Site icon MuslimahHTM News

Fitnah Kehidupan

[Nafsiyah] Fitnah Kehidupan

Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman

Hari ini, saya ditakdirkan oleh Allah SWT. berjumpa dengan orang-orang yang hebat dan luar biasa. Mereka adalah orang yang memberi inspirasi dalam perubahan. Namun, mereka tetap manusia biasa dengan segala masalah yang dihadapinya, begitu juga saya.

Apatah lagi kita yang tidak maksum, Nabi SAW. yang maksum juga tetap menghadapi masalah. Bahkan, masalah yang lebih berat daripada kita. Itulah “fitnah” kehidupan. Selama kita hidup, selama itu juga kita tidak boleh menghindari daripada “fitnah”.

Allah SWT. juga memberikan penegasan dalam firman-Nya,

وَنَبْلُوَكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً

“Dan Kami menguji kalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian).” [TMQ al-Anbiya’ (21): 35]

Ayat ini menegaskan bahawa “fitnah” (ujian dan cubaan) yang dihadapi oleh manusia dalam hidupnya boleh berbentuk keburukan (syarr) sekaligus kebaikan (khair).

Ketika Allah menguji kita dengan sakit, kesusahan, kekurangan, belum dikurniakan keturunan, belum mendapat jodoh, dan lain-lain yang kita anggap buruk (syarr), walaupun kita tidak pernah tahu sebenarnya apa yang ada di sebalik semua itu, tetapi yang pasti Allah SWT. hendak menguji kita, sejauh manakah kesabaran, keyakinan, dan harapan kita kepada-Nya. Semuanya merupakan fitnah bagi kita.

Begitu juga ketika Allah menguji kita dengan kesihatan, kemudahan, rezeki yang berlebihan, mempunyai keturunan, pasangan hidup, keluarga, dan lain-lain yang kita anggap baik (khair), boleh jadi ujian ini jauh lebih berat dibandingkan keburukan yang menimpa kita, namun kita selalu tidak merasa bahawa ini semua adalah fitnah.

Padahal, kedua-duanya sama ada fitnah yang kita anggap buruk (syarr), mahupun fitnah yang kita anggap baik (khair) dua-duanya adalah keputusan Allah Taala.

Oleh itu, ramai di antara kita yang boleh bersabar apabila mendapat ujian yang buruk, sebaliknya tersungkur apabila mendapat ujian yang baik.

Sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT. dalam al-Quran,

أَلاَ فِي الْفِتْنَةِ سَقَطُوْا وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيْطَةٌ بِالْكَافِرِيْنَ

“Ingat, mereka telah tersungkur di dalam fitnah. Dan, sesungguhnya neraka Jahanam itu meliputi orang-orang Kafir.” [TMQ at-Taubah (9): 49]

Kesimpulannya, kita tidak boleh menghindari fitnah, sama ada yang kita anggap baik mahupun buruk. Kerana, semua itu sentiasa ada dalam kehidupan kita. Apa yang kita boleh dan seharusnya kita elakkan ialah fitnah yang menyesatkan (mudhillati al-fitan) sehingga kita jatuh atau tersungkur.

Oleh itu, Saidina ‘Ali Karrama-Llahu wajhah mengajarkan doa kepada kita,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ مُضِلاَّتِ الْفِتَنِ

“Ya Allah, hamba berlindung kepada-Mu dari fitnah yang menyesatkan.”

Ya, fitnah yang menyesatkan (mudhillati al-fitan) adalah fitnah yang membuatkan kita jatuh atau tersungkur. Fitnah yang menyebabkan kita jatuh dan tersungkur boleh jadi bukan keburukan tetapi sebaliknya kebaikan.

Kemudian, apa yang membuatkan kita terjatuh atau tersungkur dalam lubang fitnah kehidupan? Jawapannya ialah hawa nafsu.

Apabila kita dikawal oleh hawa nafsu, akal dan kesedaran kita kalah. Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Dzamm al-Hawa, menjelaskan bahawa dorongan hawa nafsu itu tidak selamanya buruk tetapi tetap perlu dikawal oleh akal dan kesedaran kita.

Orang makan, tergerak untuk makan kerana merasa lapar. Orang tidur, akhirnya tidur kerana mengantuk. Orang beribadah, tergerak untuk beribadah kerana ada dorongan mendekatkan diri kepada Allah. Orang berkahwin, tergerak hati untuk berkahwin kerana ada dorongan cinta dan melestarikan keturunan dengan lawan jenisnya.

Begitu juga keinginan untuk memiliki kekayaan telah mendorong orang bekerja dan mengumpulkan harta. Semua itu tidak ada salahnya apabila dikendalikan oleh akal dan kesedaran yang lahir dari akidah dan pandangan hidup kita

Masalahnya, adakah kita sudah mempunyai bekalan yang mencukupi untuk membina akal dan kesedaran supaya kita dapat mengawal hawa nafsu dengan akidah dan pandangan hidup kita?

Inilah yang menjadi cabarannya. Kita sentiasa merasa sudah cukup kerana sekurang-kurangnya seminggu sekali kita telah menghadiri kelas ilmu. Tanpa melihat, adakah yang kita dapat sebelum ini sudah mencukupi untuk menjawab semua permasalahan yang kita hadapi?

Realitinya, ujian hidup yang kita hadapi sebenarnya lebih rumit dari ilmu yang kita dapat. Oleh itu, sebenarnya kita tidak boleh merasa cukup dengan ilmu yang kita ada. Kita juga tidak boleh berhenti belajar.

Jika kita merasa cukup dengan ilmu dan kita berhenti belajar sebenarnya tanpa disedari kita telah terjerumus ke dalam perangkap syaitan.

Akibatnya, apabila kita menghadapi pelbagai masalah yang rumit dalam kehidupan, kita tidak mempunyai bekalan yang mencukupi. Ketika masalah itu datang, kita akan menjadi tidak bersedia. Ketika itulah kita akan jatuh. Kita tersungkur.

Jika pada masa itu kita sedar, mungkin pada masa itu kita baru berfikir untuk belajar. Mencari penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi.

Namun, kadangkala ada yang tidak sedar. Akibatnya, dia terus-menerus berada dalam lubang fitnah dan dia juga tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada fitnah itu.

Di sinilah sebenarnya ujian kita setelah kita bertaubat. Oleh itu, kita mesti terus belajar, baik untuk mengetahui hukum dan pemikiran yang mesti kita terapkan, mahupun untuk melatih jiwa dan nafsu kita.

Mengetahui hukum dan pemikiran itu memang lebih mudah. Tetapi, yang paling sukar ialah apabila kita perlu melatih jiwa dan nafsu kita. Berbicara tentang konsep ikhlas jelas lebih mudah, tetapi menjadikan jiwa dan nafsu kita untuk mencapai keikhlasan itu jelas lebih sukar.

Di sini, apa yang kita perlukan bukan sekadar konsep tetapi latihan (riyadhah). Begitu juga apabila membincangkan tentang sabar, lebih mudah jika kita membicarakannya. Namun, kita tidak akan pernah mencapai kesabaran jika kita tidak pernah berlatih sabar.

Padahal, semuanya itu kita perlukan selagi kita menghadapi fitnah (ujian). Pendek kata, hanya ada satu cara yang dapat menyelamatkan kita daripada fitnah yang menyesatkan (mudhillati al-fitnah) yang akan menyebabkan kita terperosok dalam kehidupan iaitu terus belajar dan memperbaiki diri.

Inilah yang dicontohkan oleh Nabi, dengan sentiasa belajar dan membina para sahabat sepanjang hayatnya. Inilah yang diwarisi dan diwariskan oleh para sahabat kepada generasi berikutnya.

Inilah juga yang sepatutnya menjadi tradisi kita. Semoga kita dapat mewarisi warisan mereka dan dengannya Allah SWT. menyelamatkan kita dari fitnah yang menyesatkan.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ مُضِلاَّتِ الْفِتَنِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari fitnah yang menyesatkan.” Aamiin yaa mujibas saillin…”

#Nafsiyah #FitnahKehidupan
#Ujiandunia  #perbuatan #hawanafsu #cabarandunia

Exit mobile version