Tuntutan Cinta Nabi Muhammad SAW
Oleh: Arief B. Iskandar
Secara fitrahnya setiap muslim, seperti manusia dihiasi dengan kasih sayang atau cinta kepada isteri, anak-anak, harta benda dan perhiasan, kenderaan, haiwan peliharaan, kebun dan tumbuh-tumbuhan, dan sebagainya (Surah Ali Imran ayat 14).
Namun, cinta seorang muslim terhadap semua itu tidak boleh mengalahkan cintanya kepada Allah SWT dan RasulNya. Hal ini dicela oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ
Katakanlah: “Jika ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah atau tempat tinggal yang kamu sukai itu lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya.” Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik [TMQ At Taubah (9): 24].
Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang di antara kamu sehingga dia lebih mencintaiku daripada anak-anaknya, ibu bapanya dan seluruh manusia.” (HR Muslim)
Oleh itu, kecintaan kepada Allah SWT dan RasulNya hendaklah diletakkan paling tinggi daripada kecintaan kepada sesuatu.
Allah SWT mengukur kecintaan seorang hamba kepadaNya dengan sejauh mana seorang hamba itu mencintai dan mengikut (meneladani) Rasulullah, sebagaimana firmanNya:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ
Katakanlah, “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Dia mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Ali Imran (3): 31]
Mengikuti Rasulullah tidak lain dengan menjalankan Islam kaffah (keseluruhan); mengamalkan dan menerapkan segala syariat Allah SWT. Bukan sahaja di peringkat peribadi dan keluarga, malah di peringkat masyarakat dan negara. Begitulah bentuk kecintaan kita yang sebenar kepada Rasulullah.
Kerana Rasulullah SAW juga bukan sahaja mengamalkan dan menerapkan syariah Islam di peringkat peribadi dan keluarga, tetapi juga di peringkat masyarakat dan negara. Malah, sebagai ketua Negara Islam yang pertama di Madinah, beliau memimpin hanya dengan Islam dan mengurus negara hanya dengan melaksanakan syariah Islam. Bukan dengan cara lain.
Kesannya, apabila syariatNya hanya diterapkan di peringkat peribadi dan keluarga (dan mungkin sebahagian sahaja), ia tidak dilaksanakan di peringkat masyarakat apatah lagi negara seperti hari ini, sebenarnya itu menunjukkan kasih sayang umat ini untuk Nabi Muhammad SAW belum sampai lagi tahap cinta sejati. Belum cinta sepenuh hati. Mungkin hanya cinta separuh hati.
Lalu bagaimana jika ada orang Islam yang sekular, liberal yang mengaku cintakan Nabi Muhammad, tetapi benci untuk menerapkan syariatnya di peringkat masyarakat dan negara? Sudah tentu tuntutan cinta mereka kepada Nabi Muhammad hanya cinta yang sederhana. Tidak layak dipercayai. Lebih-lebih lagi diikuti.
Wa maa tawfîiqii illa bilLaah
#cintanabi #cintarasulullah

