Site icon MuslimahHTM News

Mengapa Hati Kita Tidak Tunduk Kepada Al-Quran?

[Nafsiyah] Mengapa Hati Kita Tidak Tunduk Kepada Al-Quran?

 

Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman

 

Al-Quran adalah kalam Allah. Ketika Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ia bukan hanya untuk baginda, tetapi juga untuk para sahabat, kita, dan seluruh umat manusia. Sesungguhnya, Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk menjadi petunjuk (hudan), berita gembira (busyra), ubat (syifa’), dan bentuk kasih sayang (rahmat) Allah kepada kita.

 

Malangnya, semua itu adakalanya tidak membuatkan kita tersentuh, cair, menggigil, dan berlutut kepadaNya Allah SWT berkata,

لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللهِ، وَتِلْكَ الأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُوْنَ

“Sekiranya kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, tentulah kamu akan melihatnya (gunung itu) tunduk dan hancur luluh kerana takut kepada Allah. Itulah contoh-contoh yang kami gunakan untuk membuat mereka berfikir.” [TMQ (59) Al-Hasyr: 21]

 

Hanya gunung-ganang yang tidak diberi akal, jika diturunkan kepada mereka Al-Quran pasti tunduk dan runtuh. Kenapa manusia yang diberi akal, hati, dan perasaan tidak mahu tunduk, menggigil, dan melutut? Malaikat cemburu kerana Al-Quran tidak diturunkan kepada mereka. Sehinggakan mereka mendengar bacaan Al-Quran yang kita baca. Sangat wajar, jika Allah memberi gelaran manusia yang fikiran, hati, dan perasaannya tidak tersentuh oleh Al-Quran dengan hati yang keras seperti batu, malahan lebih keras dari batu.

 

Persoalannya, apakah sebenarnya yang menghalang akal, hati, dan perasaan manusia tersentuh oleh al-Quran?

 

Dalam kitabnya Al-Fawaid, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah memberikan jawapan. Apabila kita mendengar Al-Quran dibaca, maka bukalah telinga, hati dan fikiran kita, kemudian dengarlah dengan teliti setiap perkataan, kalimah, dan ayat yang dibaca. Hadirkan fikiran dan kesedaran kita, dan bayangkan bahawa Allah SWT sedang bercakap dengan kita dan memanggil kita. Hadirkanlah Zat yang Maha Berkata-kata di hadapan kita, nescaya kita akan khusyuk dan tidak bergerak. Begitulah yang dialami oleh para sahabat Nabi sehingga apabila ada di antara mereka yang membaca al-Quran, sekurang-kurangnya hati mereka bergetar, menangis, malah ada yang pengsan.

 

Begitu juga apabila kita membacanya. Hadirkanlah hati, fikiran, kesedaran, dan perasaan kita, bahawa yang kita baca bukanlah ucapan manusia, tetapi ayat Allah SWT, kekasih kita yang kekal abadi. Begitulah para sahabat memandang Al-Quran. Al-Quran, menurut Al-Hasan, dilihat oleh mereka sebagai surat cinta yang datang dari Kekasih, Allah Azza Wa Jalla. Maka wajarlah jika mereka juga membacanya dengan penuh kasih sayang, sambil duduk, berbaring, dan berdiri.

 

Dengan membuka mata, telinga, hati, fikiran, dan perasaan, maka semua itu tertumpu untuk menerima dan menghadam isi kalamNya. Maka hati, fikiran dan perasaan kita akan hanyut dengan keajaiban kata-kataNya, kalimat-kalimatNya, dan ayat-ayatNya. Begitulah Al-Quran. Allah SWT. juga berkata,

 

إِنَّ فِي ذَلِكَ لَذِكْرَى لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيْدٌ

“Sesungguhnya yang demikian itu adalah peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati, atau menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” [TMQ Qaf (50): 37]

 

Mata, telinga, hati, fikiran, dan perasaan kita tidak bermakna jika Al-Quran tidak digunakan sebagai peringatan. Jika semua itu tidak dihadirkan dan tidak digunakan untuk mencerna, memahami, dan menghayati kandungannya.

 

Oleh itu, Al-Quran diturunkan kepada kita untuk dibaca, didengari, dihafal, difahami, dihayati, diamalkan, dan ditegakkan hukum-hukumnya. Itulah hak Al-Quran yang wajib kita tunaikan. Jika tidak, kita juga akan menjadi orang-orang yang akan diadukan oleh Rasul kepada Allah SWT.

 

وَقَالَ الرَّسُوْلُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوْا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُوْرًا

Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu benda yang ditinggalkan”. [TMQ Al-Furqan (25): 30]

 

Menurut Ibn al-Qayyim Al-Jauziyyah maksud “Ittakhadzu hadza Al-Quran mahjura” (Mereka menjadikan Al-Quran ini ditinggalkan) apabila Al-Quran tidak pernah dibaca, apabila dibaca tidak memahami maknanya. Apabila dibaca dan difahami maksudnya, tetapi kandungannya tidak diamalkan, dan hukumnya tidak ditegakkan.

 

Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang diadukan oleh Rasulullah SAW kepada Allah SWT.. Amin.

 

 

#Nafsiyah #hati #alQuran

 

Exit mobile version