, keinginan hanya akan menjadi angan-angan kosong.

 

Pendakwah juga perlu benar-benar berkorban. Sebagai contoh, apabila orang lain berkumpul dengan keluarga untuk bercuti setiap hujung minggu, seorang pendakwah jarang menikmatinya. Setiap jadual percutian penuh diisi dengan perbincangan, pengajian dan pelbagai lagi acara dakwah.

 

Bukan itu sahaja, bagi seorang suami yang bergelar pejuang Islam, selepas pulang dari kerja, dia tetap berusaha untuk menjalankan aktiviti dakwah, walaupun hari sudah malam. Setiap hari menziarahi aktiviti dakwah demi menjalinkan ukhuwah sesama Islam. Isteri dan anak-anaknya kerap ditinggalkan.

 

Penat lelah sudah menjadi perkara biasa dalam aktiviti mencari rezeki dan berdakwah. Sebahagian daripada hasil pendapatan itu diperuntukkan untuk dakwah. Angin malam seolah-olah berkawan dengan pejuang Islam. Tenaga dan pemikiran juga hanya difokuskan kepada pembangunan dakwah Islamiah.

 

Oleh itu, antara yang utama dalam hidup ialah pengorbanan. Setiap daripada kita perlu berkorban. Pengorbanan adalah perkara utama yang perlu dilakukan untuk mencapai kejayaan. Siapa pun anda yang masih teragak-agak untuk berkorban, yakinlah sikap sebegitu akan melengah-lengahkan kejayaan dalam dakwah.

 

Persoalan retorik yang cukup untuk kita jawab, “Betulkah kita berkorban untuk dakwah?” Jika kita menelusuri dari mana kita berasal, untuk apa kita hidup, dan ke mana kita ingin pergi selepas kehidupan dunia, kita akan peroleh jawapan bahawa kita diciptakan oleh Allah. Menyembah-Nya dan akan kembali kepada-Nya.

 

Justeru, adakah kita benar-benar telah melakukan banyak pengorbanan untuk agama-Nya? Sedangkan diri kita, nyawa kita, dan segala yang ada pada diri kita adalah anugerah Allah Swt. Malah dengan berani dan yakin kadang-kadang kita berkata, “Aku telah banyak berkorban untuk dakwah, maka mengapa masih ada tuntutan terhadapku dalam dakwah?”

 

Sesungguhnya kita akan tunduk malu jika kita menghitung pelbagai nikmat Allah yang kita perolehi. Sedangkan kita tidak banyak berkorban untuk dakwah. Melaksanakan aktiviti dakwah adalah sebahagian daripada kewajipan melaksanakan dakwah. Menjalankan amanat dakwah juga adalah kewajipan kita kepada Allah Swt. Membelanjakan harta ke jalanNya juga merupakan sebahagian daripada amal soleh yang diperintahkan oleh Allah Swt.

 

Kemudian, menyebut kebaikan yang dilakukan dengan mengatakan bahawa mereka telah menghabiskan banyak masa dalam aktiviti dakwah. Telah menyeru orang ramai dan membelanjakan wang yang banyak di jalan dakwah. Padahal itu semua kewajipan kita sebagai Muslim dan pembawa dakwah di hadapan Allah Swt.

 

Jika kita mengira-ngira semua itu sebagai satu bentuk pengorbanan, cuba bandingkan dengan apa yang dilakukan oleh para sahabat Nabi.Saidina Ali ra. yang sanggup menjadi perisai bagi Rasulullah, walaupun kedudukan Rasul hampir dibunuh oleh orang kafir Quraisy. Mus’ab bin Umair, seorang pemuda yang kaya dengan harta boleh hidup mewah dan manja. Namun, Mus’ab meninggalkan segalanya untuk Islam. Beliau mendapat amanat daripada Rasulullah untuk pergi ke Madinah untuk mengembangkan Islam di sana.

 

Para sahabat Nabi Saw. memahami tanda aras untung rugi bagi seorang mukmin. Tidak ada faedah (manfaat) yang lebih besar daripada syurga, dan tidak ada bahaya yang lebih besar daripada neraka. Menunaikan perintah Allah Swt. benar-benar lebih besar daripada nyawa, harta, tanah, kampung halaman, keluarga, kedudukan, dan lain-lain.

 

Oleh itu wahai saudariku, bagi sesiapa yang mendambakan kembalinya kemenangan dan kemuliaan Islam dan umatnya, tiada cara lain melainkan mentaatiNya dengan penuh pengorbanan. Akhirnya, kita mendapat pujian Allah Swt. dan keredhaan-Nya.

 

Firman Allah Taala, “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha luas, Maha Mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah (2): 261]

 

Kita juga diingatkan Allah atas firman-Nya, “Katakanlah, ‘Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” [TMQ At-Taubah (9): 24]

 

Saudaraku, jika sikap enggan berkorban ada dalam dirimu, bersegeralah memohon perlindungan dari Allah Swt. daripada syaitan yang terkutuk itu. Apabila kita merasa letih dalam perjuangan, ditimpa kesusahan, atau perkara lain yang menyesakkan, katakan pada diri sendiri, “Wahai hamba Allah, ini adalah pengorbanan yang perlu kamu lakukan!”

 

Semoga Allah menjadikan syurga firdaus sebagai tempat kita kembali. Kita juga boleh berkata di hadapanNya, “Ya Allah, ini adalah diri kami dan harta kami sebagai pengorbanan demi akidah Islam dan ketaatan kepadaMu.” Amin.

 

Sumber:

[Nafsiyah] Benarkah Telah Berkorban untuk Dakwah?

 

 

#Nafsiyah #pengorbanan #dakwah #perjuangan #dakwahislamkaffah

 

Exit mobile version