Site icon MuslimahHTM News

Muslimah Tidak Wajib Berniqab (Bahagian 1)

[Tsaqafah] Muslimah Tidak Wajib Berniqab (Bahagian 1)

Penulis: Najmah Saiidah

 

Pembahasan tentang niqab masih terus menjadi perbincangan di antara para muslimah. Sebahagian besar masih mempertanyakan, “Apakah hukum memakai niqab?” Bukan hanya kerana semakin ramai muslimah yang berniqab saat ini, tetapi juga kerana memang ada beberapa perbezaan pendapat tentang niqab ini.

 

Di satu sisi, niqab dianggap sebagai trend oleh golongan tertentu. Di sisi lain, ia justeru dianggap sebagai ekstrem, radikal ataupun teroris. Jadi, seperti apa sesungguhnya pandangan Islam tentang niqab?

 

Apa yang Dimaksudkan dengan Niqab?

 

Niqab merupakan kain yang menutupi seluruh tubuh termasuk kepala dan wajah kecuali mata yang biasa dipakai oleh wanita muslim.

 

Dalam bahasa arab, ia disebut sebagai niqab atau burqa. Niqab adalah penutup wajah, secara istilah dimaknai sebagai sejenis kain yang digunakan untuk menutup wajah, tetapi masih membiarkan kedua mata terbuka atau terlihat.

 

Dalam kita Fath al-Bari disebutkan bahawa niqab adalah kain yang dikenakan di atas hidung atau di bawah lekukan mata.

 

Perbezaan Pendapat tentang Niqab

 

Memang benar bahawa di kalangan kaum muslim ada perbezaan pendapat tentang niqab. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya, An-Nizhamil Ijtima’iy menjelaskan bahawa pendapat yang mengatakan bahawa muslimah wajib berniqab untuk menutupi seluruh wajahnya kecuali kedua matanya boleh dikategorikan sebagai pendapat yang islami. Pendapat tersebut telah dikemukakan oleh sebahagian imam mujtahid dari berbagai mazhab.

 

Manakala pendapat yang menyatakan bahawa muslimah tidak wajib berniqab juga merupakan pendapat yang islami. Pendapat ini juga telah dikemukakan oleh sebahagian pemuka mujtahid dari berbagai mazhab.

 

Persoalan ini merupakan salah satu persoalan penting dalam sistem interaksi antara lelaki dan perempuan. Sementara itu, usaha untuk mengambil pendapat mana pun diantara keduanya akan mempengaruhi corak kehidupan Islam.

 

Untuk itu, tentu saja perlu dikemukakan dalil-dalil syariat terkait persoalan ini secara menyeluruh iaitu dengan mempelajari dan mengkaji dalil-dalil tersebut serta menerapkan pada permasalahannya. Dengan cara seperti itu, kaum muslim dapat mengambil pendapat terkuat berdasarkan kekuatan dalilnya.

 

Pendapat Ulama Mazhab

 

Mazhab Syafie dan Hanbali menganggap aurat wanita adalah seluruh tubuhnya. Kedua-dua mazhab ini memerintahkan muslimah untuk menutupi wajahnya dengan niqab.

 

Para ulama dari mazhab ini berpandangan ketika turun ayat hijab, para muslimah seketika itu terus mencari kain apa saja untuk menutupi aurat mereka. Hal ini dikisahkan oleh Aisyah ra.,

 

“(Perempuan-perempuan Muhajirin) ketika turun ayat ini (dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka) [TMQ An-Nuur (24): 31], mereka merobek selimut mereka, lalu bertudung dengannya.” (HR Bukhari)

 

Para ulama dari kedua mazhab ini sering menitikberatkan betapa Islam sangat menjaga wanita dengan menutupi seluruh tubuh mereka.

 

Muhammad bin Qaasim al-Ghazzi dalam kitabnya, Fathul Qaarib mengatakan, “Seluruh badan wanita, selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh badan.”

 

Pendapat yang sama diutarakan oleh Mansyur bin Yunus bin Idris al-Bahuti dalam Kasyful Qanaa’. Menurutnya, wajah dan telapak tangan adalah aurat ketika solat. “Adapun di luar solat kerana adanya pandangan, maka hukumnya sama seperti anggota badan lainnya,” jelas beliau.

 

Ulama yang tidak mewajibkan niqab adalah ulama Mazhab Hanafi dan Maliki. Ulama Hanafi, Asy-Syaranbalali dalam Matan Nuurul-lidhah mengatakan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar.

 

Sedangkan ulama Maliki, Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya berpendapat bahawa jika seorang wanita memiliki rupa para yang cantik dan khuatir wajah dan tapak tangannya menimbulkan fitnah, hendaknya dia menutup wajahnya. Tetapi, bagi yang sudah tua, boleh saja menampakkan wajahnya.

 

Dalil-Dalil yang Dijadikan Hujah

 

  1. Pendapat yang Mewajibkan

 

Golongan yang mewajibkan muslimah untuk berniqab menyatakan bahawa aurat wanita meliputi seluruh anggota badan. Pengecualian wajah dan kedua telapak tangan hanya berlaku dalam solat. Di luar waktu solat, menurut mereka, seluruh anggota tubuh wanita adalah aurat.

 

Pendapat mereka disandarkan pada Al-Quran dan Sunnah. Dalil-dalil yang dijadikan sandaran adalah dari Surah Al-Azab ayat 33, 53, dan 59. Mereka berpendapat, “Yudnîna ‘alayhinna min jalâbîbihinna (mengulurkan jubah atas seluruh tubuh, termasuk wajah).”

 

Di samping ayat-ayat Al-Quran, mereka juga merujuk kepada sabda Nabi SAW., “Wanita itu adalah aurat.”

 

Hadis lainnya, “Apabila telah ada seorang mukatib (yang hendak memerdekakan hamba) untuj salah seorang hamba wanita dan dia juga memiliki (harta) untuk membayarnya, hendaklah hamba wanita yang akan dimerdekakan itu dihijab dari (pandangan) tuannya.”

 

Mereka juga menjadikan asbabun nuzul  ayat 30 Surah An-Nuur sebagai dalil, iaitu sebuah peristiwa ketika Fadhl ibn ‘Abbas bersama Rasulullah SAW, kemudian datanglah seorang wanita bernama Khuts‘amiyah meminta pendapat. Fadhl lalu memandang wanita itu dan wanita itu juga memandangnya, sehingga Rasulullah SAW memalingkan wajahnya (Fadhl) dari wanita tersebut. (Lihat: HR Abu Dawud)

 

  1. Pendapat yang Tidak Mewajibkan

 

Golongan yang berpendapat bahawa berniqab adalah mubah atau boleh menyandarkan kepada dalil-dalil Surah An-Nur ayat 31, “Janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) tampak darinya.”

 

Mereka berpendapat bahawa yang biasa tampak adalah wajah dan telapak tangan kerana keduanya tidak wajib untuk ditutupi. Hal ini diperkuatkan dengan hadis dari ‘Aisyah ra. bahawa Asma binti Abu Bakar ra. pernah berkunjung, kemudian Rasulullah SAW. pun berpaling seraya bersabda, “Hai Asmâ’, sesungguhnya seorang wanita itu jika telah baligh, tidak layak untuk dilihat kecuali ini dan ini. (Baginda memberi isyarat pada wajah dan kedua tangannya).”

 

Hadis dari Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda, “Jika seorang wanita telah baligh, tidak boleh terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai pergelangannya.” (HR Abu Dawud)

 

Ada juga yang berpendapat bahawa berniqab tidaklah wajib, melainkan sunnah atau anjuran. Mereka menyandarkan pada pendapat bahawa isteri-isteri Rasulullah SAW. saja — yang terjaga kesuciannya dan di rumah mereka selalu dibacakan wahyu—diperintah untuk berhijab, maka sesungguhnya para wanita muslimah selain isteri Rasul adalah lebih utama lagi terkena seruan ini.

 

Mana yang Lebih Kuat?

 

Jika kita mencermati nas-nas yang dijadikan sandaran, ada beberapa dalil yang sama dan ada yang berbeza. Ini maksudnya, ada perbezaan dalam memahami nas-nas tersebut.

 

Untuk mengetahui mana yang lebih kuat, tentu kita perlu menelusuri dalil-dalil tersebut.

 

— Penjelasan tentang Surah Al-Azab ayat 32—33, Surah Al-Azab ayat 53, Surah Al-Azab ayat 59, dan Surah An-Nur ayat 31.

 

Golongan yang berpendapat bahawa muslimah wajib berniqab bersandarkan pada Surah Al-Azab ayat 33, Surah Al-Azab ayat 53, dan Surah An-Nur ayat 31. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab An-Nizhamul Ijtimaiy menyatakan bahawa sesungguhnya seluruh dalil yang dijadikan sandaran tersebut pada dasarnya tidak relevan dengan permasalahan ini. Berikut adalah penjelasannya:

 

Firman Allah SWT yang berbunyi, “Waqarna fî buyûtikunna (hendaklah kalian tetap di rumah-rumah kalian), dalam Surah Al-Azab ayat 33, tidak ada hubungannya sama sekali dengan kaum muslimah secara keseluruhan. Jika kita mengaitkan dengan ayat sebelumnya (Surah Al-Azab ayat 32) dan membacanya secara utuh, tampak jelas bahawa ayat ini berkaitan dengan isteri-isteri Rasulullah SAW.

 

يٰنِسَاۤءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَاَحَدٍ مِّنَ النِّسَاۤءِ اِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِيْ فِيْ قَلْبِهٖ مَرَضٌ وَّقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوْفًاۚ. وَقَرْنَ فِيْ بُيُوْتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْاُوْلٰى وَاَقِمْنَ الصَّلٰوةَ وَاٰتِيْنَ الزَّكٰوةَ وَاَطِعْنَ اللّٰهَ وَرَسُوْلَهٗ ۗاِنَّمَا يُرِيْدُ اللّٰهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ اَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيْرًا

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” [TMQ Al-Ahzab (33): 32—33]

 

Dari kedua-dua ayat ini, dapat kita fahami bahawa kedua ayat tersebut dikhususkan bagi isteri-isteri Rasulullah SAW. Keduanya, satu sama lain saling berkaitan, baik dari segi lafaz mahupun maknanya.

 

Selain itu, ayat yang lainnya, iaitu Surah Al-Azab ayat 53,

 

وَاِذَا سَاَلْتُمُوْهُنَّ مَتَاعًا فَاسْـَٔلُوْهُنَّ مِنْ وَّرَاۤءِ حِجَابٍۗ ذٰلِكُمْ اَطْهَرُ لِقُلُوْبِكُمْ وَقُلُوْبِهِنَّۗ وَمَا كَانَ لَكُمْ اَنْ تُؤْذُوْا رَسُوْلَ اللّٰهِ وَلَآ اَنْ تَنْكِحُوْٓا اَزْوَاجَهٗ مِنْۢ بَعْدِهٖٓ اَبَدًاۗ اِنَّ ذٰلِكُمْ كَانَ عِنْدَ اللّٰهِ عَظِيْمًا

“… Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.”

 

Ayat ini terkait dengan isteri-isteri Nabi SAW dan khusus ditujukan kepada mereka. Tidak ada hubungannya dengan wanita mana pun selain isteri-isteri Nabi SAW.

 

Yang memperkuatkan bahawa ayat-ayat ini khusus ditujukan bagi isteri-isteri Rasulullah SAW adalah hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah ra. ketika Baginda bertutur, “Aku sedang makan bersama Nabi SAW dengan memakan jenis makanan dari kurma dalam sebuah mangkuk. Tiba-tiba datanglah ‘Umar. Dia lalu dipanggil oleh Nabi SAW. untuk makan bersama hingga jari-jemarinya menyentuh jemariku. ‘Umar lantas berkata, “Ah, seandainya saja ditaati, nescaya engkau tidak akan dipandang oleh mata.” Setelah itu, turunlah ayat mengenai hijab.

 

Ada pula riwayat yang menyebutkan bahawa Umar ra. pernah berjalan melalui isteri-isteri Nabi SAW sewaktu mereka sedang bersama dengan kaum muslimah lain di masjid. Umar kemudian berkata, “Andai saja mereka berhijab, hal itu lebih utama bagi mereka atas kaum wanita lainnya sebagaimana mereka menikahi lelaki yang paling utama (Muhammad SAW).” Zainab ra. kemudian mencelah, “Wahai Ibnu al-Khattab, sesungguhnya Anda tertipu oleh kami kerana wahyu itu turun di rumah kami.” Tidak lama kemudian, ayat tentang hijab pun turun.

 

Yang tercantum di dalam ayat mahupun hadis-hadis di atas menunjukkan secara pasti bahawa semua itu ditujukan kepada isteri-isteri Nabi SAW. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan bahagian akhir dari Surah Al-Azab ayat 53 ini, “…Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya…”. Maksudnya, isteri-isteri Nabi SAW tidak boleh berkahwin setelah Baginda wafat.

 

Kenyataan ini berbeza dengan para wanita muslimah lainnya kerana mereka boleh berkahwin jika telah lepas dari suaminya. Dengan demikian, kedua-dua ayat mengenai hijab di atas khusus ditujukan bagi isteri-isteri Nabi SAW sebagaimana larangan bagi mereka untuk berkahwin setelah Baginda wafat.

 

Selanjutnya, mengenai Surah Al-Azab ayat 59,

 

يٰٓاَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِّاَزْوَاجِكَ وَبَنٰتِكَ وَنِسَاۤءِ الْمُؤْمِنِيْنَ يُدْنِيْنَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيْبِهِنَّۗ ذٰلِكَ اَدْنٰىٓ اَنْ يُّعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَۗ وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Mereka memahami bahawa jubah yang dimaksudkan adalah menutup ke seluruh tubuh, termasuk wajah dan telapak tangan. Sedangkan sesungguhnya tidak boleh memahaminya demikian. Hal ini berdasarkan pada makna jubah itu sendiri.

 

Jubah adalah milhâfah (kain panjang dan longgar) yang sering disebut mulâ’ah (baju kurung). Di dalam hadis disebutkan bahawa jubah adalah baju kurung yang dikenakan oleh wanita di luar atau di atas pakaian hariannya yang biasa digunakan di dalam rumah.

 

Di dalam Kamus Al-Muhîth dinyatakan, “Jubah itu tidak ubah seperti sirdab (terowongan) atau sinmar (lorong), iaitu baju atau pakaian longgar bagi wanita selain jubah atau kain apa saja yang dapat menutupi pakaian hariannya seperti jubah atau mantel (baju labuh yang menutupi seluruh tubuh).”

 

Sedangkan dalam Kamus Ash-Shihhâh, Al-Jawhari menyatakan, “Jubah adalah kain panjang dan longgar (milhâfah) yang sering disebut mula’ah (baju kurung).”

 

Jelaslah bahawa ayat ini sama sekali tidak menunjukkan perintah untuk menutupi wajah dalam keadaan apa pun, baik dilihat secara manthuq (tekstual) mahupun secara mafhum (kontekstual). Di dalamnya tidak ditemui satu kata pun yang menunjukkan kesimpulan seperti itu (secara tersendiri (kata demi kata) mahupun secara integral dalam kalimat) sebagai pengesahan atas asbabun nuzulnya.

 

Maksudnya, potongan ayat “yudnîna ‘alayhinna min jalâbîbihinna” bermakna ‘menghulurkan jubah atas seluruh tubuh mereka’.

 

Kata “min” dalam ayat ini tidak menunjukkan pada makna sebahagian (li at-tab‘îdh), tetapi menunjukkan pada makna penjelasan (li al-bayân), iaitu menghulurkan jubah ke seluruh tubuh (dari bahagian atas sehingga ke bahagian bawah).

 

Dengan demikian, Surah Al-Azab ayat 59 bermakna bahawa Allah SWT. meminta Rasulullah SAW. agar menyampaikan kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuannya, serta para wanita mukmin supaya menghulurkan jubah.

 

Maksudnya, ayat tersebut menunjukkan perintah agar muslimah menghulurkan jubah, iaitu kain yang luas dan lebar sehingga ke bawah, dan tidak menunjukkan makna yang lainnya.

 

#Fokus #Tsaqafah

Exit mobile version