[Keluarga] Mendidik Anak Meminta Maaf dan Mudah Memaafkan
Penulis: Naila Zayyan
Dalam berinteraksi, ada kalanya anak kita bermasalah dengan rakannya baik ketika bermain, belajar di sekolah, di rumah bersama adik-beradik mahupun saat berinteraksi bersama dengan kita, orang tuanya. Faktornya boleh pelbagai. Contohnya masalah komunikasi, ego dan banyak lagi.
Islam sebagai agama yang sempurna mengajarkan cara agar kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat boleh berjalan dengan harmoni. Islam mensyariatkan agar kita meminta maaf ketika salah dan memaafkan kesalahan orang lain. Ini adalah akhlak yang mulia dan sebagai ibu bapa, kitajuga perlu berlatih dan berusaha kuat agar dapat memiliki sifat-sifat tersebut.
Rasulullah SAW bersabda tentang meminta maaf atau memohon ampun kepada Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-Nya selama nyawa belum sampai ke tekak.” (HR Ahmad)
“Penyesalan adalah suatu taubat.” (HR Abu Dawud dan Al-Hakim)
Begitu juga tentang memberi maaf kepada orang lain atas kesalahannya. Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، عن رَسُولَ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم قَالَ : مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زادَ اللهُ عَبْداً بعَفْوٍ إِلاَّ عِزّاً، وَمَا تَوَاضَعَ أحَدٌ للهِ إِلاَّ رَفَعَهُ اللهُ. رواه مسلم وغيره
“Dari Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Dia akan meninggikan (darjat)nya (di dunia dan akhirat).'”
اسمحوا يسمح لكم
“Maafkanlah, nescaya kamu akan dimaafkan (oleh Allah).” (HR At-Thabrani)
Mengajar anak-anak kira untuk meminta maaf jika bersalah dan menjadi orang yang pemaaf adalah sikap yang sangat baik. Melatih sifat ini dari kecil boleh mendorong pembentukan sifat baik tersebut menjadi habit (kebiasaan) bagi anak sehingga mereka dewasa kelak.
Bagaimana hendak memiliki sifat mudah meminta maaf dan sekaligus memberi maaf kepada orang lain?
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh kita sampaikan, bincangkan dan bualkan dengan anak kita.
Pertama, kita adalah hamba Allah SWT. yang tidak lekang dari khilaf dan dosa. Kita juga boleh melakukan kesalahan sebagaimana orang lain juga pernah berbuat salah. Jadi, kita tidak boleh menjadi orang yang sentiasa merasa selalu benar atau yang paling benar. Rasulullah SAW. bersabda,
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ.
“Setiap manusia memiliki kesalahan. Orang bersalah yang paling baik adalah orang yang bertaubat.” (HR Ibn Majah)
Kedua, dengan meminta maaf atau memaafkan orang lain akan membuatkan hati kita lebih tenang dan tidak ada beban fikiran atas kesalahan dengan orang lain. Perkara ini sangat membahagiakan.
Ketiga, meminta maaf atau memaafkan orang lain akan menghindarkan kita dari pertengkaran dan permusuhan yang besar mudaratnya. Apatah lagi kita sesama Muslim sesungguhnya adalah bersaudara. Firman Allah SWT.,
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [TMQ al-Hujuraat (49): 10]
Keempat, dalam kehidupan, kita pasti akan memerlukan pertolongan orang lain. Bermusuhan hanya akan menyusahkan hidup manusia, cepat atau lambat. Kerana itu, lebih baik meminta maaf atau memberi maaf kepada orang lain supaya hidup kita dimudahkan.
Kelima, meminta maaf dan memberikan maaf akan membentuk keperibadian yang baik, berlatih mengambil keputusan serta melatih diri sendiri dan hal pengurusan emosi dan fikiran. Perkara ini sejalan dengan cita-cita kita semua untuk menjadi orang yang selalu lebih baik dari hari ke hari dan memiliki jiwa yang matang.
Lebih dari itu, insya Allah amal kebaikan apa pun yang disyariatkan oleh Islam akan membawa kemaslahatan ke dalam hidup kira. Mudah-mudahan dengan memiliki sifat mudah meminta maaf dan memberi maaf kepada orang lain akan menjadikan anak-anak individu yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.. Aamiin.
#Keluarga #Anak

