[Tarikh Khulafa] Hisyam bin Abdul Malik (105 – 125 H), Salah Seorang Khalifah Terkuat Bani Umayyah
Penulis: Nabila Ummu Anas
At-Thabari dan Ibnu Kathir meriwayatkan Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan menjawat jawatan khalifah pada tahun 105 H, pada usia tiga puluh empat tahun lebih beberapa bulan. Menurut Ath-Thabari, Hisyam bin Abdul Malik, seorang yang yang berfikiran matang dan pandai mengurus pemerintahan, memiliki pandangan yang mendalam dalam pelbagai persoalan,samada yang besar mahupun yang kecil.
Menjaga Kestabilan Dalam Negeri
Hisyam bin Abdul Malik memerintah selama hampir dua puluh tahun ( 105—125 H). Selama itu, dia menjalankan roda pemerintahan dengan tegas dan cekap, serta mampu menjaga keseimbangannya. Dia juga dikenal baik dalam berinteraksi dengan dua kelompok Arab yang berpengaruh di dalam negara, iaitu suku Yaman dan suku Qais yang saling bersaing antara satu sama lain, malah mengalami konflik lebih daripada sekali.
Strategi dan kebijakan politik Hisyam disandarkan pada keseimbangan antara kedua-dua kubu tersebut, tanpa memihak salah satunya. Ini kerana beliau menyedari bahawa berpihak kepada salah satu pihak adalah sesuatu yang sangat berbahaya. Ini adalah realiti bahawa fanatisme kesukuan bangsa Arab merupakan masalah paling sensitif pada era Dinasti Umayyah.
Kesedaran akan ancaman bahaya bagi negara jika berpihak kepada salah satu kubu, Yaman atau Qais, membuatkan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik melibatkan para pemimpin dan tokoh terkemuka dari kedua-dua kubu itu dalam pemerintahannya. Apabila khalifah melihat seorang pegawai pemerintahnya berpihak kepada salah satu suku, beliau tidak segan-segan memberhentikannya, demi menjaga kestabilan negara.
Hisyam bin Abdul Malik pernah memerintahkan gabenornya di Irak, Khalid bin Abdullah al-Qasari, agar memecat Asad bin Abdullah saudaranya sendiri dari jawatannya sebagai wali kota Khurasan. Alasannya adalah, Asad memperlihatkan fanatismenya dengan memenangkan suku Yaman dan mengalahkan suku Mudhar, bahkan bersikap buruk terhadap ketua suku Qais dan para tokoh Mudhar lainnya.
Projek Dalam Negeri yang Profesional
Khalifah Hisham bin Abdul Malik juga sangat menjaga kepentingan rakyat dan sangat ketat mengawasi ketua-ketua wilayah mereka, sehingga dikatakan tentang beliau, “Tidak ada seorang pun dari Bani Marwan yang lebih memperhatikan pegawai dan jawatan mereka, dan tidak ada sesiapa yang mengawasi mereka dengan lebih ketat daripada Marwan.”
Pengurusan dan keselamatan kewangan disepakati para sejarawan sebagai salah satu keahlian Hisyam bin Abdul Malik. Khalifah selalu menjaga pengumpulan kewangan ini dari sumber-sumber yang sah kemudian mengagihkannya ke projek-projek yang penting tanpa bersikap boros ataupun kedekut.
Adz-Dzahabi meriwayatkan dari Abu Umair bin An Nuhas, dari ayahnya, ia berkata, “Harta hanya masuk ke baitulmal pada era Hisyam setelah disaksikan oleh empat puluh orang bahawa harta tersebut diambil secara sah dan hak-haknya telah dipenuhi.”
Pengurusan profesional dan keunggulan jabatan-jabatan ini bahkan diakui oleh mereka yang berselisih dengan Hisyam, seperti Abdullah bin Ali bin Abdullah bin Abbas, ya
ng berkata, “Saya memerhati dan membandingkan jabatan-jabatan yang dipimpin oleh Bani Marwan dan saya melihat apa yang terbaik untuk rakyat secara amnya dan juga pemerintah, ialah jabatan-jabatan di bawah pengurusan Hisham.”
Menjaga Harta Umat
Hisyam bin Abdul Malik juga tegas terhadap dirinya sendiri serta keluarganya demi menjaga harta benda umat Islam. Ath-Thabari meriwayatkan bahawa Iqal bin Syabbah bercerita,
“Pernah dulu aku berdepan dengan Khalifah Hisham yang ketika itu memakai topi serban fennec berwarna hijau. Beliau menghantar aku ke Khurasan. Beliau mula memberi pesanan kepadaku, manakala aku terus memandang topi serban yang dipakainya. Menyedari hal itu, Hisyam bertanya, “Kenapa dengan kamu?” Aku menjawab, “Aku pernah melihat engkau sebelum menjadi khalifah memakai topi serban fennec berwarna hijau. Aku sedang mengamati topi serban yang engkau pakai ini sama ada itu ialah topi serban itu, atau sesuatu yang lain?” Beliau menjawab, “Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia. Ini memang topi serban itu. Aku tidak mempunyai serban selain daripada ini. Harta yang kamu lihat aku kumpul dan jaga adalah untuk kamu.”
Ketatnya penjagaan Hisyam bin Abdul Malik terhadap harta benda umat Islam sampaikan beliau tidak memberikan harta kepada seorang Bani Marwan pun kecuali jika mereka telah ikut berperang secara langsung atau menghantar hambanya atau rakyatnya sebagai penggantinya.
Menjaga Daerah Perbatasan dan Jihad
Hisham bin Abdul Malik bukan sahaja seorang negarawan yang pandai menguruskan hal ehwal dalam negara. Beliau juga amat menitikberatkan dasar luar negara demi menjaga sempadan negara dan memberi pengajaran kepada musuh-musuh Islam.
Falhauzun berkata, “Tidak diragukan lagi, adalah salah sekiranya ahli sejarah menyifatkan Hisyam sebagai khalifah yang hanya mementingkan pentadbiran hal ehwal dalam negeri hanya kerana Hisham bukan seorang tentera. Malah, beliau tidak lari dari peperangan. Beliau sebenarnya bercita-cita tinggi untuk menghadapinya dengan pelbagai cara. Beliau menyediakan tentera dalam jumlah yang besar tanpa mengorbankan harta benda mahupun nyawa tenteranya. Tangannya sentiasa sibuk merancang pelbagai operasi ketenteraan di kebanyakan kawasan terpencil.”
Pasukan-pasukan Hisyam bin Abdul Malik selalu berwaspada semasa mengawasi wilayah Rom Byzantium dan terus membina kubu-kubu pertahanan di sepanjang sempadan. Para jeneralnya juga tidak henti-henti melancarkan serbuan dan jihad. Khalifah Hisyam juga seringkali menugaskan kepimpinan tentera kepada salah seorang anggota keluarganya. Inilah Hisyam bin Abdul Malik yang merupakan salah seorang khalifah terkuat Bani Umayyah menurut Al-Ya’qubi dalam Tarikh Al–Ya’qubi.
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar

