[Tokoh Inspirasi] Zakwan bin Kaisan, Si Burung Merak Ahli Fiqh
Seringkali kita mendengar hadis Nabi SAW., yang mengatakan bahawa jihad yang paling utama ialah menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa zalim. Dakwah amar makruf nahi mungkar hendaklah menjadi tabiat setiap muslim. Terutamanya dalam hal memuhasabah dan meluruskan dasar-dasar penguasa zalim.
Seorang tokoh tabiin ini memberikan contoh berharga tentang sikap yang mesti dilakukan oleh seorang muslim apabila melihat kezaliman dan kemungkaran di depan mata. Beliau sering menasihati para khalifah dengan nasihatnya yang tegas dan menggetarkan jiwa. Beliau ialah Zakwan bin Kaisan yang digelar sebagai Thawus (Si Burung Merak). Gelaran ini diberikan kepadanya kerana beliau adalah Thawus Fuqaha, seorang pelopor ulama fiqh pada zamannya.
Keteguhan Thawus
Thawus bin Kaisan merupakan warganegara Yaman. Pada masa itu, wilayah Yaman berada di bawah pemerintahan Muhammad bin Yusuf ats-Tsaqafi, saudara Hajjaj bin Yusuf. Beliau dilantik oleh Hajjaj untuk memegang jawatan sebagai gabenor wilayah Yaman, setelah kekuasaannya bertambah besar dan kuat.
Dalam diri Muhammad bin Yusuf ini terkumpul segala keburukan saudaranya, Al-Hajjaj. Thawus adalah contoh teladan yang mengagumkan. Kemantapan imannya, ucapannya yang jujur, zuhud terhadap dunia, dan keberaniannya mengatakan kebenaran di hadapan penguasa tidak pernah pudar walaupun penguasa memberinya banyak hadiah. Dia kembalikan hadiah-hadiah itu secara langsung. Para penguasa ketika itu banyak memberi hadiah kepada Thawus supaya dia dapat mengurangkan kritikan tajam yang sentiasa dilakukannya.
Pada suatu hari, pada pagi yang dingin, Thawus bin Kaisan bersama Wahab bin Munabbih menghadap Muhammad bin Yusuf. Setelah kedua-duanya mengambil tempat duduk masing-masing, Thawus pun mula menasihati Muhammad bin Yusuf. Di sekelilingnya, banyak rakyat yang mendengar.
Kemudian gabenor berkata kepada salah seorang pengawal, “Wahai penjaga, ambilkan thailasan (jubah hijau yang biasa dipakai oleh ulamak Parsi) dan letakkan di bahu Abu Abdurrahman (nama panggilan yang lain untuk Thawus bin Kaisan)!” Pengawal itu pun mengambil sehelai jubah yang mahal harganya, kemudian dia meletakkannya di bahu Thawus. Thawus masih memberi nasihat sambil menggerak-gerakkan bahunya dengan perlahan sehingga akhirnya jubah itu tertanggal.
Selepas itu, Thawus berdiri dan pergi meninggalkan tempat tersebut. Muhammad bin Yusuf sangat murka apabila melihat sikap Thawus. Namun, dia tidak mampu mengeluarkan sepatah kata pun.
Ketika Thawus dan sahabatnya telah berada di luar, Wahab berkata kepada Thawus, “Demi Allah, kita tidak perlu membangkitkan kemarahannya. Apa salahnya kalau jubah itu engkau ambil kemudian engkau jual. Kemudian hasilnya engkau sedekahkan kepada orang fakir dan miskin?”
Thawus menjawab, “Pendapatmu memang benar. Namun, aku khuatir para ulama selepasku akan berkata, ‘Mari kita ikut langkah Thawus,’ tetapi, mereka tidak melakukan apa yang mereka ikuti itu seperti apa yang engkau katakan.”
Usaha Muhammad bin Yusuf untuk merendahkan maruah Thawus dengan merasuahnya tetap diteruskan. Walaupun percubaan pertamanya gagal, dengan kekuasaan yang dipegangnya, dia tidak patah semangat. Kali ini, dia mahu memperbanyakkan hadiah itu 1,000 kali lebih mahal. Seorang pegawainya yang cerdik dihantar sambil berpesan kepadanya, “Pergilah! Bawa beg ini kepada Thawus bin Kaisan. Usahakan supaya dia menerimanya. Jika kamu berjaya, maka aku akan memberi hadiah yang banyak kepadamu. Aku akan naikkan pangkatmu!”
Sambil membawa beg wang tersebut, pegawai itu pun pergi ke rumah Thawus yang ketika itu tinggal di sebuah kampung berhampiran Shan’a bernama Janad.
Setibanya di sana, dia memberi salam pada Thawus dan mengucapkan kata-kata yang mesra, “Wahai Abu Abdurrahman! Beg berisi wang ini dihantar oleh gabenor kepada kamu!” Thawus menjawab, “Saya tidak memerlukannya.”
Lelaki itu berusaha dengan sedaya upaya agar Thawus menerima wang tersebut. Namun, Thawus tetap tidak mahu. Pegawai itu akhirnya secara diam-diam meletakkan beg wang itu di sudut rumah Thawus. Kemudian dia kembali pulang menemui gabenor kemudian berkata, “Beg itu telah diambil oleh Thawus!”
Mendengar berita itu, Muhammad bin Yusuf berasa gembira. Beberapa hari selepas itu, gabenor itu menghantar dua orang dan diikuti oleh utusan yang membawakan hadiah untuk Thawus. Tujuannya adalah untuk mengambil semula hadiah yang diberikan kepada Thawus pada beberapa hari yang lalu.
Supaya kelicikannnya tidak diketahui, gabenor meminta utusannya membuat alasan bahawa pemberian itu tersalah. “Untuk itu, sekarang kami datang untuk mengambilnya kembali dan mengembalikannya kepada orang yang betul,” kata pegawai itu kepada Thawus.
Walaupun tidak mengetahui bahawa soalan itu adalah perangkap untuk menjatuhkan martabatnya. Thawus menjawab dengan tenang dan berterus terang. “Aku tidak menerima apa-apa dari kamu, apa yang perlu aku kembalikan?” Kedua-dua orang itu berkeras, “Engkau memang telah mengambilnya!”
Kemudian Thawus berpaling kepada orang yang membawa beg tempoh hari, kemudian dia bertanya, ‘Adakah saya benar-benar telah mengambil sesuatu daripada kamu?” Lelaki itu menjawab dengan takut, “Tidak. Namun, saya telah meletakkan wang itu di sudut rumah ketika kamu sedang lengah!”
Thawus berkata, “Kalau begitu, periksalah di sudut rumah itu!” Semasa mereka memeriksanya, ternyata beg wang itu masih berada di sana. Lalu mereka pun mengambil dan membawanya kembali kepada gabenor dengan rasa malu.
Kisah Thawus dengan Khalifah
Apabila Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik tiba di tepi Baitullah dan memuaskan kerinduannya kepada Kaabah yang mulia, tiba-tiba dia berpaling kepada pengawalnya dan berkata, “Carilah seorang alim yang dapat mengingatkan kita akan hari yang sangat panas di antara hari-hari Allah Azza wa Jalla ini!”
Pengawal itu pergi mencari orang yang dimaksudkan di antara orang-orang yang pergi haji pada ketika itu. Setelah bertemu dengan orang yang dicarinya, pengawal itu berkata kepada Sulaiman, “Orang yang tuan maksudkan ialah Thawus bin Kaisan. Beliau adalah penghulu para ahli Fiqh di zamannya. Dia yang paling benar ucapannya dalam menyeru kepada Allah.”
Khalifah Sulaiman pun memanggil Thawus. Setibanya Thawus bersama pengawal utusan Khalifah, dia memberi salam kemudian duduk. Lalu Khalifah mula mengajukan soalan tentang manasik haji yang belum difahaminya. Khalifah dengan teliti dan penuh hormat mendengar jawapan dari Thawus.
Berpeluang bertemu Khalifah tidak mematahkan langkah Thawus dalam memberikan nasihat kepada penguasa di hadapannya. Dia berkata kepada khalifah, “Wahai Amirul mukminin, sesungguhnya di dalam neraka jahannam itu ada sebuah telaga yang jika dilemparkan sebuah batu dari tepi atasnya, batu tersebut akan melayang-layang di dalamnya selama 70 tahun sebelum ia tiba di dasarnya. Tahukah kamu, untuk siapakah Allah menyediakan telaga jahanam itu, wahai Amirul mukminin?”
Khalifah menjawab tanpa pertimbangan, “Tidak.” Namun, tiba-tiba dia tersedar dan berkata, “Celaka, untuk siapakah telaga itu disediakan?” Thawus menjawab, “Disediakan oleh-Nya untuk mereka yang menyekutukan Allah dalam kekuasaan-Nya kemudian mereka berbuat zalim.”
Mendengar penjelasan itu, gemetarlah tubuh khalifah. Seakan-akan nyawanya akan melayang dari kedua-dua rusuknya. Kemudian dia menangis teresak-esak, esakan tangisannya menyayat hati orang yang mendengarnya. Thawus kemudian pergi meninggalkannya, dan Khalifah mengulang-ulang ucapan terima kasihnya kepada Thawus kerana telah mengingatkannya tentang nasihat yang berharga.
Semasa Umar bin Abdul Aziz memegang jawatan pemerintahan, dia menghantar sepucuk surat kepada Thawus bin Kaisan, “Berilah saya nasihat, wahai Abu Abdirrahman!”
Thawus menjawab surat itu dengan satu baris kalimat sahaja, “Jika kamu ingin semua amalmu hanya kebaikan, maka gunakanlah untuk kebaikan. Wassalam.”
Setelah Umar membaca isi surat tersebut, dia berkata, “Nasihat ini telah mencukupi. Nasihat ini telah mencukupi!”
Keteguhan hati dan keberanian Thawus meninggalkan persoalan untuk kita. Sejauh manakah kita mengimani Allah dan Rasul-Nya? Sudahkah kita lantang menyuarakan kebenaran Islam dan melawan segala bentuk kezaliman dengan berani?
Bagi Thawus, kebaikan secara total dapat direalisasikan apabila bermula daripada penguasa. Penguasa yang menerapkan Islam secara kaffah juga akan memberi kesan kepada rakyat yang dipimpinnya. Jika penguasa bertakwa, negara melaksanakan sistem syariat secara menyeluruh, rakyat pasti mentaatinya.
Sumber:
#KisahInspirasi
#DzakwanBinKaisan
#UlamaFikih
#KeimananMantap
#BeraniBercakapBenar
#BeraniNasihatiPenguasa
#MemberiNasihatYangTegas
#ZuhudTerhadapDunia

