[Fikrul Islam] Ikhtilaf di Kalangan Mujtahid terhadap Sebahagian Hukum
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Ada nas-nas syariat, baik yang terdapat dalam Al-Quran mahupun hadis yang lafaznya mengandungi lebih dari satu makna. Pada nas-nas seperti inilah, ijtihad boleh dilakukan bagi memilih (tarjih) salah satu makna yang lebih tepat. Contohnya adalah, firman Allah SWT.,
…اَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاۤءَ فَلَمْ تَجِدُوْا مَاۤءً فَتَيَمَّمُوْا…
“Atau jika kalian menyentuh wanita sedang kalian tidak menjumpai air maka bertayamumlah.” [TMQ An-Nisa (4): 43]
Dalam hal ini para ulama berbeza pendapat dalam memaknai lafaz “laamastum (kalian menyentuh)” tersebut. Kelompok pertama menganggap bahawa makna “laamastum” adalah ‘jaama’ tum (kalian bersetubuh)’. Mereka lebih cenderung mengambil makna kiasan (al-ma’na al-majaziy) untuk lafaz tersebut. Mereka berhujah dengan indikasi (qarinah) yang ada dalam ayat-ayat Al-Quran dan melihatnya secara bahasa. Dari sinilah disimpulkan bahawa seorang lelaki yang menyentuh wanita dengan tangannya tidak membatalkan wudhuknya.
Kelompok kedua menganggap bahawa makna “laamastum” adalah ‘masastum bi al-yad (kalian menyentuh dengan tangan)’. Dari sini disimpulkan bahawa jika seorang lelaki menyentuh wanita dengan tangannya, maka akan membatalkan wudhuknya. Dalam hal ini mereka juga berhujah dengan qarinah dari Al-Quran, di samping bahawa mereka juga melihatnya secara bahasa.
Hasil dari perbezaan pemahaman terhadap sebahagian nas-nas syarak yang mengandungi lebih dari satu makna ini menyebabkan para mujtahid berbeza dalam mengistinbat sebahagian hukum syarak yang bersifat praktik. Setelah itu, umat Islam yang lain mengikuti hasil ijtihad mereka. Jumlah para mujtahid itu sendiri mencapai ribuan orang. Hanya saja ada sebahagian mereka yang lebih terkenal berbanding yang lain disebabkan oleh banyaknya orang yang bertaklid kepada mereka. Di antaranya adalah Imam Malik bin Anas, Imam Abu Hanifah, Imam Muhammad bin Idris asy-Syafie, dan Imam Ahmad bin Hanbal. Kesemua mereka adalah dari kalangan ahlu sunnah. Sedangkan Imam Ja’far ash-Shadiq dan Imam Zaid bin ‘Aliy, keduanya dari kalangan ahlu al-syi’ah.
Imam-imam tersebut mempunyai murid-murid serta para pengikut. Mereka telah berijtihad dalam berbagai masalah yang tidak diijtihadkan oleh guru mereka. Mereka juga telah melembagakan hasil-hasil ijtihad mereka yang mereka himpun di dalam kitab-kitab dalam bentuk yang tersusun dalam bentuk jilid dengan rapi dan sistematik. Setelah itu kumpulan pendapat dan hasil ijtihad ini disebut dengan mazhab.
Mazhab itu sendiri adalah suatu metod yang menjadi dasar bagi para imam tersebut untuk mengistinbat hukum-hukum syarak. Inilah yang biasa dikenal sebagai usul fiqh. Orang yang pertama kali meletakkan dasar-dasar yang jelas bagi usul fiqh adalah Imam Asy-Syafie.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#fikrulislam #pemikiranislam #mazhab #perbezaan #ijtihad #usulfiqh

