[Fikrul Islam] Akidah Islamiyah
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Akidah Islamiyah telah memecahkan ‘uqdat al-kubra (permasalahan besar) yang ada pada manusia. Akidah Islam juga mempunyai jawapan atas pertanyaan-pertanyaan manusia iaitu Islam telah menjelaskan bahawa alam semesta, manusia, dan kehidupan adalah ciptaan (makhluk), manakala pencipta bagi alam semesta, manusia dan kehidupan di dunia ini ialah (Al-Khaliq), iaitu Allah Swt., dan selepas kehidupan di dunia ini akan ada hari kiamat.
Hubungan antara kehidupan dunia dengan apa-apa yang ada sebelum kehidupan dunia adalah ketundukan manusia terhadap perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya, sedangkan hubungan antara kehidupan dunia dengan apa-apa yang ada sesudah kehidupan dunia adalah adanya hari kiamat yang di dalamnya terdapat pahala dan seksa, serta syurga dan neraka.
Al-Quran dan hadis telah menetapkan rukun-rukun akidah ini. Allah Swt. berfirman,
اٰمَنَ الرَّسُوْلُ بِمَآ اُنْزِلَ اِلَيْهِ مِنْ رَّبِّهٖ وَالْمُؤْمِنُوْنَۗ كُلٌّ اٰمَنَ بِاللهِ وَمَلٰۤىِٕكَتِهٖ وَكُتُبِهٖ وَرُسُلِهٖۗ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ اَحَدٍ مِّنْ رُّسُلِه
“Rasul telah beriman kepada Al-Quran, yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan), ‘Kami tidak membeza-bezakan antara seorang pun (dengan orang lain) dari rasul-rasul-Nya.’” [TMQ Al-Baqarah (2): 285]
Di dalam sebuah hadis yang panjang, Jibril as. pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ, “Beritahukanlah kepadaku tentang iman!” Lalu Rasul ﷺ menjawab, “Iman itu adalah percaya kepada adanya Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan percaya kepada al-qadar (takdir), baik dan buruknya berasal dari Allah Swt.” Jibril berkata, “Kamu benar.” (HR Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan An-Nasa’i)
Rukun Iman
Pemikiran-pemikiran mendasar dalam akidah Islam (rukun-rukun iman) ada enam rukun, iaitu:
- Iman kepada adanya Allah Swt.;
- Iman kepada adanya malaikat;
- Iman kepada adanya kitab-kitab samawi;
- Iman kepada rasul-rasul;
- Iman kepada hari akhirat/kiamat;
- Iman kepada takdir, baik buruknya berasal dari Allah Swt..
Iman adalah keyakinan (al-i’tiqaad), yang bermakna pembenaran yang bersifat pasti, yang sesuai dengan fakta, serta berdasarkan bukti.
Dalil akidah ada dua jenis:
- Dalil aqli, iaitu suatu pembuktian (al-burhan) yang dapat dibuktikan oleh akal untuk mencapai sebuah pembenaran yang bersifat pasti (at-tashdiiq ul-jaazim) pada salah satu rukun dari rukun-rukun akidah.
- Dalil sam’iy (naqli), iaitu suatu berita yang bersifat pasti (al-khabar al-qath’iy) yang memberitakan kepada kita tentang rukun-rukun akidah. Contohnya, ayat-ayat Al-Quran.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#fikrulislam #rukuniman #akidahislam

