[Tafsir] Dakwah Itu Mengajak, Bukan Memaksa (Tafsir Surah An-Nahl Ayat 125)
Oleh: Kartinah Taheer
Dakwah adalah sebenarnya mengajak manusia ke jalan yang benar, menyeru untuk taat. Dakwah ialah kebaikan kerana dakwah memang diperintahkan oleh Allah. Cuma, jika dilakukan dengan cara yang keliru seperti paksaan sebenarnya keluar dari intipati dakwah itu sendiri yang merupakan satu bentuk kasih sayang. Akibatnya, ia akan membuat manusia semakin menjauh, malah fobia terhadap Islam.
Oleh itu, adalah penting bagi pengemban dakwah memahami bagaimana dakwah itu mesti disampaikan. Allah telah menggariskan tatacara berdakwah dalam Surah An-Nahl: 125. Allah berfirman,
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya. Dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Al-Hafizh Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir Al-Quran al-Adzim, menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan kepada Rasul-Nya (Nabi Muhammad SAW) agar menyeru manusia untuk menyembah Allah dengan cara yang bijaksana.
Ibnu Jarir mengatakan bahawa yang diserukan kepada manusia ialah wahyu yang diturunkan kepadanya berupa al-Quran, sunnah, dan pelajaran yang baik. Iaitu segala yang terkandung di dalamnya berupa larangan dan kejadian yang menimpa manusia (pada masa lampau). Pelajaran yang baik adalah untuk dijadikan peringatan bagi mereka tentang pembalasan Allah SWT (terhadap mereka yang derhaka).
Firman Allah SWT,
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” [TMQ An-Nahl (16): 125]
Maksudnya, terhadap orang-orang yang dalam rangka menyeru mereka memerlukan perdebatan dan bantahan, maka hendaklah hal ini dilakukan dengan cara yang baik iaitu dengan lemah lembut, tutur kata yang baik, dan cara yang bijak. Ayat ini sama maknanya dengan ayat lain yang disebutkan dalam firman-Nya,
وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ
“Dan janganlah kalian berdebat dengan ahlul kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.” [TMQ Al-‘Ankabut (29): 46].
Allah SWT memerintahkan Nabi saw untuk bersikap lemah lembut, seperti yang telah diperintahkan-Nya kepada Musa dan Harun. Ketika kedua-duanya diutus oleh Allah SWT kepada Firaun, yang kisahnya disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya,
فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى
“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut.” [TMQ Thaha (20): 44]
Adapun firman Allah SWT,
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat dari jalan-Nya.” [TMQ An-Nahl (16): 125]
Maksudnya, Allah telah mengetahui siapa yang celaka dan siapa yang berbahagia di antara mereka dan hal tersebut telah dicatat di sisi-Nya serta telah disempurnakan kepastiannya. Maka serulah mereka untuk menyembah Allah dan janganlah kamu merasa kecewa (bersedih hati) terhadap orang yang sesat di antara mereka. Kerana sesungguhnya bukanlah tugas kita untuk memberi mereka petunjuk. Sesungguhnya tugas kita hanyalah menyampaikan dan Kamilah yang akan menghisab.
Dalam ayat yang lain disebutkan dengan firman-Nya,
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi.” [TMQ Al-Qasas (28): 56]
لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ
“Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk.” [TMQ Al-Baqarah (2): 272]
Daripada tafsiran ayat di atas, dapat disimpulkan ada tiga kaedah dalam berdakwah, iaitu: (1) al-hikmah (hikmah); (2) al-mau’izah al-hasanah (pelajaran yang baik), dan (3) al-mujadalah billati hiya ahsan (berdebat dengan sesuatu yang lebih baik).
Hikmah ialah al-burhan al-aqli (hujah yang rasional), sedangkan mau’izhah hasanah adalah memberi peringatan yang baik, iaitu mempengaruhi perasaan khalayak ketika menyeru akal mereka dan mempengaruhi pemikiran mereka ketika menyeru perasaan mereka, sehingga perasaan dengan pemikiran mereka disepadukan supaya dapat menghasilkan perbuatan dengan kualiti yang sempurna. Adapun jadal (perbincangan) dengan yang lebih baik adalah perbincangan yang terhad kepada idea dan tidak melepasi batas idea sehingga menyerang peribadi.
Inilah tatacara dalam berdakwah untuk menyampaikan ajaran Islam sehingga mampu membangkitkan keyakinan dan kesedaran untuk menerima dan melaksanakannya. Wallahualam bissawab.
Sumber: Suara Mubalighah
#TafsirAlQuran
#Dakwah
#MengajakManusia
#TaatKepadaAllah
#CaraBerdakwah
Dakwah Itu Mengajak, Bukan Memaksa (Tafsir Surah An-Nahl Ayat 125)

