[Nafsiyah] Kesalahan Sepenuh Bumi, Allah Tetap Ampuni
Apa yang dapat kita lakukan ketika Allah telah memanggil ke hadapan-Nya dalam keadaan berlumur dosa? Tentu kita sangat khuatir saat itu, saat harta, jawatan, dan anak-anak tidak lagi berguna untuk diharapkan.
Allah Swt. berfirman, “(Iaitu) di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” [TMQ Asy-Syu’ara (26): 88—89].
Sebagai hamba-Nya kita berupaya untuk terus berbaik sangka kepada Allah Swt.. Dengan cara mengharapkan rahmat, jalan keluar, ampunan dan pertolongan dari-Nya.
Firman Allah Swt., “Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai ampunan (yang luas) bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar sangat keras seksaan-Nya.” [TMQ Ar-Ra’d (13): 6]
Maksud dari ayat di atas ialah Allah mempunyai ampunan dan maaf, serta menutupi kesalahan manusia sekalipun mereka berbuat zalim dan kesalahan pada waktu siang mahupun malam harinya. Kemudian, ketetapan itu disertai ketetapan lainnya yang menyatakan bahawa seksaan Allah amat keras. Hal ini menunjukkan keseimbangan antara harapan dan rasa takut.
Rasulullah saw. pernah bersabda, “Seandainya tidak ada kemaafan dan ampunan Allah, sudah tentu tidak ada seorang manusia pun yang boleh hidup tenang dan seandainya tidak ada ancaman dan seksaan-Nya, nescaya semua orang akan bertawakal.” (Tafsir Ibnu Katsir)
Kemudian, hadis qudsi dari Anas bin Malik, Rasulullah saw. bersabda, Allah Swt. berfirman, “Wahai anak Adam, jika engkau mendatangi-Ku dengan dosa sepenuh bumi kemudian engkau tidak berbuat syirik pada-Ku dengan sesuatu apa pun, maka Aku akan mendatangimu dengan ampunan sepenuh bumi itu pula.” (HR Tirmidzi no. 3540)
Makna hadis di atas ialah walaupun seseorang mendatangi Allah dengan dosa sepenuh bumi dan dia memenuhi syarat, iaitu berjumpa Allah dalam keadaan terbebas dari dosa syirik, maka dia akan memperoleh ampunan Allah. Terbebas dari syirik kecil mahupun besar.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata, “Syirik itu ada dua jenis, iaitu syirik besar dan kecil. Siapa yang bersih dari kedua syirik tersebut, maka dia pasti masuk syurga. Barang siapa yang mati dalam keadaan bersih dari syirik besar, tetapi masih memiliki syirik kecil dan memiliki kebaikan lainnya yang mengalahkan dosa-dosanya maka dia akan masuk syurga. Namun jika dia bebas dari syirik besar akan tetapi dia masih memiliki syirik kecil yang banyak sehingga keburukannya mengalahkan timbangan kebaikan, maka dia akan masuk neraka. Kesimpulannya, setiap hamba hendaklah terbebas dari kedua syirik tersebut, walaupun memiliki syirik kecil dan jumlahnya sedikit. Namun dia memiliki keikhlasan dalam dirinya, dia tidak akan disiksa oleh Allah Swt..” (Taisirul ‘Azizi Hamid, 1: 247)
Syirik ialah mempersekutukan Allah dengan menjadikan sesuatu sebagai objek pemujaan atau tempat menggantungkan harapan dan dambaan. Menurut Ibnu Manzur, kata syirik berasal dari kalimat fi’il madhi, iaitu “syaraka” yang bermakna bersekutu dua orang misalnya seseorang berkata, “A asyraka billah,” ertinya bahawa dia sedarjat dengan Allah Swt..
Syirik besar (kabair), iaitu mempersekutukan Allah Swt.. Syeikh Syamsudin Muhammad bin Uthman bin Qaimaz at-Turkmaniy mencontohkan syirik kepada selain Allah Swt., iaitu menyembah pokok, batu, matahari, bulan, nabi, guru, binatang. dll..
Syirik kecil, iaitu menyertai amal dengan riak (bangga). Allah Swt. berfirman, “Barang siapa mengharap agar dapat bertemu dengan Rabb-nya maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh dan janganlah mempersekutukan seseorang pun dalam beribadah kepada Rabb-nya.” [TMQ Al-Kahfi (18): 110]. Ertinya, amalan-amalan yang dikerjakan, selain mengharapkan redha Allah Swt., juga dapat membatalkan pahalanya serta menjadikannya bagai debu yang beterbangan.
Rasul saw. bersabda, “Jauhilah syirik kecil.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah apakah syirik kecil itu?” Beliau menjawab, “Riak.” Pada hari pembalasan untuk segala yang dikerjakan manusia, Allah Swt. berfirman, “Pergilah kepada orang-orang yang kalian ingin mereka melihat amalan-amalan kalian. Lalu lihatlah, adakah pahala yang disediakannya?” (HR Ahmad dan Tirmidzi)
Saudariku, untuk itu, kita hendaklah terus berusaha menjaga diri dari perbuatan syirik agar Allah berkenan mengampuni segala dosa-dosa kita meski sepenuh bumi. Usaha untuk menjauhi diri dari perbuatan syirik ini akan jauh lebih mudah dan tenang jika kita hidup dalam naungan Islam kerana penjagaan diri terhadap perbuatan syirik dapat dilakukan secara maksima. Sementara, saat hidup dalam sistem kufur bernama demokrasi, kita akhirnya terbiasa melihat perilaku maksiat dan pelakunya yang justeru difasilitasi oleh negara. Bukan suasana keimanan yang kita dapatkan, melainkan suasana penuh dengan kemaksiatan. Astagfirullah.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/09/29/12147/
#nafsiyah #jauhisyirik #demokrasisistemgagal #dosasyirik
Kesalahan Sepenuh Bumi, Allah Tetap Ampuni

