Pemberian oleh Negara
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَتْ: كُنْتُ أَنْقُلُ النَّوَى مِنْ أَرْضِ الزُّبَيْرِ الَّتِي أَقْطَعَهُ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَأْسِي، وَهِيَ مِنِّي عَلَى ثُلُثَيْ فَرْسَخٍ
Dari Asma binti Abu Bakar RA, dia berkata, “Aku membawa benih dari tanah Zubair yang Rasulullah SAW berikan kepadanya di atas kepalaku. Jaraknya tiga farsakh dariku.” [HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan Ibnu Hibban].
Imam al-Bukhari menambahkan, Abu Dhamrah berkata dari Hisyam dari bapanya (iaitu Urwah bin Zubair),
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْطَعَ الزُّبَيْر أَرْضًا مِنْ أَمْوَالِ بَنِي النَّضِيرِ
“Nabi SAW memberi Zubair tanah dari harta Bani Nadhir.” [HR Al-Bukhari].
Diriwayatkan juga dari Amru bin Huraits RA dia berkata,
خَطَّ لِي رَسُولُ الله صلى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -دَارًا بِالْمَدِينَةِ بِقَوْسٍ وَقَال: أَزِيدُكَ
“Rasulullah SAW menetapkan untukku rumah di Madinah dengan anak panah. Baginda bersabda, ‘Aku tambahkan buat engkau.’”[HR Abu Dawud].
Imam Asy-Syaukani di dalam Nayl al-Awthâr mengatakan, hadis Amru bin Huraits didiamkan oleh Abu Dawud dan Al-Mundziri; ia dinilai hasan oleh Al-Hafizh [Ibnu Hajar al-Ashqalani].
Alqamah bin Wail meriwayatkan dari Wail bin Hujrin RA,
أَنَّ النَّبي-صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّم-أَقْطَعَه أَرْضًا بِحَضْرَمَوْتَ
“Nabi SAW memberinya tanah di Hadhramaut.” [HR Abu Dawud, At-Tirmidzi, disahihkan oleh Ibnu Hibban, dan Al-Baihaqi].
Imam As-Sindi mengatakan, “‘aqtha’a az-Zubaira” iaitu memberinya tanah. Dikatakan, qatha’a al-imâm ardh[an] lahu wa aqtha’ahu iyyâha, iaitu jika Imam (Khalifah) memberinya tanah. Ini lebih umum dari pemindahan kepemilikan. Iqthâ’ itu berbentuk pemindahan kepemilikan dan lain-lain.
Imam an-Nawawi di dalam Syarhu Sahîh Muslim menjelaskan hadis di atas—dan ini mengandungi dalil—kebolehan Imam (Khalifah) memberikan tanah milik Baitulmal. Jadi, tanah itu tidak boleh dimiliki oleh seorang pun kecuali dengan iqthâ’ oleh Imam.
Kadangkala Imam memberikan tanah tersebut secara fizikalnya dan memindahkan kepemilikan kepada seseorang yang dia rasakan dengan pemberian itu ada kemaslahatan. Jadi, dia boleh memberikannya dan memindahkan kepemilikannya.
Ini sebagaimana dibenarkan memindahkan kepemilikan yang dia berikan berbentuk dirham, dinar atau selainnya, jika dia memandang di dalamnya terdapat kemaslahatan. Kadangkala pula Imam memberikan manfaatnya sehingga orang yang diberi tanah tersebut berhak memanfaatkannya selama masa iqthâ’.
Imam Asy-Syaukani di dalam Nayl al-Awthâr menyatakan, “Hadis-hadis bagi bab tersebut di dalamnya terdapat dalil bahawa boleh bagi Nabi SAW dan para imam (khalifah) selepas baginda untuk memberikan tanah dan mengkhususkan sebahagian tanpa sebahagian yang lain.”
Imam Ibnu az-Zanjawaih di dalam Al-Amwâl li Ibni az-Zanjawaih meriwayatkan hadis nombor 1012 dari Bilal bin Harits al-Muzani, “Bahawa Rasulullah SAW pernah memberinya al-‘Aqiq semuanya.”
Dalam Hadis nombor 1013 dari Ikrimah Mawla Ibnu Abbas RA katanya, “Rasulullah SAW pernah memberi Bilal bin Harith al-Muzani lombong al-Qabaliyyah, tanah tinggi dan rendahnya, dan yang sesuai untuk pertanian dari Quds.”
Kemudian, pada nombor 1014 dari Abu Ishaq RA, dia berkata, “Rasulullah SAW pernah memberi Al-Furat bin Hayyan al-‘Ijliy tanah di Yamamah.”
Bahkan Rasulullah SAW pernah memberikan tanah yang belum di-futuhat. Diriwayatkan oleh Ibnu Saad di dalam Thabaqât al-Kubrâ dan Abu Ubaid di al-Amwal, bahawa Nabi SAW pernah memberikan Baitu Ibrahim (tanah di Palestin) kepada Tamim ad-Dari.
Baginda menuliskan pemberian itu dalam dokumen. Ketika Palestin di-futuhat pada masa Umar bin al-Khattab RA, pemberian itu baru terlaksana secara hakiki berdasarkan dokumen pemberian Rasul SAW kepada Tamim ad-Dari itu. Tanah itu terus berada di tangan anak keturunan Tamim ad-Dari.
Imam Ibnu Abi Syaibah di dalam Mushannaf Ibni Abi Syaybah meriwayatkan hadis nombor 33025 dari Urwah bin az-Zubair bahawa, “Nabi SAW pernah memberi Zubair sebahagian tanah Bani Nadhir yang ada pohon kurma. Abu Bakar memberi Zubair al-Jarfa dan Umar memberinya al-‘Aqiq semuanya.”
Di dalam hadis nombor 33028 dari Musa bin Thalhah dinyatakan bahawa, “Uthman pernah memberi tanah kepada Ibnu Mas’ud, Sa’ad, Zubair, Khabab dan Usamah bin Zaid.”
Di dalam hadis nombor 33029 dinyatakan bahawa, “Umar pernah memberi Ali RA Yanba dan menambahkannya dengan yang lain.”
Hadis nombor 33032 juga menyatakan bahawa, “Nabi SAW pernah memberi Ali al-Qafizain dan ia adalah kawasan tanah lapang dan pokok.”
Masih banyak riwayat bahawa Nabi SAW pernah memberikan tanah kepada beberapa orang. Begitu juga Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Al-Khattab, dan Uthman bin Affan.
Nabi SAW juga pernah memberikan harta lain milik Baitulmal, selain harta zakat, kepada orang, baik berbentuk wang dinar dan dirham atau harta lain. Begitu juga Khulafaurasyidin sesudah baginda. Khalifah Umar RA, misalnya, pernah memberi kepada para petani di Iraq harta untuk menanam tanah mereka, dan memenuhi keperluan mereka tanpa memintanya kembali.
Abu Bakar RA, ketika menjadi khalifah, pernah memberikan pemberian hadiah(al-‘athâ`) seperti elaun tahunan kepada rakyat. Khalifah Abu Bakar memberi mereka perkara yang sama.
Ketika Umar bin Al-Khattab bertugas sebagai khalifah, dia meneruskan pemberian hadiah pada masa Abu Bakar itu, tetapi tidak sama jumlahnya, melainkan secara tidak sama dengan memperhatikan beberapa faktor.
Malah Khalifah Umar kemudian mencatatkan senarai pemberian hadiah itu di dalam Diwân. Pemberian dan rekod dalam Diwân ini diteruskan pada masa-masa seterusnya.
Hanya saja para ulama menggunakan istilah al-iqthâ’ hanya untuk pemberian berbentuk tanah atau harta benda. Untuk pemberian berbentuk harta selain tanah, digunakan istilah al-‘athâ’, atau al-i’thâ’u, atau i’thâ’u al-Imâm, iaitu i’thâ’u ad-dawlah.
Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm menyatakan, yang diberikan oleh negara kepada individu ini menjadi miliknya dengan pemberian (al-iqthâ’) ini. Ini kerana jemaah memerlukan kepemilikan ini untuk dimanfaatkan dan memudahkan individu untuk memanfaatkannya serta menggunakan aktiviti pemikiran atau fizikal untuk jemaah, disebabkan kepemilikan ini. Penggunaan lafaz al–iqthâ’ di sini adalah penggunaan secara bahasa dan fikih.
Nampak jelas bahawa dengan pemberian oleh negara dari harta milik Baitulmal, baik dalam bentuk harta tanah atau harta benda (al-iqthâ’u) atau selain tanah atau harta benda (al-i’thâ‘u), membuatkan harta yang diberikan itu menjadi milik individu yang mendapatkannya.
Oleh itu, pemberian negara itu menjadi salah satu sebab kepemilikan harta bagi individu yang diberikan harta tersebut, baik muslim mahupun non-muslim. Wallahu’alam wa ahkam.

