Site icon MuslimahHTM News

Mendidik Anak, Antara Penghargaan dan Hukuman

Mendidik Anak, Antara Penghargaan dan Hukuman

Penulis: Najmah Saiidah

 

“Seorang anak jika sudah diabaikan sejak awal perkembangannya, maka pada kebiasaannya mereka akan menjadi seorang yang buruk akhlaknya, pendusta, pendengki, pencuri, pengadu domba, tidak matang, serta tidak mampu serius dan berfikiran dewasa. Itu semua hanya boleh diatasi dengan percaturan yang baik.” (Imam Ghazali).

 

Alam kanak-kanak adalah fasa awal kehidupan manusia yang sangat asas, pada waktu inilah asas-asas kecerdasan dan keperibadian dibangunkan. Proses yang dilalui pada fasa kanak-kanak akan menentukan fasa dewasa. Sangat tepat jika dikatakan, alam kanak-kanak adalah masa yang sangat utama bagi penentuan arah hidup manusia. Oleh sebab itu, merupakan suatu kewajiban untuk memperhatikan dan mempersiapkan strategi pengasuhan dan pendidikan yang baik dan tepat sehingga terwujud generasi masa depan yang berkualiti.

 

Membentuk Keperibadian Anak

Keperibadian anak tidak akan sempurna, kecuali jika diarahkan, dibina, dan dibimbing dari segenap aspeknya. Fasa kanak-kanak mempunyai keistimewaan berupa kemudah lenturan, kesucian, dan secara fitrahnya  waktu inilah seseorang dapat menanamkan hal-hal yang baik dalam jiwanya.

 

Jika dibangunkan dengan penjagaan, bimbingan dan arahan yang baik, mereka akan menjadi sosok yang utuh kepribadiannya. Oleh kerana itu, penanaman akidah, kecintaan kepada Allah dan RasulNya, al-Quran dan hadis-hadis Rasululullah SAW mesti dilakukan sejak kecil lagi. Selain itu, penanaman akhlak dan adab juga merupakan hal yang sangat penting.

 

Seiring dengan itu, pembinaan perasaan dan kejiwaan anak pun merupakan hal yang tidak boleh kita abaikan. Tidak sedikit di antara kita, para ibu bapa, lebih memperhatikan aspek intelektual atau pola fikir (aqliyah) dan melupakan sisi perasaan dan kejiwaan (nafsiyah) anak dalam pembentukan keperibadiannya. Akibatnya, sering kali yang dilakukan adalah menegur si anak ketika melakukan kesalahan dan jarang sekali memberikan penghargaan kepada anak ketika mereka menunjukkan prestasi.

 

Walhal, perasaan dan kejiwaan anak merupakan hal yang tidak kurang pentingnya. Sesungguhnya, pada ingatan setiap anak selalu terdapat catatan lengkap tentang hubungan mereka dengan kedua-dua ibu bapanya.

 

Pertama, catatan kebahagiaan. Jika ibu bapa memberikan perhatian dan kasih sayang yang membahagiakan hatinya.

Kedua, catatan perasaan marah ketika mendapat pandangan masam, teguran atau bebelan ibu bapanya.

 

Kedua-duanya selalu dibandingkan dan dipertimbangkan  setiap masa. Jika bahagia lebih banyak, maka hubungan anak dan kedua-dua ibu bapanya akan berlangsung secara harmoni. Sebaliknya, jika timbangan kemarahan lebih berat, maka hubungan pun akan terganggu.

 

Bahkan, jika angka kemarahan jauh melampaui angka kebahagiaannya, maka tidak jarang akan muncul sikap pembangkangan, berkata kasar, sengaja melanggar peraturan, sering mimpi buruk dan sebagainya.

 

Anak-anak memerlukan  perhatian dan kasih sayang yang lebih banyak, hanya kadang kala tidak tepat bahagiannya. Kadang-kadang, perhatian dan kasih sayang diberikan kurang atau tidak tepat. Tidak kurang juga ibu bapa sering membebelkan anaknya ketika melakukan kesalahan dan jarang memberikan penghargaan ketika melakukan hal yang baik. Atau sebaliknya, memberi hadiah secara berlebihan dan tidak pernah memarahi atau menegurnya.

 

Pendidikan Anak Cara Rasulullah SAW:

 

Penghargaan dan Hukuman , bagaimanakah mengaturnya?

 

Rasulullah memberikan banyak teladan dalam pergaulannya dengan anak-anak. Baginda sentiasa menunjukkan kasih sayangnya secara seimbang. Baginda SAW menunjukkan kasih sayang sama ada dalam bentuk penghargaan, teguran halus atau hukuman sesuai dengan usia dan keadaan anak Baginda SAW. Penghargaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kadang-kadang dalam bentuk hadiah seperti kurma , kadan-kadang ciuman , belaian atau pelukan.

 

Namun, Rasulullah SAW pun tidak teragak-agak memberikan hukuman terhadap anak-anak Baginda SAW ketika melakukan kesalahan. Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Sayidina Aisyah RA bahawa dia berkata, “Telah datang beberapa orang Badwi menghadap Rasulullah SAW dan bertanya, “Apakah engkau suka mengucup (mencium) anak-anakmu? Baginda menjawab, “Ya”. Mereka kemudian berkata, “Namun, demi Allah kami tidak pernah mengucup anak-anak kami.” Rasulullah SAW lalu bersabda, “Aku tidak punya daya apa-apa bila mana Allah SWT telah mencabut rasa kasih sayang dari dalam hatimu.”

 

Ciuman  berperanan efektif dalam menggerakkan perasaan dan kejiwaan anak, dapat menenangkan gelombang amarahnya, merupakan cahaya yang akan menerangi hati sang anak, melonggarkan dadanya serta akan menambah hangatnya interaksi diri dengan orang-orang yang ada di sekitarnya. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyentuh perasaan anak dengan membelai kepala atau pipi sehingga mereka merasa mendapatkan sentuhan kasih sayang dan kelembutan.

 

Dari Musab bin Abdullah bahawa dia berkata, ”Abdullah bin Tsalabah dilahirkan empat tahun sebelum hijrah. Ia dibawa kepada Rasulullah SAW pada tahun Fath (tahun penaklukan kota Mekkah) dan Baginda pun membelai wajahnya dan memohonkan keberkahan baginya.

 

Imam Muslim meriwayatkan dari Jabir bin Samurah—saat itu masih kecil—bahawa dia berkata, “Aku mengerjakan solat zuhur bersama Rasulullah SAW, kemudian Baginda keluar menuju rumah keluarga Baginda dan aku turut keluar bersamanya. Baginda kemudian bertemu dengan kedua-dua anak kecil, lalu mengusap kedua-dua pipiku. Selanjutnya kedua-dua anak tadi menghadap Rasulullah SAW , lalu Baginda pun segera mengusap kedua-dua pipi mereka satu persatu.Jabir menceritakan, Ketika tangan Baginda mengusap pipiku, maka tangan Baginda terasa dingin dan harum, seolah tangan Baginda baharu saja keluar dari tempat minyak wangi.”

 

Pemberian hadiah berpengaruh baik terhadap jiwa anak asalkan tidak berlebihan. “Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian akan saling mencintai” [HR Thabrani].

 

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW ketika dianugerahi buah,  Baginda berdoa, “Ya Allah, berilah keberkahan kepada kami dalam kota kami ini, mengenai buah kami, mud kami dan sha kami, yang berupa keberkahan demi keberkahan.” Lalu, baginda memberikan buah tersebut kepada anak yang terkecil yang datang kepada baginda.

 

Pujian terhadap anak memiliki pengaruh yang dominan sehingga akan menggerakkan perasaan dan pancainderanya selama pujian itu diberikan pada waktu dan tempat yang tepat serta tidak berlebihan. Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa pujian akan memberikan kesan positif terhadap jiwa anak, ia akan tergerak untuk menyambut panggilan dan melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya. Rasulullah SAW pernah memberikan pujian kepada seorang anak yang belajar bahasa Arab dan bahasa Suryani untuk membantunya. Rasulullah SAW memujinya dengan kata-kata, “ Dia adalah sebaik-baik anak muda”.

 

Khatimah

Demikianlah, Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kita bagaimana menghargai dan membahagiakan anak-anak dalam rangka mendidik perasaan dan kecenderungannya dengan memberikan penghargaan berupa pujian, belaian kasih sayang, menciumnya, mengusap kepalanya dan memberi hadiah. Hanya sahaja, bukan bererti bahawa Islam tidak membolehkan memberikan hukuman kepada anak-anak. Bukan bererti pula Rasulullah SAW tidak pernah marah atau tidak pernah memberikan “pelajaran” atau hukuman kepada anak-anak.

 

“Hasan bin Ali pernah mengambil sebiji kurma dari kurma sedekah dan kemudian  hendak makan kurma tersebut . Ketika itu spontan Rasulullah SAW bersabda, “Kakh… Kakh.. buang! Tidakkah engkau tahu bahawa kita tidak makan barang sedekah?!” (HR Bukhari-Muslim). Dalam hadis ini terdapat kata lembut dalam memberi larangan, iaitu dengan kata “kakh… kakh!”

 

Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Ummu Salamah bahawa dia berkata, ”Rasulullah pernah melihat salah seorang anak kami yang bernama Aflah. Ketika dia sujud, dia suka meniup tanah  atau pasir, maka Baginda menegurnya dengan lembut, “Wahai Aflah rapatkan mukamu ke tanah.”

 

Rasulullah pun mencontohkan bagaimana memberikan hukuman secara fizikal kepada anak-anak. Pada fasa awal Baginda memerintahkan sahabat untuk menakut-nakuti anak dengan menggantungkan cemeti, untuk memperlihatkannya agar anak bergegas memperbaiki diri, berlumba untuk berpegang kepada yang benar.

 

Dari Ibnu Abbas, “Gantungkanlah cemeti yang boleh dilihat oleh keluargamu agar hal itu menjadi peringatan bagi mereka.” (HR Thabrani).

 

Fasa berikutnya dengan menarik telinga, sebagai hukuman fizikal pertama, ketika mendekati usia sepuluh tahun. Imam Nawawi dalam kitab Al-Adzkar menyebutkan, “Ibnu Sunni meriwayatkan dari Abdullah bin Burs Al-Mazini, dia berkata, “Ibuku pernah mengutusku untuk menghadap Rasulullah SAW dengan membawa setangkai anggur, lalu aku makan sebahagian darinya sebelum aku sampaikan kepada baginda. Ketika aku sampai, maka Baginda menarik kupingku dan berkata, Wahai anak yang tidak amanah.

 

Dari Ibnu Amr bin Al-Ash dari Rasulullah SAW bahawa beliau bersabda, “Suruhlah anak-anakmu menjalankan ibadah solat jika mereka sudah berusia tujuh tahun. Dan jika mereka sudah berusia sepuluh tahun, maka pukullah mereka jika tidak mahu melaksanakan solat dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (HR Hakim dan Abu Dawud).

 

Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita agar membiasakan anak mengerjakan solat sejak 7 tahun. Kalau 3 tahun setelah itu (usia 10 tahun), ternyata belum juga solat, sangat wajar jika diberi hukuman fizikal dengan pukulan yang tidak membekas dan membahayakan. Ini disebabkan oleh, pada dasarnya tempoh 3 tahun sewajarnya sudah cukup untuk mendidik kebiasaan mendirikan solat.

 

Islam mengajarkan kepada dua ibu bapa untuk memberikan pengertian, pemahaman, dan pembiasaan dalam tempoh waktu yang cukup panjang dengan penuh kasih sayang. Wajib difahami juga bahawa pukulan yang diberikan adalah pukulan yang tidak membahayakan, tidak mengenai bahagian tubuh yang utama, dan tidak menimbulkan kecacatan atau kematian. Ini disebabkan oleh, fungsi pukulan di sini adalah untuk tadib, mendidik atau mendisiplinkan, bukan untuk menyiksa anak. Tindakan ini pun melalui proses dan berperingkat-peringkat.

 

Jelaslah, demikian banyak pelajaran yang sangat berharga, teladan kasih sayang kepada anak-anak yang telah dicontohkan oleh baginda Rasulullah SAW kepada kita semua. Pembinaan perasaaan dan kecenderungan anak merupakan hal yang tidak boleh diremehkan kerana hal ini akan mempengaruhi pula proses pembentukan keperibadian si anak kelak di masa yang akan datang. Wallahualam

Exit mobile version