Site icon MuslimahHTM News

Kenikmatan Menuntut Ilmu

[Nafsiyah] Kenikmatan Menuntut Ilmu

Saudariku, tidak semua orang dapat merasakan nikmatnya menuntut ilmu. Ia merupakan salah satu nikmat yang Allah berikan kepada manusia dari berbagai nikmat. Namun, manusia sering lupa atau mengingkari nikmat tersebut hingga malas belajar untuk mendapatkannya. Jika ingin merasakan nikmatnya ilmu, apakah yang perlu dilakukan seorang muslim? Para ulama mengajarkan kita untuk belajar merasa bodoh. Hal itu yang akan menjadikan kita menghargai setiap jalan yang membawa keluar diri kita dari kebodohan.

Ilmu ialah pelita yang membebaskan kita dari titik buta ketika kita bermakmum padanya. Selama kita memahami bahawa diri kita bodoh dan menghargai orang yang menyampaikan ilmu, kita akan terbebas dari titik buta yang dimiliki. Kita juga akan memahami tentang hajat besar kepada ilmu. Allah SWT. yang paling mengetahui kelemahan dan betapa bodohnya kita. Manusia hendaklah sedar bahawa ketika dia memiliki titik buta, bererti dia memerlukan ilmu. Saat itu juga kita menyedari untuk tidak sombong pada orang lain kerana kita masih bodoh dan perlukan ilmu. Allah dengan sifat rahmat-Nya memberikan cahaya pada seorang hamba yang berupaya memahami ilmu. Inilah nikmahnya menuntut ilmu, yakni nikmatnya menjalani proses belajar.

Syeikh Shalih bin Abdul Aziz hafidzahullah mengatakan, “Jiwa itu mempunyai sifat tertarik untuk mendengar dan mengetahui keutamaan sesuatu. Kerana ada kala dia menyangka bahawa keutamaan dari sesuatu itu hanya satu dan tidak berbilang. Ketika keutamaannya banyak, akan semakin banyak pula sisi ketertarikannya terhadap sesuatu tersebut. Dia akan beri perhatian kepadanya, bersemangat mendapatkannya, dan menjelaskan kepada manusia tentang keutamaan yang akan mereka dapatkan kalau memegang teguh tauhid ini.”

Setelah kita mengetahui cara menikmati menuntut ilmu, kita diingatkan lagi oleh Rasulullah SAW. melalui sabdanya, “Keutamaan orang berilmu di atas ahli ibadah bagaikan keutamaan bulan purnama atas seluruh bintang-bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para Nabi tidaklah mewariskan dirham dan dinar, tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya, sungguh dia telah mengambil keberuntungan yang besar.” (HR Abu Dawud)

Allah taala juga berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepada kalian, ‘Berlapang-lapanglah dalam majlis,’ maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untuk kalian. Dan apabila dikatakan, ‘Berdirilah kamu,’ maka berdirilah, nescaya Allah meninggikan orang-orang beriman di antara kalian dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui atas apa yang kalian kerjakan.” [TMQ al-Mujadilah (58): 11]

Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya Allah mengangkat dengan Al-Quran beberapa kaum dan Allah juga merendahkan beberapa kaum dengannya.” (HR Muslim)

Dalil di atas menegaskan bahawa orang yang berilmu dan mengamalkannya, kedudukannya akan diangkat Allah di dunia dan dinaikkan darjatnya di akhirat. Allah taala menolak persamaan antara orang-orang yang memiliki ilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu. Allah juga menolak persamaan antara para penghuni syurga dengan penghuni neraka.

Firman-Nya, “Katakanlah, apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” [TMQ Az-Zumar (39): 9]

Allah berfirman dalam surah yang lain, “Tidak sama (antara) para penghuni neraka dengan para penghuni syurga…” [TMQ al-Hasyr (59): 20]

Begitu jelas dalil-dalil di atas menjelaskan pada manusia tentang puncak dari keutamaan dan kemuliaan orang yang berilmu. Kerana ilmu ialah sayyidul ‘amal (penghulu amal) sehingga tidak ada satu amalan pun yang dilakukan tanpa didasari dengan ilmu.

“Ilmu dahulu sebelum berkata dan berbuat.” (Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Ilmu)

Ilmu merupakan makanan pokok bagi jiwa, kerananya jiwa akan menjadi hidup dan jasad memiliki adab. Oleh kerana itu, setiap muslim tidak diperbolehkan bermalas-malasan menuntut ilmu. Rasakan nikmatnya menuntut ilmu.

Janganlah kita merasa tidak selesa berada di sisi guru dalam majlis ilmu. Kita juga hendaklah tidak kita merasa jengkel kerana duduk selama berjam-jam mendengarkan penjelasan guru sehingga bolak-balik melihat jam tangan kerana merasa telah lama berada dalam majlis ilmu. Sikap seperti ini merupakan petanda kita belum merasakan nikmatnya menuntut ilmu dan akan merasakan peritnya kebodohan.

Renungkanlah nasihat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah, “Manusia sangat memerlukan ilmu berbanding (mereka) memerlukan makanan dan minuman. Kerana makanan dan minuman hanya diperlukan sehari sekali atau dua kali. Sedangkan ilmu diperlukan sepanjang nafasnya.” (Thabaqat Al-Hanabilah, I/146). Wallahualam.

Sumber: https://muslimahnews.net/2022/10/21/13105/

#nafsiyah #keutamaanilmu #menuntutilmu #jombelajar

Exit mobile version