Titik Perubahan Kaum Muslim dalam Peperangan
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Umar bin Khattab berkata“Jika kita tidak boleh mengalahkan mereka dengan ketaatan kita, merekalah yang mengalahkan kita dengan kekuatan mereka.”
Kunci kemenangan dan kekalahan kaum muslim bukan bersandarkan kepada jumlah tentera, peralatan ketenteraan atau yang lainnya tetapi bersandarkan ketaatan mereka kepada Allah SWT. Sebagaimana fakta dalam Perang Badar membuktikan ketika jumlah musuh tiga kali ganda dibandingkan dengan jumlah kaum muslim tetapi Allah SWT telah memberikan kemenangan kepada kaum muslim disebabkan oleh ketaatan mereka kepada Allah SWT.
Begitu juga dalam kisah Perang Uhud, yang mana jumlah pasukan kaum muslim adalah sedikit tetapi mereka menyangka akan mencapai kemenangan keatas pasukan kaum kafir Quraisy seperti dalam perang Badar. Sehinggakan pasukan pemanah berjumlah 50 orang yang diamanahkan oleh Nabi SAW untuk bertahan di Jabal Rumat telah meninggalkan posisi mereka.
Akibatnya posisi tersebut direbut oleh pasukan Khalid bin al-Walid. Keadaan berubah secara keseluruhan dari suasana kemenangan dan menguasai peperangan akhirnya jatuh berguguran dan menderita kerugian. Bahkan hampir mengorbankan nyawa Rasulullah SAW. Akibatnya nama baik dan kemenangan yang mereka sandang ketika Perang Badar itu hancur.
Padahal sebelum itu Nabi SAW telah memberi arahan yang tegas. “Kalian mesti berada di posisi kalian, melindungi kami dari belakang. Apa pun yang terjadi, kalian mesti berada di sana, baik menang mahupun kalah.” Akan tetapi para sahabat juga manusia, mereka mempunyai gharizatul -baqa’ (naluri untuk mempertahankan diri) seperti manusia yang lain. Ketika melihat pasukan lain di lereng Jabal Rumat itu berebut mengambil ghanimah, mereka pun tergoda sehingga melupakan pesanan dan arahan Rasulullah SAW.
Sebahagian yang lain berkata kepada yang lain, “Ghanimah! Ghanimah!” kata mereka. Kata sebahagian yang lain, “Teman kamu telah menang, apa yang kamu tunggu?” Pada masa itu, ketua pasukan pemanah, Abdullah bin Jubair, sudah mengingatkan mereka agar tetap berpegang teguh pada amanah yang diberikan oleh Nabi SAW kepada mereka. “Lupakah kamu kepada titah yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW kepada kamu?” tanya Abdullah bin Jubair kepada mereka. Namun sayang tipuan dunia di depan mata telah membuatkan mereka buta dan melupakan amanah dari Nabi SAW.
Mereka tidak menghiraukan peringatan demi peringatan yang disampaikan oleh ketua mereka. Mereka berkata “Tidak, kami akan tetap bersama dengan mereka dan mengambil bahagian ghanimah kami.” Akhirnya 40 orang pemanah atau dalam riwayat lain menyatakan lebih dari itu, benar-benar meninggalkan posisi mereka. Mereka turun untuk bersama dengan pasukan lain yang berada di bawah untuk mendapatkan bahagian ghanimah mereka.
Disebabkan pasukan pemanah meninggalkan posisi mereka, benteng pertahanan pasukan kaum muslim dari belakang terbuka luas. Hanya tinggal Abdullah bin Jubair dan sembilan orang lainnya yang tetap bertahan di sana.
10 orang yang tersisa itu masih bertahan di posisi masing-masing kerana memegang teguh amanah Rasulullah SAW. Mereka bertahan sehingga diberi keizinan dari Nabi SAW untuk meninggalkan posisi mereka atau mereka terbunuh di sana.
Melihat peluang keemasan yang luar biasa itu, Khalid bin Al-Walid segera mengambil alih posisi tersebut. Khalid bin Al-Walid membawa ahli pasukan berkudanya masuk segera ke Jabal Rumat dengan menyerang pertahanan pasukan kaum muslim dari belakang. Dalam waktu singkat beliau berjaya menundukkan Abdullah bin Jubair dan sembilan sahabatnya yang masih setia mempertahankan posisi mereka.
Setelah posisi tersebut berjaya direbut oleh Khalid bin Al-Walid bersama pasukannya, beliau berteriak sekeras-kerasnya dengan suara lantang. Maka pasukan kaum musyrik yang sebelumnya telah hilang harapan serta keberanian akhirnya mereka bangkit semula dan berpatah balik untuk menyerang kembali kaum muslim. Seorang wanita dari kalangan mereka iaitu Amrah binti Alqamah al-Haritsah segera mengutip panji-panji perang kaum musyrik yang sudah bertaburan di tanah tetapi tiada sesiapa yang berani mengambilnya untuk dikibarkan kembali.
Orang-orang musyrik yang sudah berpecah belah akhirnya kembali berkumpul dan berhimpun dengan mengelilingi panji tersebut. Mereka berkumpul dengan memanggil antara satu sama lain sehingga membentuk kumpulan yang cukup besar. Setelah berkumpul mereka pun segera menggempur pasukan kaum muslim yang pada waktu itu sudah terjerat di bahagian hadapan mahu pun di bahagian belakang. Ketika itu posisi Nabi SAW yang didampingi sekelompok kecil sahabat yang berjumlah hanya sembilan orang berada di barisan belakang.
Baginda SAW pada ketika itu sedang mengawasi peperangan yang semakin mengganas dimana pasukan kaum muslim berjuang mati-matian melawan pasukan kaum musyrik iaitu pasukan berkuda Khalid bin Al-Walid yang berjaya mengubah keadaan dan menyerang dari belakang.
Pada ketika itu baginda SAW hanya mempunyai dua pilihan iaitu menyelamatkan diri bersama sembilan orang pengawalnya ke tempat yang selamat dengan meninggalkan pasukannya yang terkepung itu atau pun mengambil risiko dengan mengumpulkan para sahabat di sekelilingnya demi membuka jalan bagi pasukannya yang terkepung untuk sampai ke bukit Uhud.
Di sinilah kebijaksanaan dan keberanian dalam mengambil risiko yang terdapat dalam diri panglima agung Nabi Muhammad SAW yang luar biasa. Baginda memilih pilihan yang kedua iaitu dengan memanggil para sahabatnya dengan suara lantang, “Wahai hamba Allah, kemarilah!” Padahal baginda SAW menyedari teriakan itu boleh didengari oleh kaum musyrik, tetapi baginda SAW tetap mengambil risiko dengan mempertaruhkan keselamatan diri baginda SAW sendiri.
Yang pasti pasukan kaum musyrik pun dengan segera mengetahui rancangan tersebut lalu mereka menuju ke arah posisi baginda SAW berada sebelum pasukan kaum muslim berkumpul ke arah posisi baginda. Namun Allah Maha Penolong dan sebaik-baik Pelindung. Wallahu a’lam.
Sumber: Tabloid Media Umat Edisi 251

