Site icon MuslimahHTM News

Isu PrEP: Peri Pentingnya Pendekatan Menyeluruh Tangani Natijah Kebejatan Sistemik

[KOLUM SIYASAH] Isu PrEP: Peri Pentingnya Pendekatan Menyeluruh Tangani Natijah Kebejatan Sistemik

 

Projek rintis penggunaan ubat-ubatan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) bagi mengurangkan risiko penularan HIV bakal dilaksanakan di beberapa buah hospital di negara ini. Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dalam sebuah kenyataan sejurus selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Pusat Jantung Hospital Serdang baru-baru ini [BH Online, 13/12/2022]. Namun, perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluas penggunaan rawatan ini kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, dan transgender) sebagaimana yang dilaporkan media telah mencetuskan kegusaran segelintir pihak termasuk pakar-pakar perubatan.

 

Sebelum ini, rawatan PrEP diberikan kepada individu yang tidak menghidap HIV namun mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan virus tersebut, seperti pasangan kepada individu yang menghidap HIV dan ahli keluarga mereka. Namun, pemberian PrEP kepada golongan LGBT dibimbangi berpotensi untuk menjurus ke arah normalisasi amalan songsang tersebut seandainya kebejatan yang semakin membarah dalam masyarakat ini tidak ditangani dengan benar.

 

Sesungguhnya, menularnya wabak HIV/AIDS dalam masyarakat merupakan natijah kebejatan yang bersifat sistemik. Justeru, HIV/AIDS tidak sewajarnya dilihat dari sudut pandang masalah kesihatan semata-mata sehingga mengabaikan aspek masalah perilaku yang menatijahkan menularnya wabak ini.

 

Dari sudut perubatan, semestinya penghidap HIV/AIDS wajar diberikan akses kepada rawatan terbaik tanpa didiskriminasi. Namun, penyelesaian tuntas kepada wabak ini tidak akan dapat dicapai hanya melalui pendekatan perubatan semata-mata. Islam bukan sekadar memandangnya sebagai masalah kesihatan, bahkan turut memandang HIV/AIDS sebagai satu masalah perilaku.

 

Hal ini kerana penularan sebahagian besar kes HIV berpunca daripada perbuatan keji seperti seks bebas dan seks luar tabie termasuk perbuatan homoseksual, tanpa menafikan terdapat juga penularan yang terjadi melalui tusukan jarum yang tercemar dengan virus HIV dan jangkitan daripada ibu yang menghidap HIV kepada anak.

 

Islam hadir dengan penyelesaian tuntas yang mampu membendung sekali gus mencegah penularan wabak HIV/AIDS melalui pendekatan yang menyeluruh. Penyelesaian wabak HIV menurut syariat Islam dapat direalisasikan melalui tiga teras utama iaitu ketakwaan individu, kawalan masyarakat, dan peranan negara dalam menerapkan hukum. Tidak seperti sistem sekular kapitalis, Islam turut memberikan penekanan terhadap elemen ketakwaan individu sebagai benteng dalam mencegah seseorang itu daripada melakukan kemaksiatan dan amalan songsang yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko dijangkiti HIV.

 

Sungguhpun demikian, masih terdapat kemungkinan seseorang itu untuk terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan. Maka di sinilah hadirnya peranan masyarakat dalam melaksanakan langkah kawalan bagi mencegah kemungkaran. Prinsip amar makruf nahi mungkar yang menjadi teras dalam praktik kemasyarakatan menurut Islam ini tidak wujud dalam sistem sekular yang memupuk sikap individualistik dan menjunjung tinggi idea kebebasan perilaku.

 

Dalam masa yang sama, Islam juga menggariskan peranan negara dalam mencegah kemaksiatan melalui penerapan hukum syarak. Seks bebas dan amalan seks songsang seperti homoseksual, lesbianisme, biseksual, dan sebagainya termasuk dalam perbuatan jijik dan tercela menurut Islam. Semuanya merupakan kelakuan yang wajib dihukum (uqubat) dengan keras [Imam Al-Ajiri, Dzamm al-Liwat; Mahran Nuri, Fahisyah al-Liwat; Abdurrahman al-Maliki, Nizamul Uqubat].

 

Demikianlah penyelesaian yang dituntut oleh syarak dan wajib dilaksanakan oleh umat Islam, khasnya oleh pemerintah. Wabak HIV dan apa jua kerosakan sistemik yang timbul akibat dari penerapan sistem sekular ini hanya dapat diselesaikan secara tuntas melalui perubahan sistemik menuju kepada penerapan Islam secara kaffah dalam segenap aspek kehidupan.

 

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna…” [TMQ al-Anfal (8): 24]

Exit mobile version