Site icon MuslimahHTM News

Kepentingan Definisi Berfikir Berdasarkan Rintisan Imam Taqiyuddin an-Nabhani

Kepentingan Definisi Berfikir Berdasarkan Rintisan Imam Taqiyuddin an-Nabhani

Penulis: K.H. M. Shiddiq al-Jawi

Definisi berfikir (al-fikr, al-‘aql, al-idrâk) atau proses berfikir (‘amaliyyat at-tafkîr, Eng: thinking), adalah masalah yang banyak diabaikan oleh para pemikir. Padahal, daripada aktiviti berfikir itulah, telah dihasilkan pelbagai buah yang bermanfaat kepada manusia, contohnya pelbagai pengetahuan (ma’rifah, knowledge) dalam sains dan teknologi yang sangat bermanfaat kepada manusia.

Sememangnya sejak zaman dahulu lagi sudah ada yang cuba mendefinisikan “apa itu berfikir”, tetapi masih belum mencapai definisi yang sahih dan memuaskan. Imam Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya, As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah (1/120) menyebut beberapa definisi berfikir tersebut.

Beberapa ulama cuba mendefinisikan berfikir (atau akal) seperti berikut:
إِنَّ العَقْلَ هُوَ قوَّةٌ لِلنَّفْسِ وَالْإِدْرَاكَاتِ
“Sesungguhnya akal [atau berfikir] adalah satu kekuatan bagi jiwa dan kekuatan untuk [mencapai pelbagai] kefahaman (comprehension).”

Ada ulama yang mendefinisikan berfikir dengan definisi berikut:
العَقْلُ هُوَ غَرِيْزَةٌ يَتْبَعُهَا العِلْمُ بِالضَّرُورِيَّاتِ عِنْدَ سَلامَةِ الآلَات
“[Akal] ialah suatu naluri yang diikuti dengan pengetahuan tentang perkara-perkara yang bersifat dharûrî (tanpa difikirkan) apabila pelbagai indera manusia sihat.” [Taqiyuddin an-Nabhani, As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah,1/12]. 

Ada pula yang mendefinisikan seperti berikut:
إِنَّ العَقْلَ هُوَ جَوْهَرٌ تُدْرَكُ بِهِ الغَائِبَاتُ بِاَلْوَسَائِطِ وَاَلْمَحْسُوْسَاتِ بِالْمُشَاهَدَةِ
“Sesungguhnya akal adalah suatu substansi (zat) yang dengannya perkara ghaib akan dapat dijangkau oleh perantara-perantara dan penginderaan-penginderaan terhadap perkara-perkara yang dapat disaksikan.”

Ada yang mentakrifkannya secara ringkas seperti berikut:
إِنَّ العَقْلَ هُوَ النَّفْسُ بِعَيْنِهَا
“Sesungguhnya akal [atau berfikir] adalah jiwa manusia itu sendiri.”

Pelbagai definisi itu, menurut Imam Taqiyuddin An-Nabhani masih belum menunjukkan definisi akal atau berfikir yang tepat. Definisi yang paling hampir dengan fakta berfikir, menurut Imam Taqiyuddin an-Nabhani, sebagaimana dalam kitab At-Tafkîr (1973), justeru adalah definisi menurut kaum komunis, iaitu :
إِنَّ الفِكْرَ هوَ انْعِكاسُ الواقِعِ عَلَى الدِّمَاغِ
“Sesungguhnya akal adalah refleksi (cerminan) realiti ke dalam otak.”

Namun begitu, definisi ini juga tidak terlepas daripada kritikan beliau, iaitu dalam proses berfikir, yang berlaku sebenarnya bukanlah refleksi, tetapi penderiaan (suatu objek), dan mustahil proses berfikir berlaku secara automatik tanpa maklumat terdahulu.

Lalu apakah definisi berfikir yang sahih? Ikuti huraian seterusnya.

Definisi Berfikir menurut Imam Taqiyuddin an-Nabhani

Dalam kitab At-Tafkîr (1973), Imam Taqiyuddin An-Nabhani mendefinisikan berfikir seperti berikut:
فَالْعَقْلُ أَوْ اَلْفِكْرُ أَوْ الإِدْراكُ هوَ نَقْلُ الحِسِّ بِالْوَاقِعِ بِوَاسِطَةِ الحَوَاسِّ إِلَى الدِّمَاغِ ، وَوُجودُ مَعْلوماتٍ سابِقَةٍ يُفَسَّرُ بِوَاسِطَتِهَا هَذَا الواقِعُ
“Akal, atau berfikir, atau pemahaman (comprehension) ialah pemindahan penderiaan terhadap realiti melalui pancaindera ke dalam otak, dan dengan adanya maklumat terdahulu, realiti ini ditafsirkan/dijelaskan. (The mind, thought, or perception, is the transfer of the sense of reality through the senses to the brain, and the presence of previous information by which this reality is explained.)“

Jadi, berfikir adalah suatu aktiviti yang hanya dapat berlangsung apabila terdapat 4 (empat) komponen berfikir yang lengkap, iaitu pertama, ada realiti (objek). Kedua, berlaku penderiaan oleh pancaindera yang sihat. Ketiga, terdapat otak yang sihat. Keempat, terdapat maklumat terdahulu yang berkaitan dengan realiti (objek) tersebut.

Dengan demikian, sekiranya salah satu atau lebih daripada empat komponen itu tiada, sebenarnya tidak mungkin proses berfikir berlaku (al-‘amaliyat al-’aqliyyah) pada diri manusia. [Taqiyuddin an-Nabhani, At-Tafkir, hal. 50].

Beberapa Kepentingan Definisi Berfikir menurut Imam Taqiyuddin an-Nabhani

Sebenarnya, definisi “berfikir” yang ditemui oleh Imam Taqiyuddin an-Nabhani tersebut mempunyai kepentingan yang sangat strategik, yang ditandai dengan dua perkara utama, iaitu pertama, aspek kebaharuan (novelty) yang belum pernah ditemui oleh pemikir terdahulu. Kedua, aspek implikasinya yang berguna dan luas spektrumnya dalam pelbagai bidang keilmuan.

Setelah melakukan kajian terhadap pelbagai kitab karya Imam Taqiyuddin an-Nabhani, kami mendapati terdapat sekurang-kurangnya 10 (sepuluh) kepentingan seperti berikut:

Pertama, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bagaimana asal-usul (the origin) pelbagai jenis pengetahuan manusia. [At-Tafkîr, 1973].

Dengan definisi pemikiran yang jelas, maka jelaslah apakah proses berfikir (amaliyyat at-tafkîr); jelas pula dua kaedah berfikir, iaitu kaedah rasional (at-tharîqah al-‘aqliyyah, rational method) dan kaedah ilmiah (at-tharîqah al-’ilmiyyah, scientific method), yang dengan kedua-duanya pelbagai pengetahuan manusia dihasilkan, sama ada ilmu-ilmu sosial-kemanusiaan (social sciences-humanities) atau ilmu-ilmu alam (natural sciences).

Kedua, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bagaimana kaedah pembentukan persepsi (mafâhîm) pada manusia. [Taqiyuddin an-Nabhani, As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, I/12—13].

Persepsi (mafâhîm) atau al-idrâk dapat dibentuk dengan penyatuan dua komponen berfikir, iaitu menghimpunkan realiti yang dapat dideria (al-wâqi’ al-mahsûs) dengan maklumat terdahulu (al-ma’lûmât al-sâbiqah).

Pembentukan persepsi ini amat diperlukan dalam proses pendidikan supaya pelajar memahami bahan pengajaran secara mendalam, bukan sekadar menghafal atau bertaklid.

Proses penyampaian bahan pengajaran dengan menghimpunkan realiti yang dapat dideria (al-wâqi’ al-mahsus) dengan maklumat terdahulu (al-ma’lûmât al-sâbiqah), disebut talaqqiyan fikriyyan (menerima bahan melalui proses berfikir). [Usus at-Ta’lîm al-Manhajî fî Daulat al-Khilâfah, hal. 14].

Ketiga, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bagaimana kaedah pembentukan keperibadian manusia (takwîn as-syakhshiyyah) bermula dengan pembentukan pola fikir (aqliyyah) sebagai asas pembentukan pola sikap atau pola tingkah laku (nafsiyyah). [Taqiyuddin an-Nabhani, As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, I/21—24].

Kepentingan ini berkaitan dengan ilmu psikologi yang banyak membincangkan konsep keperibadian manusia (personality, syakhshiyyah).

Dengan penemuan definisi berfikir, dapat dijelaskan bahawa pola fikir (aqliyyah) sebenarnya adalah proses berfikir yang berjalan mengikut definisi berfikir itu sendiri, iaitu proses berfikir dengan menghimpunkan realiti yang dapat dideria (al-wâqi’ al-mahsûs) dengan maklumat terdahulu (al-ma’lûmât al-sâbiqah), berdasarkan kaedah-kaedah berfikir yang diyakini sebagai standard berfikir (qâidah fikriyyah) bagi seseorang.

Keempat, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui mana rukun iman yang dalilnya aqli dan mana yang dalilnya naqli.

Dalam kitab As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, Juz I/30-31, Imam Taqiyuddin an-Nabhani menerangkan dengan sangat jelas (crystal clear) mengenai apakah rukun-rukun iman yang merupakan dalil aqli, dan apakah rukun iman yang merupakan dalil naqli.

Prinsipnya, adalah mengikuti kaedah “mâ lâ yudrikuhu al-hissu lâ yudrikuhu al-’aqlu”, maksudnya apa-apa yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera, maka ia tidak dapat dijangkau oleh akal, iaitu tidak dapat dijangkau oleh dalil aqli sehingga wajib menggunakan dalil naqli.

Oleh itu, iman kepada adanya Allah, iman bahawa Muhammad adalah utusan Allah, dan iman bahawa al-Quran adalah kalamullah, dalilnya adalah aqli. Sedangkan iman kepada hari kiamat, iman kepada syurga dan neraka, dalilnya adalah naqli.

Kelima, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bahawa banyak perbincangan ilmu kalam pada zaman dahulu yang benar-benar telah melampaui batas kemampuan akal.

Dalam kitab As-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah, Juz I/116—118, Bab Sifâtullâh, Imam Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa Mu’ktazilah berpendapat bahawa Zat Allah dan sifat Allah adalah satu kesatuan. Sedangkan menurut Ahlussunah (Asy’ariyah), Zat Allah dan sifat Allah adalah dua entiti yang berbeza.

Padahal, objek pembahasannya, iaitu Zat Allah dan sifat Allah, sebenarnya di luar kemampuan akal manusia kerana tidak dapat dideria. Pada dasarnya kaedah “mâ lâ yudrikuhu al-hissu lâ yudrikuhu al-’aqlu” (apa-apa yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera, maka ia tidak dapat dijangkau oleh akal) sehingga akal manusia sudah pasti tidak akan dapat menjangkau apakah Zat Allah dan sifat Allah satu kesatuan atau dua entiti yang berbeza.

Keenam, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui batas kemampuan akal, iaitu akal hanya dapat berfungsi pada objek-objek empirik yang dapat diindera (al-wâqi’ al-mahsûs).

Kepentingan ini berkaitan dengan kajian ilmu falsafah dalam erti kata mengkaji apa-apa yang tidak dapat dideria oleh manusia, atau mâ warâ`al-mâddah (sesuatu di sebalik materi).

Dalam kitab At-Tafkîr, Imam Taqiyuddin an-Nabhani mengkritik pelbagai falsafah yang mengkaji apa yang ada di sebalik materi (objek tidak dapat dideria), contohnya konsep Falsafah Emanasi yang menjelaskan proses penciptaan alam semesta atau sistem suria, melalui akal pertama, akal kedua, akal ketiga, dan seterusnya. Menurut Imam Taqiyuddin an-Nabhani, Falsafah Emanasi hanyalah khayalan atau fantasi semata-mata (at-takhayyullât wa al-furûdh). [At-Tafkîr, 1973].

Ketujuh, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bahawa dalam kajian usul fiqh, perbuatan baik/buruk manusia dari segi pahala dan dosa daripada Allah, atau dari segi pujian/celaan daripada Allah, adalah mustahil bagi akal manusia untuk dicapai. Walhasil, akhirnya kita mesti merujuk kepada wahyu Allah untuk mengetahui adakah suatu perbuatan itu dipuji oleh Allah atau dicela oleh Allah. [Taqiyuddin an-Nabhani, As-Syakshiyyah al-Islâmiyyah, 3/17—18].

Contohnya, zina itu buruk kerana Allah mencelanya atau solat itu baik kerana Allah memujinya, yang di luar jangkauan akal manusia. Pujian atau celaan Allah atas perbuatan manusia adalah perkara ghaib yang di luar jangkauan kemampuan akal. Oleh itu, dalam masalah ini, kita wajib merujuk kepada wahyu Allah, iaitu al-Quran dan Sunnah.

Kelapan, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bahawa metod rasional (at-tharîqah al-’aqliyah) adalah kaedah yang paling asas untuk melahirkan pelbagai pengetahuan [At-Tafkîr, 1973]. Ini kerana setelah kita mengetahui definisi berfikir, kita juga akan mengetahui bahawa kaedah rasional adalah asas kepada adanya kaedah ilmiah.

Terdapat dua sebab mengapa kaedah rasional menjadi asas kepada kaedah ilmiah:

Pertama, kerana skop objek kaedah rasional lebih luas daripada objek kajian kaedah ilmiah. Kedua, kerana untuk melaksanakan kaedah ilmiah, seperti eksperimen di makmal, adalah mutlak perlu mempunyai kaedah rasional terlebih dahulu, iaitu mendapatkan maklumat terdahulu mengenai pelbagai perkara di makmal (seperti kegunaan bahan, alat, prosedur eksperimen, dsb.).

Kesembilan, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui bahawa kaedah ilmiah adalah cabang daripada kaedah aqliyah. [At-Tafkîr, 1973].

Kaedah ilmiah tidak boleh menafikan kaedah rasional kerana penafian ini bermaksud sesuatu yang cabang boleh membatalkan sesuatu yang asasi (fundamental) yang sebenarnya melahirkannya.

Oleh itu, kita tidak boleh menolak konsep Nabi Adam AS sebagai manusia pertama yang dicipta secara langsung oleh Allah SWT (sebagai hasil daripada kaedah rasional) dengan alasan ia bertentangan dengan Teori Darwin yang menyatakan bahawa manusia hanyalah satu mata rantai dalam evolusi organisma (sebagai hasil kaedah ilmiah) yang ada sebelum ini.

Maha Benar Allah SWT yang menjelaskan bahawa Nabi Adam AS sememangnya dicipta oleh Allah SWT secara langsung daripada bahan tanah. Jadi, Nabi Adam AS sebenarnya adalah manusia pertama, bukan sebahagian daripada siri evolusi organisma (makhluk hidup) yang ada sebelum ini sebagaimana Teori Darwin.

Allah SWT berfirman,
وَبَدَاَ خَلْقَ الْاِنْسَانِ مِنْ طِيْنٍ ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهٗ مِنْ سُلٰلَةٍ مِّنْ مَّاۤءٍ مَّهِيْنٍ ۚ
“Dia (Allah) memulakan penciptaan manusia (Adam AS) dari tanah, kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani).” [TMQ as-Sajdah (32): 7—8]

Kesepuluh, dengan mengetahui definisi berfikir ini, dapat diketahui kebatilan fahaman materialisme yang menjadi asas kepada ideologi sosialisme.

Materialism is the view that all that exists is matter and depends on matter for its existence. (materialisme ialah fahaman bahawa segala yang wujud adalah material dan bergantung pada material untuk kewujudannya). [Andi Muawiyah Ramly, Peta Pemikiran Karl Marx, Yogyakarta: LKIS, 2004].

Dari materialisme ini, terbinalah dialektika materialisme dan historis materialisme. Padahal, materialisme adalah salah kerana mengikut definisi akal versi komunisme yang telah menafikan perkara-perkara yang ghaib (kiamat, syurga, neraka, dsb.); atau menafikan yang bukan material sehingga yang bukan material itu dianggap tidak wujud semata-mata kerana tidak dapat dideria.

Jadi, kesalahan materialisme adalah berakar umbi daripada kesalahan perumusan definisi akal versi komunisme, iaitu,
إِنَّ الفِكْرَ هوَ انْعِكاسُ الواقِعِ عَلَى الدِّمَاغِ
“Sesungguhnya akal (berfikir) adalah refleksi (cerminan) realiti ke dalam otak.”

Definisi akal (atau berfikir) menurut komunisme adalah salah kerana dua sebab, iaitu pertama, yang berlaku dalam proses berfikir ialah penginderaan, bukan refleksi. Kedua, proses berfikir secara mutlak memerlukan maklumat terdahulu, adalah mustahil proses berfikir berjalan secara automatik tanpa maklumat terdahulu seperti dalam proses refleksi. [Taqiyuddin an-Nabhani, Nizhâmul Islâm, hal. 41]. Wallahualam.

Sumber artikel: Laman Fissilmi-Kaffah.

Exit mobile version