[SN621] Harga Barang Terus Naik, Hanya Ekonomi Islam Penyelamat
Isu bekalan dan kenaikan harga telur masih menjadi topik hangat ketika ini sehingga urusan untuk membeli telur menjadi suatu ‘kepayahan’ dan ‘melelahkan’ bagi sebahagian rakyat. Ramai, terutama para peniaga masih berebut untuk membeli telur sehingga menjadi satu kepuasan dan ‘kejayaan’ peribadi apabila berjaya membeli sepapan telur. Isu bekalan telur ini sebenarnya harus dilihat dalam konteks yang lebih luas. Ia bukan semata-mata isu kekurangan dan kenaikan harga telur. Sebenarnya, ia juga melibatkan aspek jaminan makanan (food security) & inflasi yang terus meningkat. Mengapakah masalah ini masih belum selesai sehingga hari ini? Walaupun tidak dinafikan sudah terdapat usaha dalam menangani isu perbekalan dan penstabilan harga makanan, namun masih belum jelas bilakah isu ini benar-benar akan berakhir.
Hakikatnya, di sebalik semua krisis dan kemerosotan ekonomi dunia, Malaysia sebenarnya berpotensi besar untuk menghasilkan jumlah bekalan makanan yang besar secara mandiri kerana tanahnya yang subur dan cuacanya yang amat sesuai untuk sebarang aktiviti pertanian dan penternakan. Buktinya, dalam industri pengeluaran telur, Malaysia tersenarai antara lima negara utama pengeluar telur segar dengan nilai pasaran berjumlah USD127 juta. Antara negara pengimport terbesar telur dari Malaysia adalah Singapura, Hong Kong, Brunei, Timor-Leste dan Thailand. [Worldstopexports.com]. Ini menunjukkan bahawa Malaysia berpotensi untuk memajukan dan memberikan jaminan bekalan makanan secara mandiri walaupun ada yang memberikan alasan, seperti faktor luar, sebagai punca semua yang berlaku.
Sekiranya Malaysia memang mampu menjadi pengeluar telur secara mandiri, bukankah kita juga sebenarnya mampu mengatasi masalah ini secara mandiri? Mungkin kita harus merenung kembali pepatah melayu; “Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Apapun, tidak boleh dinafikan memang ada usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menstabilkan bekalan telur di pasaran, antaranya, pemberian subsidi ayam & telur kepada penternak berjumlah RM1.233 bilion dari bulan Februari 2022 hingga September 2022. Ini termasuk juga memberikan bantuan sara hidup tunai kepada rakyat. Namun, sejak sekian lama, tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, penyelesaian yang tuntas masih belum dapat dicapai. Tambahan pula, pemberian subsidi bukanlah satu bentuk penyelesaian yang mampan.
Kenyataannya, sistem ekonomi kapitalis bukanlah satu sistem yang menjanjikan kemakmuran dan kestabilan. Memasuki tahun 2023, para penganalisis ekonomi kapitalis telah pun sepakat bahawa dunia akan mengalami kemerosotan dan pengurusan kos sara hidup bukanlah hanya mengenai kenaikan harga makanan semata-mata [www.astroawani.com, 25 Disember 2022]. Peningkatan harga makanan dan kos hidup umumnya, secara faktual, adalah merupakan satu isu sistemik dan bukan semata-mata masalah bekalan dan permintaan. Hakikat ini dapat dilihat pada graf:
Graf di atas menunjukkan corak peningkatan harga barang makanan di Malaysia sepanjang lebih 30 tahun. Antara tahun 1980 hingga 2010, taburan graf menunjukkan peningkatan harga barang makanan sebanyak 60%. Jika unjuran dilakukan, sudah tentulah indeks harga makanan akan terus meningkat lebih tinggi. Kenaikan harga barangan di dalam sistem ekonomi kapitalis ini adalah sesuatu yang pasti akan berlaku dan ia akan terus meningkat saban tahun. Kenaikan harga barangan keperluan setiap tahun adalah merupakan satu realiti yang tidak dapat dielakkan. Benar, memang berlaku variasi harga akibat imbangan bekalan dan permintaan, namun indeks harga barangan akan terus meningkat secara pasti. Inilah yang dikatakan sebagai masalah sistemik – masalah yang disebabkan perlaksanaan sistem kapitalis itu sendiri.
Bagaimana Islam Menyelesaikan Permasalahan?
Untuk menjamin kestabilan harga dan bekalan makanan yang berterusan, Islam telah menetapkan bahawa Daulah wajib melaksanakan sistem matawang yang disandarkan kepada nilai emas dan perak. Daulah juga wajib memainkan peranan memastikan bekalan yang mencukupi (food security) dengan membangunkan industri makanan dan pertanian termaju. Ini membolehkan Daulah menghasilkan sendiri bekalan makanan tanpa bergantung kepada dunia luar.
Sistem matawang bersandarkan emas dan perak telah pun dijelaskan oleh Islam secara mendalam. Antara dalil wajibnya emas dan perak dijadikan asas kewangan di dalam Daulah adalah firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang menimbun emas dan perak, serta tidak menafkahkannya di jalan Allah (untuk jihad), maka beritahukan kepada mereka (bahawa nereka akan mendapat) azab yang pedih.” [TMQ At-Taubah:34]
Ketika Islam mewajibkan diyat, Islam juga telah menentukan diyat tersebut dengan ukuran tertentu dalam bentuk nilai emas. Rasulullah saw bersabda dengan maksud:
“Tangan itu wajib dipotong, (apabila mencuri) ¼ dinar atau lebih” [HR Imam Bukhari, dari Aisyah]
Islam juga menjamin bekalan yang berterusan disalurkan ke dalam pasaran tanpa sekatan. Mereka yang cuba mengawal bekalan makanan untuk meraih keuntungan yang lebih akan dikenakan hukuman yang berat. Islam dengan jelas tidak membenarkan penimbunan (ihtikar) dengan menahan stok barangan agar harganya naik.
Rasulullah saw bersabda dengan maksud: “Rasulullah saw melarang penimbunan makanan“ [HR al-Hakim dan al-Baihaqi]
Kesimpulan
Isu kenaikan harga makanan yang berterusan merupakan satu masalah sistemik yang terkait rapat dengan penggunaan matawang fiat dan kebergantung negara kepada bekalan makanan dari luar dalam aspek food security. Pelaksanaan sistem matawang bersandarkan emas dan perak serta kemandirian dalam penghasilan bekalan makanan tidak akan dapat dicapai secara tuntas tanpa adanya Negara Khilafah yang di dalamnya diterapkan keseluruhan syariat Islam. Setiap aspek di dalam syariat Islam terkait antara satu dengan yang lain dan dengan penerapan yang kaffah, kemakmuran dan kestabilan hakiki. akan dapat dicapai.

