Site icon MuslimahHTM News

Amrah binti Abdurrahman, Ulama Wanita Cerdas dan Murid Teladan Aisyah ra.

[Tokoh Inspirasi] Amrah binti Abdurrahman, Ulama Wanita Cerdas dan Murid Teladan Aisyah ra.

 

Kita banyak mengenal para ulama dari kalangan lelaki. Tidak banyak kisah ulama wanita yang kita ketahui dengan kapasiti ilmu hadis yang tidak kurang hebatnya. Pada masa Islam, ada ulama wanita terkemuka serta mahsyur di kalangan para ulama. Beliau merupakan murid teladan Ummul Mukminin Aisyah ra.

 

Beliau adalah Amrah binti Abdurrahman. Nama lengkapnya adalah Amrah binti Abdurrahman bin Sa’d bin Zurarah bin Adas al-Anshariyah an-Najjariyah al-Madaniyah. Datuknya termasuk generasi sahabat besar dari kaum Ansar. Ibunya bernama Salimah binti Hakim bin Hasyim bin Qawalah.

 

Amrah dinilai sebagai penerus gurunya, Aisyah ra. dalam menyampaikan hadis-hadis Rasulullah SAW. Selain ahli hadis, Amrah juga ahli fikih. Beliau merupakan salah satu generasi tabi’in wanita yang cemerlang.

 

Imam az Dzahabi berkata, “Dia adalah seorang wanita alim, ahli fikih, menjadi hujah dan banyak ilmunya.” Dengan bimbingan Aisyah, keilmuan Amrah binti Abdurrahman berkembang dengan pesat. Allah menganugerahkannya dengan daya ingatan yang kuat sehingga menjadikannya seorang murid pintar yang menghafal hadis-hadis riwayat Ummul Mukminin Aisyah. Tidak diragukan lagi, beliau menjadi rujukan wanita tabi’in ketika menjadi ahli hadis, ahli fikih, tsiqah dan hujahnya kuat.

 

Pujian Khalifah kepada Amrah

 

Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat khuatir akan lenyapnya ilmu dan meninggalnya para pemilik ilmu. Maka, dia memerintahkan untuk memulakan pembukuan hadis yang disandarkan pada pendapat para ulama serta tabi’in senior pada masanya dan mengharapkan lebih penjelasan dari pendapat dan ijtihad mereka.

 

Dalam kitab At-Thaqabat oleh Ibnu Sa’ad, juga kitab Ma’rifah wa at-Ta’rikh oleh Al-Baswiy dan Taqyid al-ilmi oleh Khathib al-Baghdadi, diriwayatkan bahawa Abdullah bin Dinar berkata, “Umar bin Abdul Aziz menulis surat melalui al Barid kepada Abu Bakar bin Muhammad bin Amr bin Hazm di Madinah. Di antara isi surat tersebut adalah, “Lihat hadis Rasulullah SAW atau Sunnah yang terlewat atau hadis Amrah, maka tuliskanlah. Saya khuatir akan lenyapnya ilmu dan perginya para ulama.”

 

Permintaan Umar bin Abdul Aziz kepada pegawainya di Madinah untuk membukukan hadis Amrah adalah sangat wajar. Ini kerana Amrah mengetahui secara khusus tentang hadis Aisyah. Beliau juga mengetahui secara khusus tentang perilaku Rasulullah SAW. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan riwayat tentang perkataan Qasim bin Muhammad kepada Imam Az Zuhri, “Saya melihatmu sangat cinta menjaga ilmu. Mahukah engkau tunjukkan pada diriku wadah besarnya?”

 

Dia menjawab, “Ya, engkau pergi ke tempat Amrah binti Abdurrahman sebab dahulu dia berada dalam bimbingan Aisyah.” Imam az Zuhri menceritakan, “Maka saya pun mendatanginya. Saya mendapati dirinya laksana lautan yang tidak pernah surut.”

 

Khalifah Umar bin Abdul Aziz sangat terkesan dengan peribadi Amrah dan ia tercermin dari ungkapan beliau mengenainya iaitu, “Tidak ada lagi orang yang paling mengetahui hadis Aisyah ra lebih dari Amrah.”

 

Murid Teladan

 

Amrah merupakan murid terbaik didikan Ummul Mukminin Aisyah ra. Kecerdasannya hampir menyerupai kecerdasan gurunya. Hari-harinya diisi dengan belajar secara langsung di kediaman Ummul Mukminin. Dalam diri Amrah, terhimpun sifat-sifat yang tidak dimiliki oleh kebanyakan wanita semasa zamannya. Di antara keunggulan Amrah adalah, pemahamannya yang mendalam dan pengalamannya pada hadis Nabi serta ketepatan riwayat dan juga pemahamannya.

 

Inilah yang menambahkan nilai keunggulan Amrah dalam dunia periwayatan dan juga hadis. Selain meriwayatkan hadis dari Aisyah, beliau juga meriwayatkan hadis dari Ummul Mukminin Ummu Salamah dan juga dari saudara perempuan seibunya, Ummu Hisyam binti Haritsah bin Nu’man al Ansyariyah, Habibah binti Sahl, Hamnah binti Jahsy dan ramai lagi. Banyak tabi’in senior dan para ulamanya meriwayatkan hadis dari Amrah seperti anaknya sendiri Abu Rijal Muhammad bin Abdurrahman dan kedua-dua cucunya, Haritsah dan Muhammad putra Muhammad, anak saudaranya Qadhi Abu Bakar bin Hazm serta Az Zuhri, Yahya bin Said al Anshad, Urwah bin Zubair, Sulaiman bin Yasar dan banyak lagi.

 

Hadis-hadis dari Amrah tertulis dalam buku-buku Islam. Pernah diceritakan riwayat Amrah dalam bidang fikih dan sejarah yang dikisahkan oleh Yahya bin Said bahawa Amrah berkata, “Saya mendengar Aisyah berkata, ‘Kami melakukan perjalanan bersama Rasulullah SAW selama lima malam terakhir pada bulan Zulkaedah. Kami hanya menyangka bahawa itu adalah haji. Ketika kami mendekati Mekah, Rasulullah SAW memerintahkan siapa yang tidak membawa haiwan korban semasa bertawaf di Kaabah dan berjalan di antara bukit Safa dan Marwah agar bertahallul.'”

 

Yahya bin Said berkata, “Saya mengingat hadis ini dari Qasim bin Muhammad. Dia berkata, ‘Sungguh demi Allah, riwayat hadis ini telah sampai padamu apa adanya.” Ali bin Madini, seorang imam terkenal dalam ilmu hadis, apabila disebut nama Amrah maka dia akan memuliakan kedudukannya. “Amrah salah satu perawi tsiqah yang mengetahui Aisyah serta cerita yang tepat tentangnya,” ujarnya.

 

Sufyan bin Uyainah juga mengiktiraf ketinggian ilmu Amrah. “Orang yang paling mengetahui hadis-hadis Aisyah ada tiga iaitu Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar As-Siddiq, Urwah bin Zubair dan Amrah binti Abdurrahman.” Pada 98 H, Amrah binti Abdurrahman meninggal dan dikuburkan di pemakaman Baqi yang terletak di Madinah al Munawarah.

 

Semoga kita dapat mengambil hikmah dari kisah seorang Amrah binti Abdurrahman. Kesungguhannya untuk belajar dengan Aisyah ra. membuatkan beliau menjadi salah seorang ulama wanita yang paling menonjol dalam keilmuan di bidang hadis. Begitulah sistem Islam pada saat itu. Akan selalu ada sosok yang boleh menginspirasikan para wanita yang hidup pada zaman ini.

 

Sumber : https://muslimahnews.net/2022/09/23/11850/

 

#tokohinspirasi #amrah #sahabiyah #perawihadis #ulamawanita

Exit mobile version