Site icon MuslimahHTM News

Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Pemimpin Bertakwa yang Dicintai Rakyat

[Tarikh Khulafa] Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Pemimpin Bertakwa yang Dicintai Rakyat
Penulis: Nabila Ummu Anas
 
Pada hari Sulaiman bin Abdul Malik meninggal dunia, saudara sepupunya, iaitu Umar bin Abdul Aziz dibaiat sebagai khalifah kaum muslim. Ketika dibaiat sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz mengerahkan segenap potensi dan kemampuannya, serta mengabdikan seluruh hidupnya untuk reformasi urusan kenegaraan, stabiliti keamanan, kesejahteraan sejagat, dan penegakan keadilan di seluruh lapisan masyarakat.
 
Salah Seorang Tabiin Mulia

Umar bin Abdul Aziz juga seorang ahli fikih yang mujtahid dan tabiin yang mulia. Dia menjadi rujukan bagi para ulama. Imam Ahmad berkata, “Aku tidak melihat seorang pendapat tabiin pun yang menjadi dalil, kecuali pendapat Umar bin Abdul Aziz. Banyak tabiin meriwayatkan darinya, antaranya  Abu Bakar bin Hazm, Raja’ bin Haiwah, Ibnul Munkadir, Az-Zuhri, Anbasah bin Sa’id, Ayyub as-Sakhtiani, Abdul Aziz (putranya), Zabban (saudaranya), dan ramai lagi.

Adz-Dzahabi menyifati Umar bin Abdul Aziz dengan karakter-karakter mulia. Dia berkata, “Imam yang hafiz, allamah, mujtahid, zahid, ahli ibadah, sayid, amirulmukminin sejati, Abu Hafsh al-Umawi al-Madani al-Mishri, khalifah yang zahid lagi rasyid, dan Bani Umayyah yang paling dicintai.”
 
Pemimpin yang Sangat Takut kepada Allah

Ketakwaan, kesolehan, dan keadilan Umar bin Abdul Aziz mengantarkannya pada jawatan khalifah, meskipun dia sendiri mengetahui beratnya tugas dan tanggungjawab kekhalifahan yang membuatnya khuatir tidak mampu melaksanakannya.

Pada suatu ketika, Salim as-Sadi yang merupakan orang terdekat Umar bin Abdul Aziz datang menghadapnya setelah dia dibaiat sebagai khalifah. Kepada Salim, Umar bertanya, “Adakah pengangkatanku membuatmu senang atau pun susah?” Salim menjawab, “Aku merasa senang bagi rakyat, tetapi aku merasa susah bagi dirimu.” Umar berkata, “Aku khuatir telah menjerumuskan diriku sendiri.” Salim berkata, “Alangkah baiknya jika engkau khuatir. Aku justeru khuatir jika engkau tidak khuatir.” Umar pun berkata, “Nasihatilah aku.” Salim berkata, “Ayah kita Adam diusir dari syurga kerana satu kesalahan saja.”
 
Pemimpin yang Zuhud dan Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat

Kekhalifahannya berpengaruh besar dalam kehidupan Umar bin Abdul Aziz. Sebelum menjadi khalifah, kehidupannya bergelimang kenikmatan, sehingga apabila dia melalui suatu jalan, maka aroma minyak wangi kasturinya menyebar. Umar juga sering menyisir rambutnya dan berpenampilan menarik.

Namun, sejak menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz terkenal dengan sikap zuhud dan jauh dari kesenangan dunia. Perasaan akan tanggungjawab sebagai pemimpin umat Islam begitu dalam hingga memalingkannya dari segala kenikmatan dan kemewahan dunia. Bahkan, dia bersikap keras terhadap dirinya sendiri kerana merasa berlebihan dalam menikmati kehidupan mewah sebelum menjadi khalifah. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menolak menggunakan kenderaan negara berupa kuda-kuda berkualiti tinggi dan mahal kerana semua itu memperlihatkan kemewahan dan kebanggaan. Umar berkata, “Kenderaanku sendiri lebih lembut bagiku.” Dia juga menolak tinggal di istana kekhalifahan dengan alasan, “Pondokku sendiri ini sudah cukup bagiku.” Dia lalu menjual kenderaan tersebut, dan hasil penjualannya dia masukkan ke Baitul Mal.
 
Politik Dalam Negeri

Kebijakan politik dalam negeri Umar bin Abdul Aziz adalah bahagian terpenting dalam kekhalifahannya. Dia adalah seorang pentadbir yang ulung. Kemampuan ini diperolehnya dari pengalaman panjang sebagai wali di Kota Khanashirah di negeri Syam dan juga pernah menjadi Wali di Madinah al-Munawwarah. Dia juga pernah menjawat sebagai penasihat Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Dengan kedudukan tersebut, Umar dapat melihat berbagai peristiwa dari dekat dan melatih kemampuan mengurus tadbir serta menjalankan urusan-urusan pemerintahan.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz menerapkan beberapa strategi, di antaranya penjagaan harta umat Islam, kecekapan waktu dan tenaga, kecepatan penanganan urusan, penyederhanaan birokrasi, penyelesaian hakim, ketua daerah, dan pegawai, penghapusan semua aktiviti yang tidak seiring dengan semangat Islam, perwujudan keseimbangan di tengah masyarakat, serta dialog persuasif dengan para pemberontak secara baik agar mereka kembali ke naungan jemaah. Di samping itu, karakter utama metod ini adalah keadilan, objektiviti, kasih sayang, dan perlakuan sebaik-baiknya.

Pengaruh kekhalifahan Umar bin Abdul Aziz bagi sejarah Islam menjadi bukti kukuh bahawa ketika seorang penguasa muslim bertekad benar dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya di hadapan Allah, maka dia akan meluruskan segala hal yang bengkok dan mengembalikan semua yang menyimpang ke jalan yang benar.

Amirul mukminin Umar bin Abdul Aziz laksana mutiara di kening kekhalifahan Bani Umayyah, bahkan kekhalifahan umat Islam seluruhnya. Inilah khalifah kebanggaan Islam dan umat Islam, bahkan seluruh umat manusia di setiap waktu dan tempat. Wallahualam.
 
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah, Pustaka Al-Kautsar
 
#KhalifahUmar #UmarAbdAziz #Pemimpinbertakwa #pemimpincontoh

Exit mobile version