Site icon MuslimahHTM News

Peranan Ulama Rabbani dalam Usaha Menegakkan Negara Khilafah Rasyidah (Bahagian 2)

[Tsaqafah] Peranan Ulama Rabbani dalam Usaha Menegakkan Negara Khilafah Rasyidah (Bahagian 2)

Penulis: Ustaz Yasin Muthohar

 

Ulama adalah pewaris para nabi. Mereka bersifat rabbani (pengabdi Allah) sebagaimana yang disifati dalam Al-Quran. Allah berfirman, “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” [TMQ Ali-Imran (3): 79]

 

Ar-Razi menyebutkan definisi “rabbani” adalah sebagai “pendorong semua perbuatan (baik)nya adalah redha Allah, serta penghalang semua perbuatan (buruk)nya adalah takut akan azab Allah.”

 

Ibnu Asyur (dalam tafsirnya) berkata, “Maksud dari kata-kata “jadilah orang-orang yang rabbani” adalah, “jadilah orang-orang yang bersandar kepada Tuhan iaitu Allah semata.” Kerana bersandar kepada sesuatu adalah bertujuan untuk menambah kekhususan orang yang bersandar (mansub) terhadap apa yang disandarkan padanya (mansub ilaihi). Maksudnya, agar mereka (para rabbani) menjadi orang-orang yang ikhlas dan hanya bersandar kepada Allah tanpa selain-Nya.”

 

Imam Qurthubi berkata tentang tafsir ayat ini, “Bentuk tunggal ‘rabbaniyyun” adalah ‘rabbaniy’ dan ia memiliki hukum nisbah kepada Rabb atau Tuhan. Orang-orang yang bersifat rabbani adalah mereka yang mengajarkan ilmu-ilmu asas kepada masyarakat sebelum mengajarkan ilmu-ilmu yang lebih dalam. Orang-orang rabbani seolah meneladani Allah dalam memudahkan urusan manusia.” (Diriwayatkan maknanya dari Ibnu Abbas)

 

Sebahagian ulama berkata, “Asal katanya adalah ‘Rabbiyun’, kemudian ditambahkan huruf alif dan nun untuk memberi makna mubalaghah (hiperbola). Sebagaimana orang yang memiliki banyak janggut disebut ‘lihyaniy’ (لحياني), orang yang berambut lebat disebut ‘jummaniy’ (جماني), dan orang yang berleher tebal disebut ‘ruqbaniy’ (رقباني).

 

Al-Mubarrad berkata, “orang-orang rabbani adalah para ahli ilmu. Bentuk tunggalnya adalah ‘rabban(u)’, dan asal katanya adalah ‘rabbahu-yurabbihi’ yang bermaksud memelihara atau mengurusnya (objek). Pelakunya disebut ‘rabbanu’, apabila dia dapat mengurus dan mengaturnya (objek). Berdasarkan makna ini, ‘rabbanun’ (bentuk plural dari ‘rabbanu’) bermaksud orang-orang yang menjaga urusan masyarakat dan memperbaiki keadaan mereka. Kemudian, kata ini ditambah huruf ‘ya’ nisbah (menjadi ‘rabaniy’) sebagaimana lihyaniy, ruqbaniy dan jummaniy.

 

Oleh kerana itu, dapat disimpulkan bahawa maksud “rabbani” adalah ‘orang yang ahli dalam agama Allah serta yang mengamalkan ilmu tersebut’, kerana orang yang tidak mengamalkan ilmunya tidak boleh dikatakan sebagai seorang alim (ahli ilmu).

 

Mujahid berkata, “orang-orang rabbani berada di atas para pendeta.” An-Nahas berkata -dan ini adalah perkataan yang baik-, “Hal tersebut adalah kerana para pendeta adalah ahli ilmu, sementara rabbani adalah ahli ilmu yang memadukan ilmunya dengan politik. Dikutip dari perkataan orang Arab, “memelihara urusan masyarakat bermaksud memperbaiki keadaannya dan menerapkan aturannya.” Pelakunya disebut ‘raabb(un)’ yang bermaksud pemelihara dan ‘rabbani’ adalah bentuk melebih-lebihkannya (untuk orang yang terus-menerus melakukannya.)”

 

Abu Ubaidah berkata, “Aku mendengar seorang ahli ilmu berkata, ‘Rabbani adalah orang yang mengetahui halal dan haram, perintah dan larangan serta mengetahui tentang khabar umat terdahulu serta yang akan datang.'”

 

Muhammad bin Hanafiyah berkata di hari wafatnya Ibnu Abbas, “Rabbani umat ini telah meninggal.”

 

Hari ini, betapa perlunya kita terhadap ulama rabbani yang berpolitik dimana mereka bekerja siang dan malam untuk memperbaiki keadaan umat serta mengeluarkan umat dari kegelapan menuju cahaya. Mereka adalah orang-orang yang berjuang untuk menerapkan syariat Islam serta menyatukan umat di bawah naungan Khilafah.

 

 

Peranan Ulama dalam Khilafah

 

Saat Khilafah Islamiyah masih ada, para ulama berperanan penting dalam memuhasabah penguasa, mengarahkan serta menjaga mereka dalam jalan kebenaran. Kerana itulah, ulama berkata, “Raja adalah penguasa rakyat, sedangkan ulama adalah penguasa raja.”

 

Seorang penyair berkata, “Di atas kertas, orang-orang besar berkuasa dan terhadap mereka, para ulama berkuasa.”

 

Dalam sejarah Khilafah Islamiyah yang panjang, banyak terukir tindakan berani para ulama terkait peranan dan ketegasan mereka terhadap penguasa. Peranan tersebut diselimuti kejujuran, keberanian dan ikhlas semata kerana Allah dan agama-Nya. Mereka adalah bintang terang yang menuntun rakyat dan para penguasa di kala gelapnya kehidupan.

 

Para ulama pada masa itu menampakkan kemuliaan Islam serta menegaskan hakikat syariat Islam yang murni. Mereka tegas saat berhadapan dengan penguasa yang menyimpang (walaupun hanya sedikit), juga dalam mengurus semua urusan negara yang diatur oleh penguasa (dan urusan yang ditaati oleh rakyat).

 

Para ulama tersebut menunjukkan kepada seluruh dunia bentuk keteguhan iman kepada syariat dan ia tercermin pada seruan dan khutbah-khutbah mereka. Mereka bertahan dengan sabar dan berani sebagai hasil dari menyuarakan kebenaran di depan penguasa zalim. Mereka tidak gentar akan kekuatan penguasa, negara bahkan ketenteraan. Hal ini tidaklah mengejutkan kerana mereka adalah para pemegang panji syariat Islam yang sebenarnya.

 

Sejak dahulu, para penguasa zalim yang meneruskan pemerintahan Islam tidak pernah mempergunakan para ulama soleh untuk melaksanakan keinginan mereka atau sekadar berjalan di jalan bengkok mereka walaupun para ulama tersebut telah diseksa dan ditekan agar mereka dapat dikuasai.

 

Bagaimana tidak, Allah telah melarang para ulama dan kaum muslim untuk berpihak kepada mereka sebagaimana firman-Nya, Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” [TMQ Hud (11): 113]

 

Kerana itulah, kita dapat tahu, para ulama tersebutlah yang memuhasabah penguasa dan mengingkari perbuatan jahat, perilaku buruk dan dusta mereka. Kita juga menemukan para ulama yang menasihati para penguasa, menolak hadiah dan bersabar terhadap dugaan mereka.

 

Di antara mereka juga ada yang berhadapan dengan konfrontasi secara terang-terangan tanpa ada keraguan, kekhuatiran dan basa-basi sedikit pun. Untuk Allah, mereka tidak takut terhadap celaan sesiapa pun.

 

Contohnya adalah seperti berikut :

 

Imam Bukhari meriwayatkan hadis dari jalur Abu Sa’id al-Khudri, ia berkata, “Aku pergi dengan Marwan, Gabenor Madinah pada hari Aidiladha atau Aidilfitri. Saat kami berjalan menuju masjid, terlihat di sana sebuah mimbar yang dibangun oleh Katsir bin Ash-Shalt. Marwan ingin menaiki mimbar tersebut (untuk berkhutbah raya) sebelum solat dilaksanakan. Aku pun menarik bajunya dan dia menariknya kembali. Kemudian Marwan menaiki mimbar dan berkhutbah. Lalu aku berkata kepadanya, “Demi Allah, kamu telah mengubahnya.” Dia menjawab, “Wahai Abu Sa’id, telah dihapuskan apa yang kamu ketahui.” Aku berkata, “Demi Allah, apa yang aku ketahui lebih baik dari apa yang tidak aku ketahui.” Marwan berkata, “Sesungguhnya orang-orang tidak duduk untuk mendengar khutbah setelah selesai, maka aku jadikan ia sebelum dilaksanakan solat.” Lafaz dalam riwayat Imam Syafie, “Wahai Abu Sa’id, apa yang kamu ketahui telah ditinggalkan.”

 

Ketika Khalifah Harun ar-Rasyid pergi ke Madinah untuk mengunjungi makam Rasulullah SAW dan juga Masjid Nabawi, dia melihat Imam Malik sedang mengajar kemudian berkata, “Wahai Malik, bagaimana menurutmu apabila kamu datang dan mengajar di rumah kami?” Imam Malik berkata, “Wahai Harun, sungguh ilmu itu tidak datang, melainkan didatangi.” Harun berkata, “Kami benar wahai Imam Dar al-Hijrah. Aku akan mendatangimu ke Masjid.” Lalu Imam Malik berkata kepadanya, “Wahai Harun, jika engkau terlambat datang, maka aku tidak akan mengizinkanmu untuk melalui majlis (duduk di bahagian depan).” Harun ar-Rasyid berkata, “Aku dengar dan aku patuh.”

 

Ketika Imam Malik mula mengajar setelah solat Asar, Harun ar-Rasyid memasuki masjid dan seorang lelaki masuk bersamanya lalu menempatkan kerusi untuknya. Imam Malik melihat Harun duduk di kerusi di dalam masjid, kemudian beliau pun menggantikan bahan mengajarnya dan berkata, “Rasulullah SAW bersabda, ‘Siapa yang tawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengangkat (darjat)nya. Dan siapa yang sombong, maka Allah akan merendahkannya.” Harun ar-Rasyid mengerti maksud hadis tersebut kemudian dia memerintahkan agar kerusi itu diambil lalu dia duduk di tanah sebagaimana murid yang lain duduk.

 

Kemudian, Harun mendatangi Imam Malik (sebelum dia safar) dan memberinya hadiah. Harun berkata, “Wahai Malik, ambillah hadiah ini! Ia berharga 400 dinar.” Imam Malik berkata kepada Harun, “Maaf wahai Amirul Mukminin, aku tidak layak menerima sedekah dan aku tidak menerima hadiah.” Harun bertanya kepadanya, “Mengapa kamu tidak menerima hadiah sedangkan Nabi SAW menerima hadiah?” Malik berkata, “Aku bukanlah seorang Nabi.” Kemudian Harun menjawab, “Ambil wang ini dan berserah dirilah pada Allah.” Kemudian Harun ar-Rasyid mengundang Imam Malik untuk mengunjungi Baghdad, Ibu kota Kekhalifahan Abbasiyah saat itu. Imam Malik menolak dan berkata, “Demi Allah, saya tidak redha ada orang lain di sisi (kuburan) Rasulullah.”

 

Di dalam pasukan Ibnu al-Asy’ats, terdapat ramai para ulama, fikaha dan penghafal Al-Quran yang keluar untuk berjihad dan menolong agama Allah SWT. Di antaranya adalah Said bin Jubair, Thalhah bin Habib, Mujahid bin Jabr, Asy-Sya’bi, Ibnu Abi Laila serta para ulama dan masyayikh lain pada masanya, terutamanya yang berasal dari Irak.

 

Para ulama dan qurra’ tersebut menyatakan dukungan mereka kepada Ibnu Al-Asy’ats untuk melawan Hajjaj sang diktator yang kejahatannya kepada kaum muslimin telah melampaui batas. Sokongan maknawi dari para ulama ini memberikan pengaruh besar pada revolusi Ibnu Al-Asy’ats. Disebabkan itu, kaum muslim dari berbagai penjuru bergabung dengan pasukan Ibnu Al-Asy’ats, ditambah dengan Hajjaj yang sememangnya dibenci oleh seluruh rakyatnya.

 

Syeikh Izzuddin bin Abdissalam -yang digelar “Sultan al-ulama” (pemimpin para ulama)- memiliki sikap luar biasa (yang kelihatan padanya sifat jujur dan cahaya petunjuk). Suatu ketika, beliau keluar dari Baitul Maqdis menuju Mesir dan dia didatangi oleh Sultan Najmuddin Ayyubi. Sultan menjamunya dengan baik serta memberikannya kedudukan dan tanggungjawab yang penting dalam ranah politik.

 

Sultan Najmuddin merupakan seorang yang luhur dan mulia. Hanya saja, di sisi lain, dia merupakan seorang diktator yang kejam dan dahagakan penghormatan. Tidak ada seorang pun yang boleh berbicara di hadapannya. Dia tidak memberikan keringanan pada siapapun dan hanya menjawab hal yang ditanyakan.

 

Syeikh Izzuddin bin Abdissalam pernah datang menemui Sultan Najmuddin Ayyub pada hari raya di istana. Beliau kelihat para tentera dan dewan kerajaan berbaris di samping Sultan dan menunduk padanya. Kemudian Syeikh Izzuddin berdiri seraya menegur Sultan dengan keras dan dia menempelak perbuatan rakyat sang Sultan tersebut.

 

Beliau berkata, “Wahai Sultan, bagaimana kamu boleh mengizinkan jual beli khamar di dalam negeri?” Ketika itu, Syeikh Izzuddin menyebut berbagai kebatilan yang berlaku dengan keras dan tegas. Sultan pun menjawab, “Inilah yang saya dan dahulu ayah saya lakukan.” Syeikh berkata kepada Sultan, “Anda adalah salah satu dari mereka yang Allah katakan di dalamnya, “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”. [TMQ Az-Zukhruf (43): 23]

 

Kemudian, Sultan berdiri seraya memberi perintah untuk menghapuskan semua kebatilan yang telah disebutkan oleh Syeikh Izzuddin. Dia memerintahkan untuk menutup bar-bar, untuk tidak menunduk di hadapannya serta menghilangkan segala bentuk kemungkaran.

 

Al-Baji berkata, “Ketika berita itu tersebar, aku bertanya kepada guruku mengenai perbuatan Sultan, ‘Wahai Tuan Guru, bagaimana keadaannya?’ Guruku berkata, ‘Wahai Anakku, aku melihatnya dalam keagungan, maka aku ingin menghinakannya agar dia tidak sombong dan mencelakakan dirinya.’ Al-Baji berkata, ‘Wahai guruku, tidakkah engkau takut?’ Beliau menjawab, ‘Demi Allah wahai Anakku, aku melihat kemuliaan Allah, maka Sultan di hadapanku hanya bagaikan seekor kucing.'”

 

[Bersambung ke bahagian 3]

 

#Tsaqafah #rabbani #perananulama

Exit mobile version