Site icon MuslimahHTM News

KAEDAH “AHWANU ASY-SYARRAIN” ATAU “AKHAFU AD-DHARARAIN”

[SOAL-JAWAB] KAEDAH “AHWANU ASY-SYARRAIN” ATAU “AKHAFU AD-DHARARAIN

 

Soalan:

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuhu.

Syaikhuna, saya ingin bertanya mengenai dua kaedah “akhaffu ad-dhararain” atau “ahwanu as-syarrain” yang dijadikan alasan oleh ramai orang di kalangan pendakwah dan gerakan Islam untuk turut serta dalam pilihan raya legislatif dan ketua negara (pemimpin negara). Adakah kedua-duanya termasuk dalam kaedah syar’iyyah? Adakah sebilangan fuqaha’ berkata demikian? Apakah dalil-dalil mereka dan apakah bantahan terhadap mereka? Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada saudara.

 

(Walid Elmi)

 

Jawapan:

 

Wa’alaikumussalam wa rahmatullah wa barakatuhu.

Mengenai kaedah ini, kami telah menjawabnya pada 29 Ogos 2010. Saya petik apa yang ada dalam jawapan kami:

 

[Kaedah “Ahwanu as-Syarrain” atau “Akhaffu ad-Dhararain”.

 

Kaedah ini adalah kaedah syar’iyyah menurut sebilangan fuqaha’. Kedua-duanya menurut ulama yang mengambilnya merujuk kepada maksud yang sama. Iaitu boleh melakukan salah satu daripada dua perbuatan yang haram, iaitu perbuatan yang kurang keharamannya di antara dua perbuatan itu jika si mukallaf tidak dibenarkan, kecuali melakukan salah satu daripada dua perkara yang diharamkan tersebut, dan tidak mungkin baginya meninggalkan kedua-duanya sekaligus, sebab hal itu tidak mungkin, iaitu di luar kemampuannya dalam setiap aspek.

 

Allah SWT berfirman:

﴿لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْساً إِلَّا وُسْعَهَا﴾

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (TMQ al-Baqarah [2]: 286).

 

Dan Allah SWT berfirman:

﴿فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ﴾

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu” (TMQ at-Taghabun [64]: 16.

 

Maksudnya, menurut mereka yang menggunakannya kaedah ini tidak terpakai melainkan jika terhalang daripada meninggalkan dua perkara yang haram, yang tidak mungkin mereka dapat menghalang diri daripada dua perkara itu dalam satu masa melainkan keharaman yang lebih besar berlaku. Maka ketika itu dia mengambil dharar (mudarat) yang lebih ringan. Sepertimana para ulama juga tidak menentukan dharar yang lebih ringan itu mengikut hawa nafsu mereka tetapi mengikut hukum syarak. Menjaga dua nyawa lebih penting daripada menjaga satu nyawa, menjaga tiga nyawa lebih utama… begitulah keadaannya. Dan menjaga nyawa lebih diutamakan daripada menjaga harta, menjaga Dar al-Islam termasuk dalam menjaga agama, dan itu lebih utama daripada menjaga nyawa dan harta. Demikian juga jihad dan al-imamah al-‘uzhma (al-Khilafah), yang kedua-duanya termasuk dalam menjaga agama, termasuk dharurat yang pertama dan utama.

 

Al-‘alim as-Syathibi berkata dalam al-Muwâfaqât: “Sesungguhnya nyawa itu dihormati, dijaga dan dituntut untuk dihidupkan yang jika ada perkara antara menghidupkan nyawa dan hilangnya hartanya, atau hilangnya nyawa dan memelihara harta, maka menghidupkan nyawa didahulukan…”.

 

Antara contoh yang disebut oleh para ulama sebagai aplikasi kaedah tersebut:

 

  1. Jika seorang ibu mengalami kesukaran untuk melahirkan anak dan terdapat ketidakupayaan untuk menyelamatkan ibu dan janin pada masa yang sama dan kes ini memerlukan keputusan yang cepat: selamatkan ibu dan ini memerlukan kematian janin, atau menyelamatkan janin dan ini memerlukan kematian ibu. Dan jika perkara ini dibiarkan dan tidak dilakukan pembedahan yang mengakibatkan kematian salah seorang dari keduanya untuk menyelamatkan yang lain, atau memelihara nyawa seorang dengan kematian yang lain, maka akan menyebabkan kematian kedua-duanya sekaligus.

 

Dalam contoh keadaan seperti ini, dikatakan ahwanu as-syarrain (kurang mudarat) atau aqallu al-haramain (yang kurang haram) atau akhaffu al-mafsadatain (yang lebih ringan mafsadatnya), iaitu dengan mengutamakan pembedahan (operation) yang menyelamatkan siapa yang wajib diselamatkan, iaitu ibu, padahal perbuatan itu sendiri menjadi pembunuhan bagi yang lain (janin).

 

  1. Seseorang diancam akan dimusnahkan atau dibunuh oleh orang lain, atau akan diserang dengan teruk pada tubuh atau organnya, atau seorang wanita akan dizina (dirogol), di hadapan seorang mukallaf yang mampu mencegah kejahatan ini sedangkan dia perlu menunaikan solat fardhu yang hampir tamat waktunya. Kemudian, adakah dia perlu menghalang/mencegah perkara haram ini sehingga menyebabkan dia terlepas menunaikan kewajipan (solat), atau dia menunaikan kewajipan tepat pada waktunya dan perkara haram itu juga berlaku, sedangkan tidak ada masa untuknya. mampu melakukan kedua-dua perkara itu secara serentak.

 

Jadi di sini kaedah itu digunakan. Dan perbandingan ini juga berasal daripada syarak yang menjadikan penghapusan perkara haram yang disebutkan di atas lebih dititikberatkan/tegas daripada menunaikan kewajipan tersebut. Sekiranya boleh melaksanakan kedua-dua kewajipan ini pada masa yang sama, kedua-duanya wajib dilaksanakan.

 

  1. Mengenai contoh lain yang disebut oleh Imam al-Ghazali dan Izzuddin bin Abdi as-Salam Rahimahamallâh, ia menunjukkan bagaimana menerapkan hukum “ahwanu as-syarrain” menurut mereka berdua, dan juga menunjukkan perbandingan antara hukum-hukum. Al-‘Izz berkata dalam kitabnya Qawâ’idu al-Ahkâm fî Masâlih al-Anâm:

 

“Jika kamu bertemu dengan mafsadat tertentu yang pasti, maka jika boleh mencegahnya, kita akan mencegahnya. Dan jika kita dihalang daripada mencegah semuanya, maka kita akan mencegah yang paling mafsadat dan seterusnya dan seterusnya, yang paling buruk dan seterusnya dan seterusnya… ”.

 

Kemudian beliau menyebutkan contoh: “Seseorang dipaksa untuk membunuh seorang Muslim yang jika dia tidak mahu, dia akan dibunuh, maka hendaklah dia mencegah mafsadat pembunuhan itu dengan bersabar atas pembunuhan (dibunuh), kerana kesabarannya atas pembunuhan (dibunuh) adalah lebih kecil mafsadatnya daripada melakukan pembunuhan terhadap orang lain…”.

 

Ini adalah contoh yang jelas bahawa ia adalah pilihan mafsadat atau perkara haram yang lebih ringan, kerana dia tidak boleh dipisahkan daripada salah satu daripadanya, dan jika dia dibenarkan menghalang kedua-dua mafsadat itu pada masa yang sama, maka perkara itu wajib baginya.

 

Beliau berkata dalam contoh lain: “Begitu juga, jika dia dipaksa (diancam) akan dibunuh untuk memberi kesaksian palsu/bohong atau membuat keputusan yang batil, maka jika orang yang terpaksa memberikan kesaksian palsu/bohong atau membuat keputusan yang batil diancam (dipaksa) untuk dibunuh, dipotong organnya, dihalalkan (memakan) sesuatu yang diharamkan, maka dia tidak boleh memberi kesaksian palsu dan tidak boleh memutuskan secara batil, kerana tunduk kepada dibunuh itu lebih utama. daripada membunuh seorang muslim bukan kerana dosa, atau dia diancam akan dipotong organnya, atau diserang kehormatannya, maka dia tidak boleh memberi kesaksian palsu, sebaliknya dia harus bersabar menghadapi pembunuhan. (dibunuh) kerana menyerah diri untuk dibunuh lebih utama daripada membunuh orang Islam yang lain…

 

Maksudnya, keadaan di sana mestilah merujuk kepada amalan “akhaffu al-haramain atau akhaffu al-mafsadatain” iaitu keadaan tidak mampu menjauhi kedua-dua perkara haram itu atau menghalang kedua-duanya sekali…

 

Ini adalah contoh-contoh penerapan kaedah “akhaffu ad-dhararain” mengikut apa yang disebut oleh ulama yang mengamalkan kaedah tersebut. Namun, ini tidak termasuk contoh penerapan kaedah ini, apa yang dipromosikan oleh syeikh penguasa, atau orang yang mahu umat Islam menyeleweng dari hukum syariah dengan melakukan penyesatan dan alasan-alasan batil.

 

Sesungguhnya, mereka yang menggunakan kaedah ini untuk melaksanakan perkara yang haram ini tanpa perkara yang haram itu, dengan menjustifikasikan tindakan mereka bahawa mereka takut dipenjarakan atau dipecat dari jawatan/pekerjaan mereka, ini bukan aplikasi kaedah ini.

 

Begitu juga mereka yang berkata, “kami ikut serta dalam pemerintahan kufur walaupun haram, supaya jangan semua jawatan/pejabat kerajaan sampai kepada orang fasik, kerana membenarkan pemerintahan untuk mereka adalah lebih besar keharamannya…” . Ungkapan ini bukan daripada penerapan kaedah tersebut. Tetapi itu seperti orang yang mengatakan bahawa kita membuka bar (tempat minum arak) dan kita mendapat hasil daripadanya daripada orang kafir yang membukanya, padahal dialah yang mendapat harta tersebut…

 

Tidak termasuk pemakaian kaedah tersebut, menawarkan kepada seseorang dua perkara yang haram kemudian dia melakukan yang lebih ringan daripada keduanya, sedangkan dia mampu mencegah dirinya daripada kedua-duanya sekali.

 

Seperti ucapan orang yang mengatakan, `pilihlah si Fulan walaupun dia seorang yang sekular atau fasik, atau sokonglah si Fulan dan jangan sokong yang lain, kerana yang pertama membantu kita manakala yang kedua tidak membantu kita’, atau seumpamanya.

 

Tetapi apa yang dikatakan di sini: dua perkara yang dikemukakan kepada kita adalah haram, jadi kita tidak boleh memilih seorang sekular dan tidak boleh mewakilkannya atau mendelegasikannya untuk mewakili seorang Muslim dalam menyatakan pendapat. Ini kerana dia tidak berpegang kepada Islam dan kerana melakukan perbuatan yang haram yang tidak boleh dilakukan oleh orang yang mewakilkan itu sendiri. Seperti menggubal undang-undang (perundangan) atau memberi kelulusan kepada projek (rancangan) haram, dan seperti menuntut akauntabiliti secara haram dan menerimanya serta berjalan di dalamnya.

 

Pada dasarnya, dia melarang kemakrufan dan menyuruh kemungkaran. Oleh itu tidak boleh memilih seseorang daripada keduanya, kerana memilih yang ini atau yang itu adalah haram, dan tidak memilih yang ini atau tidak memilih yang itu adalah termasuk dalam batas kemampuan seseorang (perkara yang boleh dilakukan).

 

Dan bukan sebahagian daripada penerapan kaedah “akhaffu ad-dhararain“, menawarkan dua perbuatan yang haram kepada seorang muslim, sedangkan mencegah dirinya daripada kedua-duanya masih dalam kemampuannya, kemudian dia memilih mana yang lebih ringan mengikut keinginan hawa nafsunya dan melakukannya dengan anggapan bahawa dalam mencegah dirinya daripada dua perkara yang haram itu mempunyai kesukaran…! Sebaliknya, dia wajib mencegah dirinya daripada semua perkara haram tersebut selagi dia mampu (dalam had kemampuannya) mengikut hukum syarak.

 

Ini adalah huraian ringkas tentang kaedah “akhaffu ad-dharrarain” atau “ahwanu as-syarrain“], selesai.

 

Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah

 

10 Rabi’ul Awwal 1442 H

27 Oktober 2020 M

 

http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/71323.html

http://archive.hizb-ut-tahrir.info/arabic/index.php/HTAmeer/QAsingle/4077

https://web.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/a.1705088409737176/2776472869265386/

 

Exit mobile version