[Keluarga] Menjaga Haibah Suami sebagai Pemimpin Keluarga Adalah Tanda Cinta Seorang Isteri
Penulis: Najmah Saiidah
Apa yang lebih membahagiakan seorang isteri selain memiliki suami soleh yang layak menjadi imam baginya dan anak-anak yang dilahirkannya kelak. Lalu mereka berdua menjalankan urusan rumah tangga bersama, berlayar mengharungi samudera kehidupan menuju redha-Nya.
Memang mendapatkan suami yang “sempurna” adalah harapan setiap perempuan. Namun, tidak jarang seorang isteri mendapat suami yang tidak selalu sama dengan harapannya. Kadang suami malas untuk membaca Al-Quran, bahkan sangat jarang bangun malam atau suami tidak rajin berpuasa.
Bahkan, ada suami yang terlalu sibuk kerja hingga menjauh dari Rabbnya. Sibuknya si suami sehingga terpaksa menyerahkan urusan-urusan keluarga kepada isterinya untuk mengaturnya, bahkan sehingga si isteri terpaksa membuat keputusan untuk keluarga sekalipun. Ini kerana dia sangat percaya kepada isterinya.
Sudah pasti keadaan ini tidak boleh dibiarkan terus menerus berlaku. Bagaimanapun mandirinya seorang isteri, dia tetap memerlukan teman bicara, bimbingan, dan pengarahan dari seorang lelaki yang sangat dipercayainya dalam menjalani kehidupan rumah tangga.
Lebih dari itu, syariat Islam memang telah meletakkan lelaki (suami atau ayah) sebagai pemimpin dalam keluarga. Si isteri perlu melakukan beberapa usaha bagi meletakkan kedudukan suami dalam keadaan yang telah ditetapkan Allah, iaitu sebagai pemimpin keluarga bagi menjaga haibah (wibawa) suami sebagai pemimpin keluarga. Berikut adalah beberapa usaha yang boleh dilakukan oleh seorang isteri:
- Membantu suami untuk memahami kedudukannya sebagai imam
Bahtera rumah tangga seringkali diumpamakan seperti bahtera yang sedang berlayar di tengah lautan. Lautan yang tidak selamanya tenang dan nyaman, kadang kala perlu menghadapi badai, ombak, angin kencang, atau cuaca yang tidak bersahabat. Itulah sebab mengapa dalam Islam, suami dijadikan sebagai ketua rumah tangga atau imam atau pemimpin bagi keluarganya.
Bahkan, tanggung jawab seorang imam keluarga tidak saja terbatas di dunia semata, tetapi berlanjutan hingga akhirat. Di sinilah pentingnya seorang suami mengetahui cara menjadi imam yang baik bagi keluarganya.
Tidak ada yang lebih membahagiakan seorang isteri selain memiliki suami soleh yang layak menjadi imamnya, lalu mereka mengayuh bahtera rumah tangga bersama menuju redha-Nya. Ketika pada kenyataanya si suami tidak memiliki pemahaman yang utuh tentang kedudukannya sebagai imam dalam keluarga, sudah sepatutnya kita sebagai isteri membantu suami untuk memahami kedudukannya ini.
Misalnya, dengan belajar bersama, menghadiri kajian-kajian Islam tentang keluarga samawa (sakinah, mawadah, wa rahmah). Selain itu, dia berusaha mengingatkan suaminya dan sentiasa berdoa agar boleh tumbuh bersama dalam kebaikan dan keberkahan.
- Saling menasihati
Manusia mana pun tidak ada yang sempurna, pasti memiliki kekurangan dan tidak luput dari kesalahan. Persahabatan suami isteri akan mengantarkan setiap orang untuk tidak rela pasangannya terus-menerus berada dalam situasi yang buruk atau memaklumi kekurangannya, padahal boleh diperbaiki jika mahu berusaha.
Saling memberi nasihat dan selalu memotivasi untuk berubah ke arah yang lebih baik merupakan wujud suatu hubungan yang saling mencintai kerana Allah Swt.. Ini kerana tujuannya adalah dalam rangka menjaga ketaatan kepada Allah Swt. dan menjauhkan pasangannya dari melakukan hal yang buruk, terlebih lagi kemaksiatan kepada-Nya.
Nasihat dan motivasi yang disertai dengan komunikasi yang tepat waktu, lemah lembut, dan tidak menjustifikasi kekurangan akan membuat pasangan yang dinasihati merasakan kesejukan dan ketenteraman dalam menerima masukan. Bahkan akan bertambah semangat untuk berubah kepada hal yang lebih baik.
- Selalu memahami keadaan suami
Kita ketahui bersama bahawa pernikahan adalah menyatukan dua orang yang berasal dari latar belakang yang berbeza dan dua keluarga yang berbeza. Oleh kerana itu, suami isteri perlu saling memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing, serta menerimanya dengan lapang dada tanpa ada penyesalan yang berkepanjangan.
Akan tetapi, memahami keadaan suami bukan bererti membiarkan kekurangan suami sebagai pemimpin keluarga begitu saja. Sudah pasti si isteri henaklah terus memberikan dorongan agar suami mahu belajar dan terus belajar sehingga muncul kepercayaan dirinya dalam memimpin keluarganya.
Saling memahami akan menjadikan suami isteri berempati terhadap pasangannya sehingga tidak mudah saling berburuk sangka, tetapi tidak bererti toleran terhadap kesalahan dan kelemahan yang dapat merugikan pasangannya. Namun, sikap ini memudahkan suami isteri untuk berfikir jernih sebelum memberikan pendapat dan menilai pasangannya.
- Bersabar membersamai suami dan memberikan kesempatan kepada suami untuk berubah
Keluarga yang tegak di atas syariat Islam, sesungguhnya akan mampu menciptakan ketenangan, ketenteraman, keadilan, dan rasa aman. Suami isteri hidup berdampingan, saling kasih dan sayang, serta menjalankan bahtera keluarga layaknya dua orang sahabat sejati yang selalu berkongsi suka dan duka.
Hanya saja, ketika ada permasalahan menghampiri keluarga, kadangkala menjadikan segalanya serba sempit. Namun, jika ingat tujuan awal menikah adalah ingin menggapai redha Allah Swt., bersikap ikhlas, bersabar, dan selalu berusaha memperbaiki keadaan yang masih boleh diperbaiki tentu lebih baik.
Ikhlas bahawa keadaan ini datangnya dari Allah merupakan langkah pertama dan utama ketika kita menghadapinya, kemudian diiringi dengan tawakal dan sabar sehingga boleh mencari jalan keluar terbaik dengan fikiran yang jernih.
Situasi in tentu saja bukan hal mudah untuk dihadapi, baik oleh isteri mahupun suami. Bagi isteri, tidak dapat dimungkiri memang kadang-kadang sukar untuk menerima kenyataan ini. Begitu juga dengan suami, boleh jadi menjadi beban baginya.
Namun, dengan bekal ikhlas, sabar, tawakal, dan saling menguatkan dan mendukung, serta terus berusaha berubah menjadi lebih baik, insyaallah pasangan suami isteri akan mampu menghadapi keadaan ini dengan baik.
- Sentiasa mendoakan suami
Sudah seharusnya kita menghiasi lisan kita dengan doa-doa agar suami menyedari kekurangannya dan mahu berusaha belajar dan memperbaiki keadaannya. Kita sentiasa mendoakan agar suami selalu berusaha agar dapat menjadi pemimpin yang baik dalam keluarga, walaupun bukan hal yang mudah baginya. Semoga dia dan keluarga kita selalu diberi keberkahan, terpelihara dari keburukan, penuh kasih sayang, dan bersedia menghadapi situasi apa pun.
Dalam keadaan menghadapi beratnya beban hidup, keluarga muslim dianjurkan untuk bersabar, mohon keampunan, dan memanjatkan doa kepada Allah, di antaranya,
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ اِنْ نَّسِيْنَآ اَوْ اَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ اِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهٗ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهٖۚ وَاعْفُ عَنَّاۗ وَاغْفِرْ لَنَاۗ وَارْحَمْنَا ۗ اَنْتَ مَوْلٰىنَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكٰفِرِيْنَ
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat, sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” [TMQ Al-Baqarah (2): 286]
Dengan doa yang tulus agar Allah memberi kemudahan kepada suami untuk berubah, maka insyaallah suami akan menjadi lebih percaya diri sehingga lambat laun menjadi pemimpin keluarga sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Swt.. Semoga keberkahan, keselamatan, dan kelapangan rezeki selalu tercurah kepada keluarga. Amin.
Kekuatan doa dari isteri merupakan senjata terbesar dan terampuh dalam setiap langkah dan usaha suami. Rasulullah saw. mengatakan, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” (HR Tirmidzi)
- Memberikan kepercayaan kepada suami
Ketika Allah memerintahkan kepada suami untuk mencari nafkah, memberikan perlindungan, mendidik isteri dan anak-anaknya, sesungguhnya Islam telah memberikan kepercayaan hal tersebut kepada suami. Dia adalah pemimpin dalam keluarga. Hal ini jugalah yang selalu kita sampaikan kepada suami kita sehingga beliau semakin memahami tugas dan kewajipannya.
Dengan pemahaman ini jugalah, seorang isteri menanamkan kepercayaan sepenuhnya kepada suaminya. Seorang suami yang afham hal ini, ketika keluar rumah mencari nafkah untuk keluarga, dia akan menjaga kepercayaan isteri kepadanya, dengan mencari harta yang halal dan berusaha sedaya mampu untuk menafkahi keluarga. Ini semua semata-mata dia lakukan dalam rangka menunaikan kewajipannya sebagai pemimpin dalam keluarga dan menjaga kepercayaan isteri dan keluarganya.
Demikianlah, Islam telah mengajarkan kita untuk selalu saling membantu dalam menjalankan kewajipan dan tuntunan syariat sehingga tidak ada satu pun perintah Allah yang tidak tertunaikan. Selain itu, kita hendaklah selalu saling memberikan semangat, baik secara spiritual dan pemikiran.
Keduanya mesti menjadikan pasangan hidupnya tetap teguh di jalan Islam. Keduanya hendaklah mengajak pasangan hidupnya untuk bertakwa, bersabar, dan menjalankan kewajipan. Kita mengajak pasangan untuk menjaga kemuliaan, qanaah, dan hidup sederhana. Keduanya mesti bekerjasama sehingga dapat menjalani hidup dengan sebaik-baiknya. InshaAllah
Khatimah
Seorang isteri yang baik, isteri yang penuh cinta kepada suaminya, isteri yang mengharapkan keluarganya menjadi sakinah, mawaddah, wa rahmah, dia tidak akan menyalahkan keadaan. Dia sedar kini dia telah menjadi isteri.
Dia juga sedar bahawa keluarganya adalah medan amal menuju syurga. Oleh kerana itu, dia membantu suaminya menjadi pemimpin rumah tangga yang lebih baik. Dia tidak bosan mengingatkan suaminya menjadi lebih dekat kepada Allah Swt., dan memotivasinya agar semangat beribadah sehingga menjadi teladan bagi anak-anak.
Sebuah nasihat dari seorang isteri salah seorang tabi’ut tabiin untuk kita semua, “Orang yang lebih buruk dari suami yang buruk adalah isteri yang membiarkan suaminya berakhlak buruk”. Masyaallah, sebuah nasihat yang luar biasa. Semoga kita boleh mengamalkannya.
Isteri yang baik, dia sedar bahawa Allah-lah Yang Maha Kuasa membolak-balikkan hati manusia. Oleh kerana itu, sebagaimana doa Nabi yang sering dipanjatkan, Allahumma yaa muqallibal quluub, tsabbit quluubanaa ‘alaa diinik, maka dia pun berdoa dengan doa yang sama.
Dia meminta kepada Allah agar menjadikan dirinya dan suaminya istiqamah di atas agama-Nya, dia memohon kepada Allah agar selalu membimbing suaminya, dia terus berdoa agar Allah memberi hidayah dan taufik kepada suaminya. Aamiin ya Mujiibassailin. Wallahualam bissawab.
#keluarga #isterisolehah #perananisteri

