Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan Penyebaran Islam di Al-Maghribi
Penulis: Nabila Ummu Anas
Khalifah Umar bin Abdul Aziz menjadikan misi menyebarkan Islam di negeri-negeri yang ditaklukkannya sebagai tanggungjawab utamanya. Dengan demikian, kaedah perjuangan yang dilakukan para penguasa Islam untuk menyebarkan Islam di negeri Al-Maghribi (Tunisia, Algeria, dan Morocco sekarang) mengalami perubahan besar pada masa kekhalifahannya.
.
Mengutus Wali dan Ulama Terbaik ke Al-Maghribi
Sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz mengirimkan surat kepada para raja dan pemimpin negeri-negeri Al-Maghribi. Dia mengajak mereka untuk memeluk agama Islam secara lembut dan mengirimkan para pendakwah sebagai pergantian pengiriman pasukan tentera. Dia mencurahkan perhatian yang besar terhadap wilayah negeri Al-Maghribi.
Umar bin Abdul Aziz melantik wali sebagai wakilnya di sana iaitu dilantik dari kalangan orang yang paling soleh, paling bertakwa, dan paling pandai. Khalifah telah mengawasinya sejak sekian lama. Setelah merasa berpuas hati dengan orang ini, dia menugaskannya di negeri Al-Maghribi untuk memimpin dan menyebarkan dakwah Islam di sana.
Di samping itu, Umar bin Abdul Aziz juga mengirimkan beberapa tabiin bersama wali Al-Maghribi untuk membantu wali dalam tugas yang diamanahkan kepadanya. Orang yang telah ditugaskan oleh khalifah ini ialah Ismail bin Abul Muhajir. Dia merupakan sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik wali pada masa tersebut. Sebagaimana Ibnu Idzari mengatakan, “Dia sentiasa mempunyai semangat yang tinggi dalam mengajak bangsa Barbar untuk masuk Islam sehingga sisa etnik Barbar di Ifriqiyah masuk Islam di tangannya.”
Khalifah mengirimkan sepuluh tabiin bersamanya yang mana mereka adalah orang-orang yang berilmu dan berahlak mulia. Di antara mereka ialah Abdurrahman bin Rafi’ at-Tanukhi dan Said bin Mas’ud at-Tajibi.
Masjid sebagai Pusat Ilmu
Kehadiran sepuluh ulama dari kalangan tabiin yang mengajarkan Islam memberikan pengaruh besar bagi masyarakat Barbar. Para ulama ini telah meletakkan asas kepada sistem pendidikan di masjid, terutamanya di Kairouan di mana kebanyakan mereka tinggal.
Orang ramai dari segala penjuru datang kepada para ulama tabiin untuk belajar dan mendalami ilmu Islam. Para ulama tabiin tersebut mendirikan masjid-masjid, contohnya Masijid Ar-Ribathi yang didirikan oleh Abdurrahman bin Abdullah bin Yazid al-Ma’afiri al-Ifriqi. Masjid Jami Az-Zaitunah yang didirikan oleh Ismail bin Ubaid al-Ansori yang dikenali sebagai Tajirullah. Ramai dari masyarakat Ifriqiyah yang belajar dengan syeikh-syeikh tersebut.
Kesan Penaklukan Terhadap Andalusia
Umar bin Abdul Aziz memilih waktu yang tepat dalam membangunkan asas-asas Islam di Afrika Utara secara keseluruhan kerana perhatiannya secara khusus dalam menyebarkan Islam. Pada masa itu Andalusia telah ditaklukan dan muslim Barbar memiliki peranan yang sangat besar dalam penaklukannya. Hal ini memberi kesan terhadap keteguhan hati mereka dengan Islam.
Kaum muslim banyak mendapat harta rampasan perang dan orang-orang Barbar mendapat bahagian mereka secara penuh sepertimana bahagian orang Arab. Ini mendorong orang Barbar yang belum masuk Islam untuk memeluk Islam setelah mereka melihat saudara-saudara mereka yang telah masuk Islam naik ke darjat yang tinggi seperti bangsa Arab kerana memeluk Islam.
Penaklukan Andalusia juga memiliki pengaruh yang besar dalam mengukuhkan tiang dan dasar-dasar Islam di Al-Maghribi. Ini kerana penaklukan tersebut telah menarik kedatangan orang-orang Arab Timur dari Syam dan Hijaz ke Andalusia. Dalam perjalanan ke Andalusia, mereka melalui kawasan Al-Maghribi dan bercampur-gaul dengan orang-orang Barbar. Ramai daripada mereka yang sengaja tinggal di Barbar dan terjalinlah hubungan pernikahan antara mereka.
Al-Maghribi Islami
Perkembangan Islam di negeri Al-Maghribi berjalan dengan baik sejak awal penaklukannya dan terus mengalami kemajuan. Setiap hari ada saja negeri baru yang memeluk Islam sehingga seluruh wilayah negeri Al-Maghribi berada di bawah naungan Islam, bahkan daerah-daerah sekitarnya juga turut terkesan.
Faktor-faktor penyebaran Islam di negeri Al-Maghribi dan detik-detik terwujudnya secara sempurna ialah antaranya kerana sokongan dari para khalifah dan juga usaha-usaha para penguasa serta para pendakwah agar negeri Al-Maghribi menjadi negara Arab dan Islam secara alami. Kemudian, negeri Al–Maghribi dipimpin oleh wali terbaik yang telah dilantik oleh khalifah.
Wilayah yang besar ini mula mengambil langkah untuk memainkan peranan besarnya dalam sejarah Islam dan peradaban dunia. Para penakluknya dari kalangan orang Arab telah menyiapkan usaha itu. Mereka mempersiapkan kawasan pantai pula.
Mereka membangunkan Kota Tunisia sebagai pelabuhan Islam yang baru. Dari situ para penduduk negeri Al-Maghribi mengembara di laut untuk memainkan peranan mereka yang luar biasa. Mereka membuka pintu-pintu negeri Andalusia. Maka terbukalah bagi penduduk Al-Maghribi medan baru untuk amal dan kehidupan. Al-Maghrib Islami merangkumi seluruh wilayah Afrika Utara.
Dengan Islam, negeri Al-Maghribi mula mengambil peranan untuk kehidupan, pemikiran dan politik yang begitu banyak menyumbang dalam membangunkan menara peradaban manusia.

