Site icon MuslimahHTM News

Apabila Datang Pertolongan Allah SWT

Apabila Datang Pertolongan Allah SWT

Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١ وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢ فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا ٣
“Apabila pertolongan Allah dan kemenangan telah datang, dan kamu melihat manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” [TMQ an-Nasr (110): 1-3]
Surah ini dinamakan An-Nasr (pertolongan) kerana di dalamnya terdapat ayat yang memberitahu akan kedatangan nasrullâh. Nama lain bagi surah ini ialah at-Tawdî’ (Perpisahan).1 Menurut Al-Biqa’i, penamaan itu kerana ia turun pada Hari Tasyriq Haji Wada’.2 Menurut Al-Alusi, ia dinamakan at-Tawdî’ kerana mengandungi pemberitahuan tentang kewafatan Rasulullah SAW dan perpisahannya dari dunia dan isinya, seperti yang disebutkan dalam beberapa riwayat.3
Surah ini terdiri dari tiga ayat sehingga merupakan surah paling pendek selain Al-Kauthar dan Al-Asr. Tidak ada perbezaan pendapat bahawa surah ini termasuk dalam surah Madaniyah.4 Ini kerana surah ini turun selepas hijrah. Namun, ada perbezaan sama ada ia diturunkan sebelum peristiwa Fath Mekah atau sesudahnya, di Mekah atau di Madinah.5
Ahmad meriwayatkan dari Aisyah RA bahawa di akhir hayatnya, Rasulullah SAW membaca, “Subhânallâh wabihamdihi astaghfirullâh wa atûbu ilayhi.” Baginda bersabda, “Sesungguhnya Tuhanku memberitahuku bahawa aku akan melihat tanda-tanda pada umatku. Dia memerintahkan kepadaku, apabila aku melihatnya, supaya aku bertasbih kepada-Nya dengan memuji-Nya dan memohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat. Sesungguhnya aku telah melihatnya: Izâ jâ`a nasrullâh wa al-fath hingga akhir surah ini.”6
Ibnu Abi Syaibah, Abd bin Hamid, Al-Bazzar, Abu Ya’la, Ibnu Marduyah, dan Al-Baihaqi dalam Ad-Dalâ’il dari Ibnu Umar, berkata, surah ini diturunkan kepada Rasulullah SAW pada hari-hari Tasyriq di Mina, iaitu pada Haji Wada’. Rasulullah SAW mengetahui bahawa ia adalah wadâ’ (perpisahan, ucapan selamat tinggal).7
Ibnu Jarir dari Atha’ bin Yasar menyatakan bahawa surah ini secara keseluruhannya diturunkan di Madinah selepas Fath Mekah, masuknya manusia kepada agama, dan memberitahu tentang kewafatannya.8
An-Nasa’i dari Ibnu Utbah berkata, Ibnu Abbas bertanya kepadaku, “Wahai Ibnu Utbah, adakah kamu mengetahui surah terakhir al-Quran yang turun?” Aku berkata, “Ya, izâ jâ`a nasrul-lâh wa al-fath.” Ibnu Abbas berkata. “Engkau benar.”9
Tafsir Ayat
Allah SWT berfirman, “Izâ jâ‘a nasrullâh wa al-fath (Apabila pertolongan Allah dan kemenangan telah datang).” Ayat ini memberitahu tentang kedatangan pertolongan Allah SWT kepada Rasul-Nya. Oleh itu, ayat ini mengandungi makna: izâ jâ’aka, yâ Rasulallâh, nasrul-lâh ’alâ man ’âdâka (Apabila telah datang kepadamu, wahai Rasulullah, pertolongan Allah atas musuhmu).10
Sebutan an-nasr dan al-fath secara bersama-sama dalam ayat ini menunjukkan adanya perbezaan antara kedua-duanya. Secara bahasa, makna an-nasr adalah al-’awn (pertolongan, bantuan). Diambil dari kata-kata mereka, “Qad nasara al-ghayth al-ardh: izâ a’âna ‘alâ nabâtihâ wa mana’a min qahtihâ (Sesungguhnya hujan telah menolong bumi, ketika membantu menumbuhkan tanaman dan menghalang dari kebuluran).”11
Dalam konteks ayat ini, menurut Abu Hayyan al-Andalusi, kata an-nasr bermaksud al-i’ânah wa al-izhhâr ’alâ al-’aduww (bantuan dan pertolongan atas musuh).12
Menurut As-Syinqithi, pertolongan itu boleh berlaku dalam medan perang, dalam hujah dan juga dalam menahan musuh seperti semasa Perang Ahzab [lihat Surah Al-Ahzab (33): 25] dan terhadap Yahudi [lihat Surah Al-Ahzab (33); 26-27].13
Adapun al-fath bermaksud fath al-bilâd (pembukaan, pembebasan negeri-negeri). Pembebasan yang dimaksudkan ialah pembebasan Kota Mekah. Demikian menurut al-Hasan, Mujahid, dan lain-lain. Menurut Ibnu Abbas dan Said bin Jubair, yang dimaksudkan ialah pembebasan pelbagai kota dan istana.14
Apabila pertolongan Allah SWT dan kemenangan itu telah datang, satu lagi peristiwa yang menakjubkan berlaku, iaitu, “wa ra’ayta an-nâs yadkhulûna fî dînillâh afwâj[an] (dan kamu melihat manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun).” Perkataan an-nâs merangkumi kedua-dua orang Arab dan bukan Arab. Mereka semua diberitakan masuk dînul-lâh. Menurut az-Zamakhsyari, dînillâh adalah Islam, kerana tidak ada agama yang disandarkan kepada Rasulullah SAW kecuali Islam [Lihat Surah Ali Imran (3): 85].15
Dalam ayat ini, perkataan al-afwâj adalah bentuk jamak dari kata al-fawj, yang bermaksud al-jamâ’ah al-mârrah al-musri’ah (kumpulan yang berlalu dengan cepat). Menurut al-Asfahani, perkataan dengan makna tersebut juga terdapat dalam Surah Al-Mulk (67): 8 dan Sad (38): 59.16
Ibnu Abbas memaknakan perkataan tersebut dengan az-zumar min an-nâs (kumpulan-kumpulan manusia).17
Abu Hayyan al-Andalusi juga menafsirkan perkataan itu dengan jama’ât kathîrah (banyak kumpulan). Pada masa itu, seluruh kabilah masuk Islam , yang mana sebelum itu hanya satu-satu atau dua-dua.18
Sebab, yang dimaksudkan dengan fath adalah fath Mekah.
Al-Bukhari meriwayatkan hadis dari Amir bin Salamah yang berkata, “Pada Hari Pembebasan Kota Mekah, setiap kaum segera menyatakan keislaman mereka kepada Rasulullah SAW. Suku-suku Arab sebelum itu menunda keislaman mereka sehingga Kota Mekah dibebaskan. Mereka berkata, ‘Biarkanlah dia dan kaumnya, kerana jika dia menang atas kaumnya, maka benarlah bahawa dia adalah seorang nabi.’”
Ibnu Kathir juga berkata bahawa hanya dalam masa dua tahun Jazirah Arab sudah dipenuhi dengan iman. Malah, semua kabilah Arab menampakkan keIslaman mereka.19
Ketika peristiwa itu berlaku, beliau diperintahkan, “fasabbih bihamdi Rabbika wa [i]staghfirhu (maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya).” Menurut Az-Zamkhsyari, fasabbih bihamdi Rabbika bermaksud: ucapkanlah subhânallâh dan memuji-Nya sebagai ungkapan takjub terhadap kemudahan yang Allah berikan dalam perkara yang sebelum itu tidak terlintas dalam fikiranmu dan orang lain berupa kekalahan penduduk Haram; dan pujilah Dia. Boleh juga dimaknakan: maka berzikirlah kepada-Nya dengan bertasbih dan memuji di samping beribadat kepada-Nya dan memuji-Nya kerana bertambah nikmat-Nya kepadamu; atau: solatlah. Ummu Hani meriwayatkan, ketika Rasulullah SAW membuka pintu Kaa’bah, baginda solat Dhuha lapan rakaat.20
Sementara perintah untuk beristighfar yang mengiringi tasbih merupakan pelengkap kepada perintah yang menjadi tiang penegakan agama, iaitu: menggabungkan ketaatan dan menjaga diri daripada maksiat. Istighfar juga merupakan sebahagian dari rasa tawadhu’ kepada Allah SWT dan menundukkan jiwa, dan ia adalah ibadah dalam jiwanya. Rasulullah SAW bersabda,
وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّة
“Sesungguhnya aku benar-benar memohon ampun kepada Allah dalam sehari semalam seratus kali.” [HR Muslim].21
Allah SWT berfirman, “Innahu kâna Tawwâb[an] (Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat).” Ungkapan ini memberikan harapan yang besar bagi orang-orang yang memohon keampunan.22
Kepastian Pertolongan Allah SWT
Banyak pelajaran penting yang boleh diambil dari surah ini. Pertama, kepastian pertolongan Allah SWT. Kedatangan pertolongan adalah autoriti Allah SWT. [Lihat: Surah Ali Imran (3): 126].
Kerana menjadi autoriti-Nya, Dialah yang berhak menentukan bila pertolongan itu datang dan dengan cara bagaimana ia akan diberikan. Dalam kes ini, manusia tidak ada sumbangan sama sekali. Bahkan para nabi. Buktinya, ketika Rasulullah SAW dan umat Islam ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta goncangan yang sangat dahsyat, mereka hanya dapat berkata, “Matâ nasrul-lâh (Bilakah pertolongan Allah datang?”[TMQ al-Baqarah (2): 214].
Sebutan izâ jâa nasrul-lâh dalam surah ini menunjukkan bahawa manusia tidak ada sumbangan dalam datangnya pertolongan Allah SWT. Dalam hal ini, manusia hanya dapat melaksanakan syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan pertolongan-Nya [Lihat: Surah Muhammad (47): 7].
Kedua, peristiwa yang mengiringi apabila datang pertolongan Allah SWT dan futûhât. Peristiwa tersebut adalah masuknya manusia ke dalam Islam secara berduyun-duyun. Inilah yang diberitakan dalam surah ini dan berlaku dalam sejarah Islam.
Rasulullah SAW memulakan dakwahnya di Mekah selama tiga belas tahun. Namun, hanya sedikit sahaja yang bersedia masuk Islam. Ketika itu, Mekah berada di bawah kekuasaan Quraisy yang menentang keras dakwahnya. Namun, apabila Mekah berjaya ditakluki, dalam beberapa hari sahaja penduduk Mekah berduyun-duyun menyatakan keIslaman mereka. Langkah itu diikuti pula oleh kabilah-kabilah lain di Jazirah Arab.
Sebagai din yang datang dari Allah SWT, kebenaran Islam dengan mudah dapat difahami oleh manusia. Apabila diterapkan dalam kehidupan, keadilan dan keunggulannya jauh lebih mudah difahami dan dirasai. Sejarah membuktikan bahawa penerapan syariat di bawah naungan Khilafah telah mewujudkan keadilan, kesejahteraan, dan kebahagiaan. Realiti ini sudah tentu menjadi magnet luar biasa yang membuatkan manusia berduyun-duyun masuk Islam.
Ketika umat Islam berada di bawah kekuasaan Quraisy, ramai di antara mereka yang menjadi mangsa kekejamannya. Akibatnya, tidak sedikit orang yang takut untuk memeluk Islam.
Institusi dan sistem kufur serta pemerintahnya benar-benar telah menjadi penghalang fizikal yang menghalang manusia daripada memeluk Islam. Oleh itu, apabila halangan fizikal itu berjaya dihapuskan, maka jalan untuk masuk Islam benar-benar terbuka luas.
Mereka pun berduyun-duyun masuk Islam. Ini bukan sahaja dialami oleh penduduk Mekah, tetapi juga di semua negeri yang dibebaskan oleh Islam, seperti Iraq, Syam, Mesir, dan sebagainya.
Kemenangan Islam juga menawarkan pelbagai manfaat, termasuk manfaat material, bagi penganutnya. Aspek ini juga boleh membuat sebahagian orang menyatakan diri masuk Islam [Lihat: Surah Al-Ankabut (29): 10].
Ketiga, tindakan yang diperintahkan oleh Allah SWT apabila pertolongan-Nya telah datang. Seperti yang disimpulkan oleh Az-Zamakhsyari, terdapat dua tindakan yang mesti dilakukan, iaitu bersyukur dan beristighfar. Nikmat yang diberikan kepada manusia amat banyak sehingga manusia tidak akan dapat menghitungnya [lihat Surah Ibrahim (14): 34 dan An-Nahl (16): 14].
Datangnya pertolongan Allah SWT dan kejayaan membebaskan negeri-negeri lain jelas merupakan nikmat tambahan yang luar biasa. Untuk nikmat itu, manusia diperintahkan untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT. Ia adalah ungkapan rasa syukur atas segala nikmat yang telah diberikan-Nya.
Jika sikap ini yang dijalankan, dijanjikan nikmat akan ditambah lagi. Namun, jika melakukan sebaliknya, iaitu mengingkari nikmat-Nya, maka akan diancam dengan azab [lihat Surah Ibrahim (14): 7].
Selain tasbih dan tahmid, surah ini juga memerintahkan untuk beristighfar. Memperbanyakkan istighfar adalah sebahagian daripada ibadah yang diperintahkan. Istighfar sebagai permohonan ampun kepada Allah SWT dari segala dosa dan kesalahan yang dilakukan.
Istighfar dari rasa bangga yang kadang-kadang timbul dan rasa angkuh yang boleh menyelinap apabila memperoleh kemenangan. Istighfar dari kekurangan dalam memuji dan mensyukuri nikmat-Nya. Padahal nikmat yang diperolehinya begitu melimpah ruah.
Istighfar dari timbulnya perasaan yang memperkecilkan pertolongan Allah SWT, seolah-olah kemenangan hanyalah hasil usaha yang dilakukan. Padahal kemenangan itu hanya diperolehi kerana mendapat pertolongan daripada-Nya.
Istighfar dari perbuatan zalim yang biasa dilakukan oleh orang yang menang dan berkuasa terhadap orang yang kalah dan lemah. Atas semua kesalahan itu, diperintahkan beristighfar kepada Allah SWT. Sebab, Dialah Yang berhak mengampunkan semua dosa dan kesalahan hamba-Nya [Lihat: Surah Ali Imran (3): 135 dan Az-Zumar (39): 53].
Inilah yang mesti dilakukan oleh umat Islam apabila mendapat pertolongan dan kemenangan. Mereka tetap menjadi umat yang terbaik, walau apa pun keadaannya. Wallahu’alam bissawab.
Nota kaki:
1 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 22 (Beirut: Muassah al-Risalah, 2006), al-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5 (Beirut: Dar al-Fikr, tt), 508; az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 30 (Beirut: Dar al-Fikr, 1990), 445.
2 Al-Biqa’, Nazhm ad-Durar, vol. 12 (Kaherah: Dar al-Kitab al-Islami, tt), 312.
3 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 30 (Beirut: Dar Ihya’ al-‘Arabi, tt), 255.
4 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 22, 538; as-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 508.
5 Az-Zamakhsyari, al-Kasysyâf, vol. 7, 450.
6 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 4, 2086.
7 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 508.
8 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl al-Qur’ân, vol. 24 (Riyadh: 2000), 670; as-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 15 (Kaherah: Markaz Hijr, 2003), 721.
9 Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 4 (Beirut: Dar al-Fikr, 2000), 2085.
10 As-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 509.
11 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 22, 538; as-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 5, 509.
12 Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 8 (Beirut: Dar al-Fikr, 1993), 524. Lihat juga al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 30, 255.
13 As-Syinqithi, Adhwâ’ al-Bayân, vol. 9 (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 137.
14 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, vol. 22, 538. Lihat juga: Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 4, 2086; al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 8 (Riyadh: Dar Thayyibah, 1992), 575.
15 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 7, 451; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 8, 524.
16 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb al-Qur’ân (Beirut: Dar al-Ma’rifah, tt), 389.
17 As-Suyuthi, Ad-Durr al-Manthûr, vol. 15, 722
18 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 7, 451; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 8, 524.
19 Ibnu Katir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 4
20 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 7, 452.
21 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 7, 452
22 Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, vol. 8, 525.

Exit mobile version