[Tokoh Inspirasi] As’ad bin Zurarah, Kaum Ansar Pertama yang Memeluk Islam
Tahukah anda di sebalik berdirinya negara Islam pertama di Madinah, terdapat seorang lelaki yang berperanan penting dalam perjalanan masuknya Islam ke Madinah? Melalui dirinyalah penduduk Yatsrib (Madinah) mengenal Islam.
Disebabkan dua baiatnya kepada Rasulullah SAW., dia membuka pintu benih-benih bakal berdirinya Daulah Islam Madinah. Berkat pertolongannya, Mush’ab berjaya menjalankan misi dakwah Rasul sebagai duta Islam di Madinah. Beliau adalah As’ad bi Zurarah, pemimpin Ansar dari suku Khazraj.
Awal Mula Masuk Islam
Mekah merupakan kota yang sering dikunjungi bangsa Arab dari wilayah lain. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Mekah mendapat julukan “Ummul Qura” (ibu segala kota).
Pada tahun ke-13 kenabian atau setahun sebelum hijrah, datanglah dua orang dari Madinah mengunjungi Mekah untuk berhaji. Mereka adalah As’ad bin Zurarah dan Zakwan bin Abdu Qais. Keduanya datang ke Mekah untuk mengunjungi kenalannya, iaitu Utbah bin Rabi’ah.
Di tengah perbualan, As’ad bin Zurarah meluahkan kepada Utbah tentang banyaknya masalah di Yatsrib termasuk konflik berkepanjangan antara dua kabilah: Aus dan Khazraj. Utbah pun menanggapi luahan As’ad dengan berkata, “Kami pun sedang berhadapan dengan masalah baru yang telah menyita waktu kami sehingga tidak dapat memberi apa-apa berkomentar terhadap masalah kalian.”
As’ad lalu bertanya, “Kalian ada masalah apa? Bukankah kalian hidup dengan aman di tempat yang aman?” Utbah menjawab, “Seorang lelaki telah muncul di tengah-tengah kami dan mengaku sebagai utusan Tuhan, dia menyebut kami tidak menggunakan akal, menghina dan merendahkan para tuhan berhala kami, masyarakat kami menjadi terpecah belah dan pemuda kami menjadi rosak.”
As’ad hairan lalu bertanya lagi, “Dia berasal dari kabilah mana?” Utbah menjelaskan, “Dia adalah anak lelaki Abdullah bin Abdul Muthalib dan kebetulannya dia datang dari keluarga terhormat. Dia sekarang berada di Masjidil Haram, jika engkau pergi ke sana, jangan dengarkan ucapannya dan jangan bertutur satu kata pun dengannya kerana dia penyihir yang hebat.”
“Aku mesti ke sana kerana aku sudah berihram dan akan melaksanakan tawaf di Kaabah,” kata As’ad. Utbah pun menambah, “Kalau begitu, letakkan sedikit kapas di telingamu agar kamu tidak mendengar ucapannya.”
Kemudian As’ad bin Zurarah pun pergi dan masuk ke Masjidil Haram dengan menyumbat kedua telinganya dengan kapas dan memulakan tawaf. Dia melihat Muhammad SAW. di samping Kaabah dikelilingi sekelompok orang yang sedang mendengarkan ucapannya dengan saksama. Dia melirik ke kerumunan itu dan cepat-cepat berlalu.
Pada pusingan yang kedua, As’ad bergumam, “Tidak ada orang yang lebih bodoh dari aku, bagaimanana mungkin sebuah cerita penting sedang diperbincangkan di Mekah, sementara aku tidak tahu apa-apa tentangnya.”
Lalu As’ad membuang kapas dari telinganya dan ikut duduk dalam kerumunan di sekitar Muhammad SAW. untuk mendengar ucapannya. Dia tidak menemukan apa pun yang disebut sihir oleh Utbah. Apa yang didengarnya adalah cahaya petunjuk yang menerangi hatinya dan dapat diterima akalnya.
As’ad pun mendekati Muhammad SAW. dan bertanya, “Ke mana engkau akan mengajak kami?” Nabi Muhammad SAW. dengan tenang berkata, “Aku mengajak kalian kepada ajaran tauhid dan aku adalah utusan Allah SWT.” Nabi Muhammad SAW. lalu membacakan surah Al-An’am ayat 151 – 154.
As’ad bin Zurarah terpesona dengan lantunan ayat-ayat Al-Quran. Hatinya tergoncang hebat. Kemudian dia pun mengucapkan syahadah, “Lailaaha illallah Muhammadur Rasulullah.” Cerita ini dapat ditemukan dalam kitab Al–Thabaqat al-Kubra karya Muhammad bin Sa’ad al-Baghdadi atau terkenal dengan nama Ibnu Sa’ad.
Salasilah Keluarga
As’ad bin Zurarah merupakan anak lelaki Zurarah bin ‘Udas bin ‘Ubaid dan Su’ad al-Furai’ah binti Rafi’ bin Mu’awiyah. Ibunya adalah ibu saudara Sa’ad bin Muadz. Ayah As’ad adalah tokoh yang disegani dari Bani al-Najjar, yang kemudian pengaruhnya turun kepada As’ad, atau bahkan lebih besar pengaruh As’ad dibanding ayahnya.
As’ad menikah dengan Wanita bernama Umairah binti Sahal bin Tsa’labah. Isterinya sama-sama dari kalangan Bani al-Najjar. Hasil dari pernikahan ini, As’ad memiliki tiga orang anak iaitu Habibah binti As’ad, Kabsyah, dan Al-Furai’ah, semuanya masuk Islam bersama As’ad. Menurut keterangan Al-Thabaqat al-Kubra, sama seperti Rasulullah SAW., As’ad bin Zurarah tidak memiliki anak lelaki yang hidup sampai dewasa.
Peranan Besar As’ad
Sumbangan As’ad terhadap perjuangan Rasulullah mendakwahkan Islam sangat besar. Dia adalah orang Madinah pertama yang melakukan baiat aqabah pertama kepada Rasulullah, iaitu baiat keimanan terhadap nubuwat Rasulullah dan kebenaran risalah Islam yang dibawa beliau.
Baiat aqabah pertama ini berlaku pada musim haji tahun berikutnya. Dua belas orang lelaki kaum Ansar terlibat dalam baiat ini. Salah satunya ialah As’ad bin Zurarah dan Zakwan bin Qais yang pernah membersamainya saat berhaji ke Mekah.
As’ad, sosok yang paling cepat menerima kebenaran Islam. Tanpa ragu dia meyakini dan membenarkan risalah yang dibawa Nabi saw.. Dia juga menyertai duta dakwah Rasul di Madinah, iaitu Mush’ab bin Umair. Saat Mush’ab diutus Nabi menjalankan misi dakwah di Madinah, As’ad-lah yang selalu membersamainya. Mengenalkannya pada penduduk Madinah serta menemaninya mendakwahi para pembesar suku Aus dan Khazraj di Madinah.
Saat As’ad dan Mush’ab masuk ke kebun milik Bani Abdul Asyhal, mereka duduk-duduk sembari dikelilingi orang-orang yang sudah masuk Islam. Tatkala melihat keadaan itu, Sa’ad bin Muadz berkata kepada Usaid, “Temuilah orang itu dan usirlah dia.”
Usaid membawa tombak kecilnya, mempercepat langkahnya menuju Mush’ab yang saat itu menjadi tetamu As’ad bin Zurarah. Sesampai di rumah As’ad, Usaid melihat banyak orang yang sedang mendengarkan penjelasan Mush’ab.
Melihat kedatangan Usaid, Mush’ab berkata, “Bagaimana kalau engkau duduk dan mendengarkan. Jika engkau puas dengan apa yang kami sampaikan, engkau boleh menerimanya. Jika engkau tidak suka, kami akan hentikan apa yang tidak engkau sukai itu.”
Dari dialog itulah, cahaya Islam memasuki relung jiwa Usaid dan membuatnya menerima lalu mememluk Islam. Dari situ juga, cerita tentang keislaman Sa’ad bin Muadz pun bermula. Jika dakwah Mekah menguat setelah Umar bin Khattab dan Hamzah bin Abdul Muthalib memeluk Islam, maka berdirinya negara Islam Madinah pula adalah kerana tiga tokoh Madinah, iaitu As’ad bin Zurarah, Usaid bin Hudhair, dan Sa’ad bin Muadz.
Sungguh besar peranan As’ad untuk Islam. Peranannya sangat menonjol tatkala Mush’ab menjadi duta Islam di Madinah, antaranya:
1- Menjadi orang pertama Madinah yang memeluk Islam
2- Menjadi fasilitator Mush’ab bin Umair selama berdakwah di Madinah
3- Mengenalkan Mush’ab kepada para pembesar suku-suku di Madinah
4- Mencukupi keperluan Mush’ab selama berada di Madinah
Masyaallah. Itulah sejatinya penolong agama Allah Taala. Saat himpitan dan tekanan dakwah dialami Rasulullah SAW. di Mekah, pertolongan itu datang dari Madinah melalui tangan As’ad dan sahabat Ansar yang lain.
Tidakkah terbesit dalam fikiran dan hati kita bercita-cita menjadi penolong-penolong agama Allah seperti mereka di masa sekarang? Meneladani jejak Ansar-nya Nabi SAW.. Jadilah penolong agama Allah seperti As’ad bin Zurarah, Usaid bin Hudhair, dan Sa’ad bin Muadz.
Allah Taala berfirman yang ertinya, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad (47): 7].
Rujukan:
– Khalid Muhammad Khalid. 2018. 60 Sirah Sahabat Rasulullah saw.. Jakarta. Al-I’tishom Cahaya Umat.
SUmber: https://muslimahnews.net/2022/10/28/13463/
#tokohinspirasi #inspirasidakwah #kejayaanIslam #DaulahMadinah

