[FIKRUL ISLAM] Analogi Akal (Qiyas ‘Aqli) (Bahagian 1/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Akal akan memberikan keputusan hukum yang sama terhadap permasalahan yang hampir serupa. Wajar, jika qiyas (analogi) dijadikan sebagai perkara yang ada di antara dua hal yang memiliki wajh asy-syibhi (aspek yang sama). Akal juga akan memberikan keputusan hukum yang berbeza terhadap permasalahan yang berbeza.
Kenyataan ini berbeza dengan analogi syariat (qiyas syarie). Syariat Islam, dalam banyak keadaan seringkali memberikan hukum secara berbeza di antara hal-hal yang seakan sama. Begitu juga sebaliknya, iaitu memberikan hukum yang sama di antara hal-hal yang berbeza.
Syariat Islam, contohnya, telah memberikan kedudukan yang berbeza bagi waktu yang sama (seperti malam) sehingga ia mengutamakan malam Lailatul qadar berbanding malam-malam yang lain. Syariat Islam memberikan status yang berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Contohnya seperti mengutamakan Mekah dari Madinah dan mengutamakan Madinah dari tempat-tempat lainnya. Syariat membeza-bezakan solat-solat dalam qasar, solat-solat yang empat rakaat diqasar menjadi dua rakaat, sedangkan solat yang tiga rakaat dan dua rakaat tidak diqasar.
Dalam masalah ini, akal tidak boleh membuat alasannya sendiri. Syariat Islam telah mewajibkan mandi jika keluar air mani dari seorang lelaki, sedangkan ia suci dan disucikan. Tetapi, mandi tidak diwajibkan jika terkeluar air mazi. Sedangkan, baik air mani ataupun air mazi, keduanya keluar di tempat yang sama. Syariat Islam juga menetapkan iddah (masa kembali) wanita yang telah bercerai adalah selama tiga quru’ (tiga kali suci/tiga kali haid), sedangkan iddah wanita yang ditinggal mati oleh suaminya adalah 4 bulan 10 hari, sedangkan keadaan rahim keduanya adalah sama.
Syariat Islam acap kali menyamakan fungsi air dan tanah dalam taharah (bersuci), sedangkan air itu fungsinya membersihkan dan tanah pula mengotori. Syariat Islam juga telah menetapkan hukum yang sama, iaitu hukuman mati bagi penzina muhsan, orang yang membunuh dengan sengaja dan orang yang murtad dari agamanya sedangkan ketiga-tiganya berbeza.
Syariat Islam juga telah menjelaskan hukum-hukum yang tidak dapat difahami oleh akal seperti mengharamkan pertukaran emas dengan emas secara tafadhul (timbangan berbeza) atau secara nasi’ah (ada tambahan), mengharamkan penggunaan emas dan sutera bagi lelaki tetapi tidak untuk wanita, mengharamkan riba tetapi menghalalkan jual beli, membolehkan kesaksian orang kafir dalam wasiat, tetapi mewajibkan kesaksian orang muslim dalam masalah ruj’ah.
Atas dasar ini, wajar jika Ali bin Abi Thalib ra. pernah berkata, “Seandainya agama itu diambil berdasarkan akal, mengusap kasut di bahagian dalam tentu lebih tepat daripada mengusap kasut di bahagian luarnya.”
Demikianlah beberapa ketentuan akal yang perlu dimiliki oleh sebuah jemaah/parti dakwah yang beraktiviti mengembalikan kehidupan Islam. Di dalam tsaqafah yang diambilnya, jemaah/parti dakwah perlu dapat menjelaskan bagaimana sepatutnya sebuah realiti difahami sekaligus memaparkannya kepada masyarakat agar mereka benar-benar memahami hakikatnya.
Jemaah/parti dakwah juga perlu menentukan sejumlah sumber hukum syariat mengikut berbagai kaedah usul-nya, kemudian mengangkatnya dan memahamkannya kepada para pemuda kerana proses pembentukan pola fikir mereka wajib lahir dari kaedah-kaedah seperti ini. Hal seperti ini merupakan bahagian dari tsaqafah jemaah/parti.
Jemaah/parti dakwah juga perlu mengangkat tsaqafah-tsaqafah dasar yang digali dari proses berfikir (aqliyah) yang dapat menjaga kejernihan wahyu dan kesucian pemikiran serta menjauhkan segala apa yang mengeruhkannya seperti kaedah : La yunkaru taghayyur al-ahkam bi taghayyur az-zaman wa al-makan (tidak dapat diingkari perubahan hukum kerana adanya perubahan waktu dan tempat); Adh-Dharurat tubih al-mahzhurat (Segala yang darurat membolehkan yang haram) dengan seluruh pengertiannya); Ad-Din marin wa mutathawwarun (Agama itu elastik dan dinamik); atau Haytsuma kanat mashlahah fa tsamma syar’ullah (Di mana ada kemaslahatan di situ ada hukum Allah).
Inilah yang wajib diangkat oleh sebuah jemaah/parti dakwah sebagai landasan berpijaknya yang akan menentukan cara pandang dan pemahamannya terhadap syariat sebelum mengangkat hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan aktivitinya. Dalam hal ini, jemaah/parti dakwah hendaknya bersikap konsisten dalam mengikutinya sehingga Allah meredhainya.
Terkadang, ada banyak ijtihad dalam satu masalah tertentu. Bagaimana untuk bersikap dalam realiti seperti ini adalah jemaah/parti dakwah wajib untuk mengangkat satu ketentuan hukum syariat dalam satu masalah yang diperselisihkan (mas’alah khilafiyah) berdasarkan kekuatan dalil dan penetapannya.
Setelah itu, jemaah/parti dakwah memahami pokok dan hukum cabangnya. Dengan begitu, para anggotanya akan menerapkannya, lalu terjun ke medan juang dengan hukum-hukum yang difahaminya dan mendiskusikannya, mengajak orang lain agar menerapkannya berdasarkan hujah dan keyakinan sebagaimana dirinya serta berusaha untuk mencapai tujuannya. Jika hal ini tidak dilakukan, jemaah/parti dakwah pasti akan mudah dicampakkan secara pemikiran dan mengalami kebingungan dalam cara geraknya.
Bersambung ke bahagian 2.
#FikrulIslam

