KEMBALIKAN PERPADUAN DAN PENYATUAN MELALUI ISLAM
Rakyat sudahpun selesai mengundi. Namun yang betul-betul susah untuk selesai adalah proses pemilihan pemimpin yang bakal menerajui tampuk kepimpinan Malaysia. Akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri ke-10. Kabinet yang bakal dibentuk adalah gabungan pelbagai parti yang dahulunya saling mencaci antara satu sama lain. Kerajaan perpaduan, itulah istilah yang digunakan. Tidak ada satu pun parti atau gabungan parti yang memiliki majoriti namun bagi para pengamal demokrasi, mungkin kerajaan inilah yang terbaik.
Demokrasi moden kerap menggambarkan bahawa kerajaan yang tidak memiliki majoriti adalah tidak stabil. Kestabilan sangat penting bagi sesebuah kerajaan untuk menghadapi pelbagai cabaran, terutama cabaran ekonomi. Pelaburan asing adalah antara isu utama yang diperhatikan. Kestabilan politik sesebuah negara akan menarik minat ramai pelabur ke dalam negara. Ini dapat dilihat apabila setelah selasai sahaja pengumuman perlantikan PM dirasmikan, nilai tiba-tiba saham naik dan matawang menunjukkan pengukuhan berbanding dolar Amerika – semua kesan spekulasi dalam sistem ekonomi kapitalisme.
Kembali kepada isu kerajaan perpaduan, persoalan yang timbul adalah, adakah kerajaan ini cukup stabil dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa? Adakah tiang asas kerajaan perpaduan ini benar-benar mampu berhadapan dengan permasalahan kontemporari dunia yang sangat mencabar? Sebagai umat Islam, kita harus kembali merujuk kepada penyelesaian Islam bagi menjawab persoalan ini. Apakah konsep kerajaan perpaduan demokrasi ini wujud dalam Islam? Jawapan mudah, model negara Islam adalah Sistem Khilafah, sedangkan ini negara demokrasi, sudah tentu ia berbeza. Konsep patuh syariahnya sendiri sudah bermasalah. Mana mungkin sama konsepnya. Tambahan lagi, sejauh manakah kerajaan perpaduan ini melambangkan penyatuan hakiki yang kita fahami sebagai umat Islam? Persoalan ini juga mungkin sudah ada jawapan di dalam pemikiran kita.
Umat tidak akan pernah bersatu dalam kebatilan. Wujudnya kebatilan akan menjadikan manusia terbahagi kepada para penyokong yang hak dan para penyokong kebatilan. Di kalangan yang batil akan lebih berpecah lagi. Sedangkan bagi golongan yang berada di jalan kebenaran, selagi mereka berpegang pada yang hak, insya Allah mereka akan terus bersatu, walaupun boleh jadi akan muncul selisih faham atau berbeza pandangan. Dan tentu sekali, ini semua atas dasar perintah Allah, berdasarkan wahyu, bukan atas dasar yang lain.
Sumber: mykhilafah

