[Lokal] Keterjaminan Bekalan Makanan: Cabaran & Tanggungjawab Pemerintah dalam Menanganinya
Isu peningkatan harga dan gangguan bekalan telur di pasaran menimbulkan keresahan di kalangan rakyat negara ini serta mengundang kritikan ke atas kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelbagai usul dan pandangan daripada banyak pihak termasuk para pakar ekonomi telah dikemukakan. Di samping langkah yang diambil oleh kerajaan, libat urus yang lebih bertanggungjawab bersama pihak pemain industri juga wajar diberikan perhatian demi memastikan keterjaminan bekalan telur dan makanan asasi lain dapat dikekalkan.
Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi keterjaminan bekalan telur khasnya dan makanan secara amnya. Antaranya;
1) Kestabilan bekalan makanan: boleh dicapai dengan memastikan struktur pengeluaran makanan yang stabil dan meningkatkan stok makanan dalam pasaran domestik.
2) Ketersediaan makanan: dapat dijamin melalui peningkatan pengeluaran makanan, rantaian pembekalan, dan pemasaran makanan yang efisien.
3) Akses bagi semua warga untuk mendapatkan bekalan: keterjaminan makanan juga dipengaruhi oleh kuasa membeli warga yang dipengaruhi oleh kemampuan untuk menampung kos sara hidup. Justeru, perlu ada mekanisme bagi meningkatkan pendapatan dan membuka lebih peluang pekerjaan.
4) Penggunaan atau pemanfaatan makanan yang efektif: polisi yang memastikan penggunaan (consumption) makanan secara berhemah dan mengurangkan malnutrisi (sama ada pengambilan berlebihan mahupun masalah kekurangan pengambilan zat makanan).
Dalam pada itu, terdapat beberapa faktor lain yang mengancam kestabilan bekalan sekaligus menggugat keterjaminan bekalan. Antaranya termasuklah peningkatan kos pengeluaran makanan, kewujudan kartel yang memanipulasi pengeluaran, serta fokus kepada produk makanan yang bernilai tinggi untuk dieksport keluar bagi meraih untung yang lebih besar. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor luar kawalan, misalnya perubahan iklim, musim tengkujuh dan konflik luar yang mempengaruhi bekalan makanan dan baja.
Kemandirian negara dalam memastikan bekalan makanan mencukupi juga dipengaruhi oleh polisi negara yang kini lebih menjurus kepada perindustrian dan sektor perkhidmatan. Manakala dari segi tanaman pula, terdapat fokus lebih terarah kepada tanaman komersil berbanding tanaman makanan. Bahkan Malaysia juga mempunyai tahap kebergantungan terhadap import makanan yang agak tinggi di saat negara ini mempunyai banyak tanah yang subur dan sumber manusia yang mencukupi untuk mengusahakannya.
Penyelesaian yang bersifat populis dan ‘superficial’ semata-mata tidak akan mampu menangani isu ini. Sebaliknya, isu ini memerlukan penyelesaian yang mampu menangani akar permasalahan yang bersifat sistemik dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan golongan pemodal serta elit politik.
Islam meletakkan makanan sebagai salah satu keperluan asas yang wajib dijamin oleh negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para pemimpin untuk memastikan setiap warganya mendapat akses kepada makanan, baik secara pengagihan langsung ataupun melalui penstabilan bekalan domestik. Di samping itu, konsep ihya al-mawat (menghidupkan tanah mati) menurut ketetapan Islam pula mampu menjamin penggunaan tanah pertanian secara efisien. Daulah Khilafah yang bertanggungjawab menerapkan Islam dalam segenap aspek kehidupan berperanan membangunkan infrastruktur yang kondusif bagi pengeluaran makanan, di samping memberi bantuan kepada pengeluar bagi menampung peningkatan kos pengeluaran. Tambahan pula, syariat Islam melarang menyembunyikan barang dan monopoli (ihtikar).
Pastinya mekanisme pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara sepenuhnya tidak dapat dihuraikan di sini kerana keterbatasan ruang. Namun, cukuplah disimpulkan bahawa penerapan syariat Islam secara kaffah di bawah Daulah Khilafah mampu memastikan keterjaminan makanan sekali gus menjamin kemandirian umat.
Sumber: mykhilafah
#lokal #isutempatan #ekonomi

