Meneladani Kepemimpinan Nabi Muhammad SAW.
Wajib Meneladan Nabi SAW.
Pujian atas kemuliaan peribadi Rasulullah SAW. telah dinyatakan oleh Allah SWT.,
وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ
“Kami telah meninggikan bagimu sebutan (nama)-mu.” (TMQ Al-Insyirah [94]: 4).
Sayyid Quthb dalam tafsirnya, Fî Zhilâl al-Qurân, menafsirkan firman Allah SWT. di atas, “Kami telah meninggikan sebutan namamu di alam yang tinggi. Kami telah meninggikan sebutan namamu di muka bumi. Kami telah meninggikan sebutan namamu di alam semesta ini. Kami meninggikannya setiap kali bibir manusia mengucapkan kalimat ‘Lâ ilâha illalLâh, Muhammad RasûlulLâh.’ Di atas itu tidak ada lagi kedudukan setinggi itu. Ini adalah kedudukan yang hanya dimiliki Rasulullah SAW.. Tiada seorang manusia pun selain beliau yang memiliki kedudukan tersebut di seluruh jagat ini.” (Sayyid Quthb, Fî Zhilâl al-Qur’ân, 6/688).
Rasulullah SAW. adalah satu-satunya peribadi yang wajib diteladani dalam semua perkara; sebagai ahli ibadah, teladan sebagai yang berakhlak mulia, suami yang lembut, teladan sebagai ayah dan datuk, panglima perang, juga sebagai ketua negara terbaik. Allah SWT. berfirman,
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, iaitu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta banyak mengingat Allah.” (TMQ Al-Ahzab [33]: 21).
Setiap muslim juga wajib taat sepenuhnya kepada Allah SWT. dan Rasul-Nya. Allah SWT. berfirman,
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Sungguh jawapan kaum mukmin itu, jika mereka diseru kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum di antara mereka, ialah ucapan. ‘Kami mendengar dan kami patuh.’ Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (TMQ An-Nur [24]: 51).
Keteladanan dalam Kepemimpinan
Di antara keteladanan Nabi SAW. yang wajib dicontohi adalah kepemimpinan beliau atas umat manusia. Rasulullah SAW. bukan sekadar pemimpin spiritual tanpa kekuasaan, seperti Paus di Vatikan, tetapi juga ketua negara Islam pertama.
Rasulullah SAW. menyusun Piagam Madinah. Beliau mengangkat para wali (garbenor) dan hakim. Beliau memimpin dan menghantar pasukan serta melantik para komandan perang. Beliau mengatur perekonomian. Beliau juga menghantar para utusan untuk menyampaikan dakwah Islam ke berbagai kabilah, termasuk ke Kekaisaran Romawi dan Persia.
Rasulullah SAW. adalah pemimpin negara yang berjaya. Saat beliau wafat, luas kekuasaan Islam telah meliputi seluruh Jazirah Arab. Jumlah pengikutnya terus bertambah. Pengaruh agama Islam yang beliau bawa juga terus menyebar. Tidak hairan jika kepemimpinan Rasulullah SAW. mendapat pujian dari berbagai cendekiawan dan orientalis.
Di antaranya dari Dr. Zuwaimer, orientalis Kanada, dalam bukunya, Timur dan Tradisinya. Dia mengatakan, “Tidak diragukan lagi bahawa Muhammad adalah pemimpin agama terbesar. Boleh juga dikatakan bahawa dia adalah seorang pejuang, teguh, fasih, pemberani, dan pemikir yang agung.”
Berikut adalah beberapa karakter kepemimpinan Nabi SAW.:
Pertama, Nabi SAW. menerapkan syariat Islam secara keseluruhan. Tidak ada satu pun perintah atau larangan Allah SWT. yang beliau abaikan. Setiap kali turun hukum Allah SWT., beliau terus menerapkannya di tengah-tengah umat tanpa menangguh atau mengurangi pelaksanaannya.
Nabi SAW. tidak pernah menerapkan selain syariat Islam dalam menjalankan pemerintahannya. Beliau juga tidak pernah berkompromi dalam menerapkan hukum Allah SWT.. Inilah yang Allah SWT. perintahkan,
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka sesuai dengan apa yang telah Allah turunkan dan jangan engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Berhati-hatilah engkau terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan engkau dari sebahagian wahyu yang telah Allah turunkan kepadamu.”(TMQ Al-Maidah [5]: 49).
Kedua, Rasulullah SAW. memberlakukan hukum secara adil. Tidak ada kepentingan atau keistimewaan hukum walaupun terhadap keluarga beliau sendiri. Beliau tidak akan segan menjatuhkan hukum, walau terhadap puteri kesayangannya sendiri, Fatimah RA., sebagaimana sabda beliau,
وَايْمُ اللهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
“Demi Allah, sungguh andai Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya.” (HR Al-Bukhari)
Keadilan inilah yang menjamin tegaknya pemerintahan dan hukum di tengah masyarakat. Kepercayaan rakyat pada supremasi hukum menjadi kukuh kerana pemerintah memberlakukan hukum kepada siapa saja yang bersalah tanpa kecuali. Bandingkan dengan keadaan sekarang. Jika yang disabit hukum itu adalah kerabat, kawan sepejabat, atau ahli kumpulannya, hukuman terus terbatal.
Ketiga, Rasulullah SAW. sentiasa memperhatikan dan melayani kepentingan rakyat. Beliau, misalnya, memerintahkan Baitul Mal untuk melunasi hutang-hutang kaum fakir miskin. Inilah pendapat yang disampaikan Imam Al-Qurthubi dalam tafsirnya saat menjelaskan firman Allah SWT.,
ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ
“Nabi itu lebih utama bagi kaum mukmin daripada diri mereka sendiri.”(TMQ Al-Ahzab [33]: 6).
Inilah petunjuk Nabi SAW. dalam kepemimpinan,
أَنَا أَوْلَى بِالْمؤمنينَ مِنْ أَنْفُسِهِم، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَ عَليْهِ دَيْنٌ فَعَليَّ قَضَاؤُهُ
“Aku lebih berhak atas kaum mukmin daripada diri mereka sendiri. Kerana itu siapa saja yang meninggal dalam keadaan memiliki hutang, maka akulah yang akan melunasi hutangnya.” (HR Ibnu Majah)
Nabi SAW. juga memberikan pekerjaan untuk rakyatnya. Ibnu Majah meriwayatkan bahawa beliau pernah membantu seorang lelaki dengan cara menggadaikan barang-barang beliau sehingga terjual dua dirham. Satu dirham digunakan untuk nafkah keluarga lelaki tersebut. Satu dirham lagi dia belikan kapak untuk mencari kayu sehingga dia boleh mendapatkan keuntungan sepuluh dirham untuk keluarganya.
Keempat, Rasulullah SAW. menjaga ketertiban masyarakat agar tidak berlaku pelanggaran seperti penyelewengan dalam perdagangan, konflik, dan tindakan jenayah lainnya. Nabi SAW. pernah mendapati seorang pedagang yang mencampur makanan yang kering dan basah akibat terkena air hujan. Beliau memerintahkan pedagang tersebut untuk meletakkan makanan basah itu di tempat yang mudah terlihat orang-orang. Beliau lalu menegur dia,
مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
“Siapa saja yang menipu, maka dia bukan dari golonganku.” (HR Muslim)
Kelima, Rasulullah SAW. memimpin pengadilan dan mengatur tata tertib pengadilan bagi para hakim. Dengan itu pengadilan dapat berjalan dengan adil tanpa menzalimi siapa pun. Beliau bersabda,
لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنِ الْبَيِّنَةُ عَلَـى الْـمُدَّعِيْ، وَالْيَمِيْنُ عَلَـى مَنْ أَنْكَرَ
“Andai setiap orang diberi sesuai dengan tuduhan (dakwaan) mereka, tentu akan ada orang-orang yang mudah menuntut harta dan darah suatu kaum. Namun (yang benar), barang bukti wajib atas penuduh (pendakwa), dan sumpah wajib atas orang yang menolak tuduhan (dakwaan).” (HR Al-Baihaqi)
Keenam, walaupun Rasulullah SAW. memungut jizyah dari kaum kafir ahludz dzimmah dan menerapkan beberapa hukum syariat atas mereka, namun, beliau juga melindungi mereka dari sebarang bentuk kezaliman. Beliau juga memberi kebebasan kepada mereka untuk menjalankan ibadah, makan minum, dan pernikahan sesuai agama mereka. Beliau bersabda,
أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهَدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيْبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيْجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ingatlah, siapa saja yang menzalimi, merendahkan dan membebani seorang kafir mu’ahad melebihi kemampuannya, atau mengambil sesuatu dari dirinya tanpa keredhaannya, maka aku menjadi lawannya pada Hari Kiamat.” (HR Abu Dawud)
Ketujuh, Nabi SAW. melindungi Islam dan kaum muslim dari setiap gangguan. Beliau memerangi dan mengusir Yahudi Bani Qainuqa’ kerana mereka mencemarkan kehormatan seorang muslimah dan membunuh seorang pedagang muslim.
Rasulullah SAW. juga mengusir Yahudi Bani Quraizhah. Ini kerana mereka bersekongkol dengan kaum musyrik Quraisy menyerang kaum muslim. Hal itu melanggar perjanjian damai bersama.
Kelapan, Rasulullah SAW. mengutus beberapa delegasi ke berbagai kabilah, kerajaan, dan kekaisaran untuk mendakwahkan Islam kepada mereka. Beliau juga memimpin jihad dalam rangka menyebarkan Islam atau mengirim saraya (pasukan yang dipimpin para sahabat) untuk berjihad.
Khatimah
Demikianlah kepemimpinan Rasulullah SAW. yang sepatutnya diteladani umat pada hari ini. Kepemimpinan beliau berdasarkan akidah Islam, tidak lain untuk menegakkan hukum-hukum Allah dan menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia. Bukan kepemimpinan sekular yang mengabaikan hukum Islam dan tunduk pada konsep politik trias politika (demokrasi). Apalagi ternyata dipakai untuk keuntungan oligarki. Bukan untuk kemuliaan Islam dan umatnya. Wallahualam. []
Hikmah:
Al-Hasan ra. berkata,
سُئِلَتْ عَائِشَةُ عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
Aisyah ra. pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW.. Lalu dia menjawab, “Akhlak beliau adalah Al-Quran.” (HR Ahmad).
Sumber: Buletin Kaffah 263 (11 Rabiulawal 1444 H/07 Oktober 2022 M)
#kaffah #rasulullah #cintanabi #teladaninabi #terapislamkaffah #tegakkhilafah

