[Fokus] Pemuda Islam, Pemuda Kuat
Penulis: M. Taufik N. T.
Sejarah umat mana pun akan sentiasa dimulakan dengan keadaan generasi mudanya. Umat yang memiliki generasi muda lemah semangat dan tidak terbiasa bekerja keras, hanya akan tinggal menunggu waktu kehancuran dan kejatuhan darjat.
Umat yang memiliki generasi muda yang penuh semangat dan cita-cita, pantang menyerah menghadapi ujian dan dugaan, sedikit demi sedikit akan bangkit dan meraih kepemilikan dan kemuliaan hidup.
Para pemuda berperanan penting dalam hampir setiap perjuangan meraih cita-cita. Revolusi Perancis yang menumbangkan kekuasaan monarki digerakkan oleh para pemuda. Perjuangan pro demokrasi di RRC dan Burma juga digerakkan oleh pemuda. Lapangan Tiananmen di China telah menjadi saksi keberanian pemuda melawan desingan peluru.
Para pengikut setia Lenin dan Stalin pada awal kemenangan komunisme di Rusia kebanyakannya adalah para pemuda. Begitu juga demonstrasi kolektif menuntut reformasi menumbangkan kekuasaan Tatanan Baru dan Presiden Soeharto pada 21 Mei 1998 yang dilakukan oleh para mahasiswa.
Dalam sejarah dakwah Islam, para pemuda memegang peranan penting. Para Nabi dan Rasul yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikan ajaran agama, terpilih dari kalangan pemuda yang rata-rata berusia sekitar 40 tahun.
Ibnu Abbas RA. berkata, “Tidak ada seorang Nabi pun yang diutus oleh Allah melainkan dia (dipilih) dari kalangan pemuda sahaja. Begitu juga tidak ada seorang alim pun yang diberi ilmu melainkan (hanya) dari kalangan pemuda saja.”
Pemuda dan Remaja pada Awal Dakwah Islam
Rasulullah SAW ketika diangkat menjadi Rasul, berumur 40 tahun. Pengikut Baginda yang merupakan generasi pertama kebanyakannya dari kalangan pemuda dan remaja, bahkan ada yang masih kanak-kanak.
Mereka dibina oleh Rasulullah SAW setiap hari di rumah Arqam bin Abil Arqam. Di antara pengikutnya yang termuda adalah Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam di mana mereka berdua berusia 8 tahun pada ketika itu. Diikuti oleh Thalhah bin Ubaidillah (11), Arqam bin Abil Arqam (12), Abdullah bin Mas’ud (14) yang kemudiannya menjadi ahli tafsir terkemuka, Saad bin Abi Waqas (17) yang kelak menjadi panglima perang yang menundukkan negara kuasa besar, Parsi; Ja’far bin Abi Thalib (18); Zaid bin Haritsah (20); Utsman bin Affan (20), Mush’ab bin Umair (24), Umar bin Khaththab (26); Abu Ubaidah Ibnul Jarah (27), Bilal bin Rabah (30), Abu Salamah (30), Abu Bakar ash-Shiddiq (37), Hamzah bin Abdul Muthallib (42), dan Ubaidah bin Al-Harits yang paling tua di antara semua sahabat (berusia 50 tahun).
Serta masih terdapat puluhan ribu pemuda lain yang terlibat aktif dalam dakwah menegakkan panji-panji Islam pada masa hidup Rasulullah SAW. Umumnya mereka adalah pemuda, bahkan remaja yang meningkat dewasa.
Usamah bin Zaid yang saat itu berusia 18 tahun diangkat oleh Nabi sebagai Komander pasukan Islam dalam penyerbuan ke Syam pada Perang Tabuk melawan tentera Romawi. Sedangkan di antara pasukan Islam itu terdapat sahabat seperti Abu Bakar dan Umar Al-Khattab yang lebih tua darinya.
Begitu juga dengan Abdullah bin Umar. Jiwa perjuangan Islam telah memanaskan jiwanya sejak beliau berumur 13 tahun. Suatu ketika, Rasulullah SAW sedang mempersiapkan pasukan untuk Perang Badar. Kemudian datang dua orang remaja Islam iaitu Abdullah bin Umar dan Al-Barra’ meminta agar diterima sebagai anggota pasukan Islam. Tetapi ditolak oleh Rasulullah SAW kerana dianggap masih kecil (masing-masing berumur kurang dari 13 tahun).
Tahun berikutnya, menjelang Perang Uhud, mereka datang lagi kepada Rasulullah SAW dengan tujuan yang sama dan yang diterima hanya Al-Barra’. Semasa Perang Ahzab barulah Abdullah bin Umar diterima sebagai anggota pasukan Islam (Sahih Bukhari).
Ada satu kisah menarik untuk direnungkan oleh para pemuda dan remaja Islam masa kini yang diceritakan oleh sahabat, Abdurrahman bin Auf.
“Semasa aku berdiri dalam barisan pasukan saat Perang Badar, aku melihat ke kanan dan kiriku. Saat itu aku terlihat dua orang Ansar yang masih muda belia. Aku berharap semoga aku lebih kuat darinya. Tiba-tiba salah seorang di antaranya menyentuhku seraya berkata, ‘wahai pakcik, apakah engkau mengenal Abu Jahal (tokoh kafir Quraisy)?’ Aku menjawab, ‘Ya, apa keperluanmu padanya, wahai anak saudaraku?’ Dia membalas, ‘Ada seseorang memberitahuku bahawa Abu Jahal sering mencela Rasulullah SAW. Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya, jika aku menjumpainya, tentu tidak akan Ku lepaskan dia sehingga ada yang mati antara kami.’ Berkata Abdurrahman bin Auf, ‘Aku merasa hairan ketika mendengar ucapan pemuda itu.’ Kemudian, remaja yang lagi satu menyentuhku dan mengucapkan perkara yang sama seperti temannya tadi. Tidak lama kemudian, aku melihat Abu Jahal mundar-mandir di dalam barisannya. Segera Ku katakan (kepada dua anak muda itu), ‘Inilah orang yang sedang kalian cari.’ Tanpa membuang waktu, kedua-duanya pergi menyerang Abu Jahal, menikamnya dengan pedang sehingga tewas. Setelah itu mereka mendatangi Rasulullah SAW (dengan rasa bangga) untuk menceritakan kejadian itu. Rasulullah SAW bertanya, “Siapa di antara kalian yang menewaskannya?’ Masing-masing menjawab, ‘sayalah yang membunuhnya.’ Lalu Rasulullah SAW bertanya lagi, ‘Apakah kalian sudah membersihkan mata pedang kalian?’ Keduanya serentak menjawab, ‘Belum.’ Kemudian Rasulullah SAW melihat pedang mereka seraya bersabda, ‘Kamu berdua telah membunuhnya. Akan tetapi, segala pakaian dan senjata yang dipakai oleh Abu Jahal (boleh) dimiliki Muadz bin Al-Jamuh.’ (Berkata perawi hadis ini) bahawa kedua-dua pemuda tersebut adalah Muadz bin Afra dan Muadz bin Al-Jamuh.” (Musnad Imam Ahmad Jilid I/hlm. 193 dan Sahih Bukhari hadis nomor 3141 dan Sahih Muslim hadis nombor 1752).
Dahulu, Syafie muda telah menghafal Al-Quran pada usia sekitar 9 tahun dan mula diminta fatwanya pada usia sekitar 13 tahun sebelum akhirnya menjadi seorang mujtahid, Imam mazhab yang terkemuka. Usamah bin Zaid telah memimpin perang pada usia 18 tahun. Ali bin Abi Thalib dan Zubair bin Awwam telah terlibat dalam perjuangan pada usia 8 tahun.
Tetapi kini, apa yang dilakukan oleh anak muda berusia 8-18 tahun? Memperagakan diri? Bergaduh? Berfoya-foya? Mengapa demikian?
Keadaan Kaum Muslim Saat ini
Kaum Muslim saat ini hidup dalam lingkungan jahiliah. Di sekitarnya berlangsung tata kehidupan yang tidak Islami di hampir semua aspek kehidupan, disertai dengan proses de-islamisasi yang demikian keras melalui berbagai media.
Hal ini menjadikan mereka tetap Muslim di satu sisi, tetapi di sisi lain, fikiran, perasaan dan tingkah lakunya dalam berpakaian, bergaul, bermuamalah, telah banyak dicemari oleh fikiran, perasaan dan tingkah laku yang tidak Islami yang kebanyakannya bersumber dari khazanah pemikiran Barat.
Barat memang gencar melakukan proses pembaratan. Melalui racun sesat pemikiran Barat, mereka berusaha untuk mempengaruhi dan menyimpangkan pemahaman kaum Muslim agar jauh dari nilai-nilai Islam yang murni.
Dalam bidang ekonomi, mereka mengembangkan kapitalisme yang berintikan asas manfaat (naf’iyyah). Pandangan kapitalisme mengajarkan bahawa apa saja boleh dilakukan asal ianya mendatangkan manfaat tanpa mempedulikan hukum-hakam agama.
Dari segi kebudayaan, mereka menyebarkan idea-idea Barat yang berintikan akhlak jahiliyah. Bagi mereka, seks bebas, kata-kata kesat, arak, dadah atau perbuatan jahiliyah dibolehkan selagi tidak mengganggu kepentingan orang lain.
Dalam bidang politik, mereka menyebarkan fahaman nasionalisme yang menyebabkan kaum Muslim terpecah-belah sehingga tidak peduli dengan nasib saudaranya jika tidak senegara. Akibatnya, umat Islam saat ini sangat mudah menjadi terasing dari agama.
Ajaran-ajaran Islam terkait pakaian, makanan, pergaulan, ekonomi, politik dan sebagainya dianggap sebagai pemikiran atau seruan yang asing lagi aneh oleh sebahagian umat Islam sendiri.
Keadaan individu yang jauh dari pemahaman Islam, masyarakat yang tidak peduli serta sistem pemerintahan yang sekular inilah yang sepatutnya menjadi hambatan agar kaum Muslim berusaha membangkitkan dirinya supaya boleh menjadi seorang yang kuat.
Bagaimana Membentuk Generasi Kuat?
Dalam kehidupan, setiap individu tidak akan terlepas dari lingkungan tempat dia berada. Begitu juga dengan aturan yang mengatur hubungan antara individu. Dengan demikian, dalam bersikap, seseorang akan sentiasa dipengaruhi oleh pemahaman, lingkungan dan peraturan yang diterapkan.
Allah SWT. berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tiap-tiap seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri.. ” [TMQ Al-Israa’ (17): 84]
Untuk itu, jika kita mahu membentuk generasi yang kuat, perlu secara integral menambahbaikkan tiga aspek ini:
Pertama, memperbaiki jati diri individu umat Islam dengan meningkatkan keimanan dan mempelajari hukum-hakam Islam dan kemudian diterapkan dalam kehidupan harian.
Kedua, meningkatkan kesedaran masyarakat untuk melakukan kawalan sosial. Ini kerana, jika hanya mengharapkan ketakwaan individu, masih ada ruang yang memungkin terjadinya penyelewengan. Kerana itu sangat perlunya ada sifat keprihatinan dalam diri umat Islam. Ia juga merupakan perintah Allah yang sangat agung nilainya di mana jika ditinggalkan akan memberikan impak yang sangat besar baik buat individu mahupun masyarakat.
Allah SWT. berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna” [TMQ Al-Anfaal (8): 24]
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” [TMQ Al-Anfaal (8): 25]
“Perumpamaan orang-orang yang mencegah perbuatan maksiat dan orang-orang yang melanggarnya adalah seperti kaum yang berada di sebuah kapal. Sebahagian dari mereka berada di bahagian atas dan yang lain berada di bawah. Jika orang-orang di bahagian bawah memerlukan air, mereka perlu melalui orang-orang yang berada di atasnya. Lalu mereka berkata, “jika kami lubangkan (kapal) pada bahagian kami, tentu kami tidak akan menyakiti orang-orang yang berada di atas kami.” Akan tetapi, jika perkara itu dibiarkan oleh orang-orang yang berada di atas, maka akan binasalah semuanya. Dan jika dikehendaki dari tangan mereka keselamatan, maka akan terselamatlah semuanya.” (HR Bukhari, no 2493)
Ketiga, sistem pemerintahan. Islam tidak boleh dipisahkan dengan sistem pemerintahan. Disebabkan tidak adanya sistem pemerintahan Islam, sangat banyak hukum-hukum yang tidak dapat dilaksanakan.
Selain itu, kerana tiadanya sistem pemerintahan Islam, akidah kaum Muslim tidak dilindungi sehingga adanya usaha untuk mengambil akidah dari luar Islam, berleluasanya pergaulan bebas, penjualan minuman keras, perjudian dan berbagai masalah lain.
Banyak kerosakan akan hilang jika penguasa melarang terjadinya kerosakan itu dan mencegahnya. Boleh dibayangkan, jika penguasa menegakkan hukum Islam yang melarang pengeluaran minuman keras, ubat-ubatan terlarang, filem lucah, riba, judi dan sebagainya, pastinya semua itu tidak lagi merosakkan para pemuda. Peraturan buatan manusia yang longgar dan lemah saja dapat memicu kemaksiatan dan menghalang kebaikan kerana salah cara penerapannya.
Demikian, penekanan hukum Islam akan mencipta masyarakat muslim yang kaffah, masyarakat yang prihatin terhadap perkembangan warganya, memiliki persamaan perasaan dan fikiran dalam kesatuan peraturan yang utuh.
Individu dalam masyarakat Muslim yang kaffah ini akan cepat menanggapi masalah yang timbul dalam lingkungannya. Pemerintah yang mempunyai kekuasaan akan melakukan tindakan penyelesaian dengan segera, bahkan jauh sebelumnya telah dilakukan usaha untuk mencegah kemaksiatan.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan, “Akan hilang ikatan Islam ini satu per satu. Setiap satu ikatan yang hilang akan menguatkan rasa malas manusia untuk melakukan ajaran lainnya. Yang pertama hilang adalah sistem pemerintahan dan yang terakhir adalah solat.” (HR Ahmad dan Al-Bazzar)
Imam Al-Ghazali menulis dalam kitabnya, Al-Iqtishad fil I’tiqad, “…. Dan kerana inilah dikatakan, ‘agama dan Sultan adalah dua saudara kembar.’ dan kerana ini juga dikatakan, ‘agama adalah asas, sedangkan sultan (Imam atau khalifah) adalah penjaga.’ Apa saja yang (tegak) tanpa asas, pasti akan runtuh. Sedangkan apa saja yang (ada) tanpa penjaga, juga pasti akan hilang.”
Khatimah
“Gunakanlah lima masa sebelum datangnya lima masa yang lain iaitu masa hidupmu sebelum kematianmu, masa sihat sebelum datangnya sakit, masa luang sebelum datangnya kesibukan, masa muda sebelum datangnya tua dan masa kayamu sebelum datangnya miskin.”
#fokus #pemuda #generasi

