[Nafsiyah] Jangan Membebani Diri Sendiri
Saudariku, ada hadis yang menjelaskan tentang bentuk kepatuhan seorang hamba terhadap syariat. Dari Abu Hurairah ra. berkata, “Rasulullah ﷺ pernah berkhutbah di hadapan kami dan bersabda, ‘Wahai manusia! Allah telah mewajibkan haji kepada kamu, maka berhajilah.’ Lalu ada orang yang bertanya, ‘Adakah pada setiap tahun wahai Rasulullah?’ Beliau pun terdiam, sampai dia bertanya sebanyak tiga kali, kemudian Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Jika aku katakan, ‘Ya,’ tentu ia menjadi wajib dan kamu pasti tidak akan sanggup.’ Kemudian beliau bersabda, ‘Tinggalkanlah aku pada apa yang aku tinggalkan kepada kamu, kerana sesungguhnya, binasanya orang-orang sebelum kamu adalah kerana banyak bertanya dan pertentangan mereka kepada para nabi mereka. Jika aku memerintahkan sesuatu, kerjakanlah semampu kamu dan jika aku melarang, maka tinggalkanlah.’”
Daripada hadis di atas kita dapat memahami bahawa setiap yang dilarang Rasul ﷺ wajib ditinggalkan seluruhnya, kecuali ada uzur yang membolehkannya. Ada kaedah yang menyatakan, “Tidak ada kewajipan ketika tidak mampu.”
Misalnya, dalam perkara solat, jika tidak sanggup untuk mengerjakan sebahagian rukun atau syarat, maka kerjakanlah apa yang mampu. Begitu juga dalam berwuduk, jika tidak sanggup membasuh sebahagian anggota wuduk, maka basuhlah bahagian yang dapat dibasuh.
Dalam melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar, usahakanlah sesuatu sesuai kesanggupannya, tetapi tidak boleh meninggalkan aktiviti yang diwajibkan oleh Allah tersebut. Dalam Islam, sesuatu yang dilarang terbahagi menjadi dua. Pertama, larangan yang menunjukkan haram. Hal ini wajib segera ditinggalkan. Kedua, larangan kerana kurang utama (makruh). Hal ini dianjurkan untuk ditinggalkan.
Pada umumnya larangan-larangan dalam ibadah menunjukkan haram, kerana asal ibadah itu tauqif (diam/menunggu dalil), sedangkan larangan-larangan dalam hal adab (kerana tindakan tersebut kurang utama) biasanya makruh. Oleh kerana itu, kita sering membaca dalam kitab-kitab para ulama disebutkan, “Larangan itu adalah makruh,” yakni kerana terkait perkara dengan adab.
Kembali pada hadis sebelumnya, “… kerana banyak bertanya dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka,” menyebabkan mereka banyak bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan hanya kerana ingin memperdalam pengetahuan atau membebani diri. Hal tersebut adalah haram.
Imam Ibnu Rajab berkata, “Hadis-hadis yang menunjukkan larangan bertanya tentang hal yang tidak diperlukannya, juga menunjukkan larangan bertanya dengan maksud ta’annut/takalluf (main-main dan melecehkan).”
Dengan demikian, Zaid bin Tsabit ra. apabila ditanya tentang sesuatu, dia berkata, “Adakah ini benar terjadi?” Jika mereka mengatakan, “Tidak,” maka Zaid bin Tsabit mengatakan, “Tinggalkanlah (pertanyaan itu) sampai benar-benar terjadi.”
Saudariku, kita dilarang untuk banyak bertanya atas sesuatu yang tidak diperintahkan Allah. Hal ini semata-mata agar tidak membebani diri kita sendiri. Di samping itu, banyak bertanya bukan ukuran yang menunjukkan baiknya keadaan agama seseorang dan ianya tidak menunjukkan sifat warak juga.
Adapun bertanya tentang Al-Quran dengan maksud untuk memahami suatu ayat atau bertanya terkait hadis, dan menanyakan suatu ilmu untuk diamalkan, hal ini tidak mengapa, bahkan termasuk sesuatu yang terpuji. Termasuk juga bertanya tentang hal yang benar-benar terjadi atau biasanya terjadi.
Aisyah ra. pernah berkata, “Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Rasa malu tidak menghalangi mereka untuk mendalami agama.” (HR Bukhari)
Namun, apabila bertanya tentang masalah yang tidak ada habis-habisnya, atau jarang terjadi, atau tidak terjadi, dan tidak ada faedahnya, seperti tentang sesuatu yang Allah sembunyikan dari makhluk-Nya, rahsia takdir, dan bila berlakunya kiamat, pertanyaan seperti ini hendaklah dihindari dan dijauhi.
Sebaiknya kita menyibukkan diri dengan perkara yang lebih penting yang diperlukan pada saat itu. Hendaklah bertanya terkait perkara yang diperlukan, serta tidak bertanya tentang perkara yang tidak penting.
Sederhananya, mengutamakan untuk melakukan yang wajib daripada menanyakan sesuatu yang tidak diwajibkan hingga akhirnya melalaikan kewajipan dan membebani diri dengan sesuatu yang tidak diwajibkan.
Ada beberapa catatan penting bagi kita agar tidak membebani diri sendiri dalam perkara ketaatan pada syariat:
Pertama, wajib menjauhi semua yang dilarang Rasulullah ﷺ, apatah lagi yang dilarang Allah SWT.. Larangan tersebut menunjukkan haram, bukan makruh.
Kedua, barangsiapa yang tidak mampu melakukan perbuatan yang diperintahkan secara keseluruhan, dan dia hanya mampu melakukan sebahagiannya, dia hendaklah melakukan apa yang mampu dilakukan.
Ketiga, mudahnya agama ini, kerana Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai kemampuannya.
Keempat, menolak keburukan lebih diutamakan dari pada mendatangkan kemaslahatan.
Kelima, larangan berselisih dan anjuran untuk bersatu dan bersepakat.
Keenam, wajib mengikuti Rasul ﷺ dalam perintahnya yang wajib dan menyelisihi beliau merupakan sebab kebinasaan.
Ketujuh, tercelanya sikap membebani diri dengan bertanya sesuatu secara mendalam yang akhirnya akan memberatkan dirinya. Seperti halnya Bani Israil, saat mereka membebani dirinya dengan terus bertanya tentang lembu betina. Akhirnya mereka sukar mencari lembu tersebut.
Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya orang muslim yang paling besar dosanya bagi kaum muslimin adalah orang yang bertanya tentang sesuatu yang (sebelumnya) tidak diharamkan bagi kaum muslimin, lalu menjadi haram kerana pertanyaan itu.” (HR Bukhari dan Muslim)
Imam Nawawi berkata, “Sepatutnya bagi orang yang telah sampai kepadanya sesuatu dari fadhaa’ilul a’maal (keutamaan terhadap suatu amalan) untuk mengamalkannya meskipun hanya sekali agar dia termasuk orang yang melakukannya. Tidak meninggalkannya secara mutlak, bahkan hendaklah dia mengerjakan yang mudah.”
Fokuslah pada hal-hal yang telah difahami dengan baik untuk ditunaikan dalam urusan agama Allah. Segala perintah Allah dan larangan-larangan-Nya. Inilah pentingnya untuk terus mengkaji Islam dan memperdalam agama. Agar kita mudah menjalani kehidupan dengan berbagai petunjuk syariat dan tuntunan Islam.
Rugilah orang yang sedikit memahami agama hingga akhirnya meninggalkan majlis ilmu dan menjauhkan diri dari kajian-kajian tsaqafah Islam. Akhirnya dia boleh sahaja jatuh dalam perkara membebani dirinya atas sesuatu yang tidak diwajibkan atasnya. Wallahualam.
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/10/07/12477/
#nafsiyah #ilmu #beban #amalan #amarmakruf #nahimunkar #adabbelajar #taathukumsyarak

