Adilnya Sistem Kehakiman dalam Islam
Penulis: Naila Zayyan
Sistem Kehakiman dalam Islam
Sistem kehakiman dalam Islam berbeza dengan sistem kehakiman dalam sistem sekular pada masa ini. Menurut sistem kehakiman Islam, hanya terdapat seorang hakim yang bertanggungjawab dalam setiap perkara. Dia berkuasa mengadili perkara yang dilaporkan dan menghukum berdasarkan al-Quran dan hadis. Qadhi-qadhi lainnya hanya berhak membantu dan memberikan pandangan jika mereka diminta oleh qadhi yang mengetuai proses penghakiman.
Hukuman Islam hanya boleh dilaksanakan jika bukti-bukti yang ada secara pasti menunjukkan perbuatan jenayah seseorang dan seluruh syarat dipenuhi, seperti syarat empat orang saksi dalam perkara zina. Jika terdapat sedikit keraguan atas bukti yang diajukan, kes yang sedang diadili akan dihentikan.
Di bawah sistem kehakiman Islam, setiap orang, lelaki mahupun perempuan, muslim mahupun non-muslim, defendan mahupun plaintif, berhak untuk melantik seseorang untuk mewakilinya.
Selain itu, tidak ada perbezaan antara kehakiman sivil dan kehakiman ketenteraan seperti pada masa ini yang kita dapati di negeri-negeri muslim. Di Pakistan, misalnya, sebahagian hukum Islam dan sebahagian hukum kufur diterapkan bersama-sama. Negara Islam hanya akan menggunakan sumber hukum Islam, iaitu al-Quran dan hadis sebagai rujukan.
Hukuman Islam diterapkan tanpa ditunda-tunda dan dilakukan tanpa keraguan. Tidak ada seorang pun yang mendapat hukuman, kecuali setelah mendapatkan keputusan kehakiman. Selain itu, pelbagai bentuk penganiayaan tidak akan pernah diizinkan.
Di bawah sistem Islam, seorang mangsa kejahatan berhak memaafkan penjenayah atau menuntut tanggungjawab (qisas) atas sebuah kejahatan, kecuali hukuman-hukuman hudud yang merupakan hak Allah SWT.
Setiap warga negara dalam sistem Islam kaffah berhak mengajukan pemimpin negara kepada penghakiman, menyampaikan pendapat kepadanya, memberi kritikan kepadanya jika ada kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tersebut kepadanya. Hal ini pernah terjadi pada zaman pemerintahan Umar bin Khattab RA ketika seorang perempuan membetulkan Umar atas keputusan keliru yang beliau keluarkan tentang besarnya nilai mahar.
Keadilan dalam Naungan Islam
Terdapat tiga tiang yang selalu menyertai ketika sistem Islam kaffah diterapkan dalam segala aspek dalam naungan Khilafah, iaitu keimanan dan ketakwaan individu, pendapat umum yang memandang buruk maksiat atau kejahatan, serta hukuman tegas oleh negara terhadap tindakan jenayah.
Bagi seorang muslim, keimanan akan mendorong mereka untuk selalu tunduk kepada aturanNya. Ketakwaan akan mencegah dari perbuatan-perbuatan jenayah, seperti mencuri, merompak, penyalahgunaan dadah, dan sebagainya. Keyakinan seorang muslim kepada akhirat akan membuatnya takut untuk melakukan kejahatan.
Suasana masyarakat yang ada dalam negara Islam adalah suasana yang memegang dan menyebarkan nilai-nilai dan roh Islam. Perbuatan yang bertentangan dengan Islam dipandang hina. Hal ini akan membentuk pendapat umum yang menentang segala perbuatan maksiat dan mampu mencegah perbuatan maksiat tersebut.
Ditambah lagi, hukuman tegas yang dimiliki Islam terhadap penjenayah berfungsi mencegah manusia lain untuk melakukan kejahatan serupa (zawajir) dan menjadi penebus dosa manusia di akhirat (jawabir).
Islam tidak menyerahkan pembuatan hukum kepada hawa nafsu dan keinginan manusia seperti di Barat. Pembuat hukum hakiki adalah Allah SWT, Sang Pencipta manusia dan Zat yang Maha Mengetahui keadaan manusia.
Allah SWT berfirman, “Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang sebenarnya dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik.” [TMQ al-An’aam (6):57]
Khatimah
Masalah asas dalam masyarakat Barat ialah percanggahan antara konsep hak asasi manusia (HAM) dan demokrasi. Dengan konsep HAM, mereka mengatakan kebebasan ialah hak asasi bagi masing-masing secara individu sehingga bebas melakukan semua perbuatan. Sedangkan demokrasi membatasi kebebasan tersebut kerana mengandungi intipati menetapkan hukum. Hasil dari percanggahan ini adalah wujudnya kekacauan dalam masyarakat.
Berbeza dengan keadilan yang dihasilkan oleh sistem kehakiman Islam yang membuatkan hati dan fikiran manusia menjadi tenang, menciptakan keselamatan, dan menumbuhkan kepercayaan dalam diri bahawa hak-hak kita sebagai manusia akan dilindungi.
Tiga tiang dalam sistem kehakiman seperti dijelaskan dalam tulisan ini akan memberikan jaminan bahawa dunia akan bebas dari pelbagai kerosakan dan eksploitasi yang ditimbulkan oleh hukuman buatan manusia. Selain itu, masyarakat akan dibebaskan dari gelombang kejahatan akibat penerapan hukuman buatan manusia. Wallahu’alam.
*Dipetik dari artikel asal : https://muslimahnews.net/2022/10/13/12810/

