[Syarah Hadis] Al-Musâqâh
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَامَلَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم أَهْلَ خَيْبَرَ بِشَطْرِ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا مِنْ ثَمَرٍ أَوْ زَرْع
“Rasulullah SAW pernah mempekerjakan penduduk Khaibar dengan separuh dari hasilnya berupa buah atau hasil pertanian.” (HR Al-Bukhari No. 2329 dan 2331; Muslim No. 1551; Ahmad No. 4663, 4732, dan 4946; Abu Dawud No. 3408 dan 3409; At-Tirmidzi No. 1383; Ibnu Majah No. 2467).
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Abdullah bin Umar RA. Dalam redaksi lainnya dari jalur Nafi’ dari Abdullah bin Umar, dari Nabi SAW,
أَنَّه أَعْطَى خَيْبَر الْيَهُودَ عَلَى أَنْ يَعْمَلُوهَا وَيَزْرَعُوهَا وَلَهم شَطْرُ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا
“Nabi SAW menyerahkan (tanah) Khaibar kepada orang-orang Yahudi agar mereka mengerjakan dan menanami tanah tersebut dan untuk mereka separuh dari hasilnya.” (HR Al-Bukhari No. 2285, 2499, 2720, 4248; An-Nasai No. 4647 di dalam Sunan al-Kubrâ; Al-Baihaqi No. 11360 di dalam Sunan al-Kubrâ).
Imam An-Nawawi rahimahulLâh menyatakan di dalam Syarhu Sahîh Muslim (10/209), “Di dalam hadis ini ada ketentuan tentang kebolehan al-musâqâh. Ia juga menjadi pendapat Malik, Ats-Tsawri, Al- Laits, Asy-Syafie, Ahmad, semua muhaddisin, ahlu azh-zhahir dan jumhur ulama. Sebaliknya, Abu Hanifah menyatakan tidak boleh.”
Imam An-Nawawi juga menyatakan:
Mereka berbeza pendapat dalam al-asyjâr (pohon) yang terhadapnya boleh al-musâqâh. Dawud mengatakan, “Boleh terhadap kurma secara khusus.” Asy-Syafie berkata, “Terhadap kurma dan anggur secara khusus.” Malik berkata, “Boleh atas semua al-asyjar.” Itu adalah pendapat untuk Asy-Syafie.
Dawud berpandangan itu merupakan rukhshah sehingga tidak melampaui apa yang dinyatakan (al-manshûsh ‘alayh). Asy-Syafie sepakat dengan Dawud dalam keberadaannya sebagai rukhshah, tetapi dia berkata, “Hukum anggur adalah hukum kurma dalam sebahagian besar bab.” Adapun Malik berkata, “Sebab kebolehan adalah keperluan dan maslahat. Ini mencakup semua jadi dikiaskan terhadapnya. Wallahualam.”
Seperti penjelasan Imam An-Nawawi, hadis di atas merupakan dalil kebolehan muamalah yang disebut oleh para ulama sebagai al-musâqah. Al-Musâqâh merupakan bentuk mufâ’alah dari as-saqyu. Dikatakan: saqyu az-zar’i, jika ia menyiramnya dengan air (Rawas Qal’ah Ji, Mu’jam Lughah al-Fuqahâ’).
Menurut Al-Azhari dalam Tahdzîb al-Lughah, dikatakan: sâqâ fulânun fulânan nakhlatahu, jika pohon kurma itu diserahkan kepada orang lain agar diairi, disirami, dan diperlakukan apa saja untuk kebaikan pohon kurma itu baik sumur atau yang lain, maka peratus tertentu dari buahnya adalah untuk al-‘âmil dan bakinya untuk pemilik tanah tersebut.
Adapun secara syarie, al-musâqâh adalah apabila seseorang menyerahkan pohon miliknya kepada orang lain agar diairi dan diperlakukan apa saja yang diperlukan. Peratusan tertentu akan diberi kepada orang yang mengairi pokok tersebut. Disebut musâqâh kerana ia merupakan bentuk mufâ’alah dari as-saqyu. Sebab, bagi penduduk Hijaz, keperluan paling banyak dari pohon mereka adalah pengairan. Mereka mengairinya dari sumur sehingga disebut dengan sebutan itu, iaitu al-musâqâh (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, kitâb “Al-Musâqât”, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Nizhâm al-Iqtishâdî fî al-Islâm).
Pengertian al-musâqah ini juga digali dari hadis di atas yang menggambarkan muamalah Rasul SAW dengan Yahudi Khaibar. Tanah Khaibar ditaklukkan secara ‘anwat[an], atau menurut pendapat lain ditaklukkan secara shulh[an] dengan ketentuan tanahnya menjadi milik kaum muslim.
Di tanah Khaibar sudah ada pohon-pohon (kebun-kebun) kurma secara dominan. Kemudian Rasul SAW menyerahkan pengelolaan tanah Khaibar yang didominasi pohon (kebun) kurma itu kepada Yahudi Khaibar dan mereka mendapat separuh dari hasilnya. Aktiviti utama dalam pengelolaan kebun kurma itu adalah mengairi. Kerana itulah muamalah Rasul SAW dengan Yahudi Khaibar itu kemudian disebut sebagai al-musâqah, menurut aktiviti yang dominan di situ.
Hanya saja, di antara tanah Khaibar itu ada yang boleh digunakan untuk bercucuk tanam (pertanian), seperti di antara kebun atau di tepi pohon kurma. Syaratnya, kawasan pertanian itu tidak dominan, iaitu jauh lebih sedikit. Yang dominan adalah kawasan pohon kurma atau kebun kurma. Buktinya adalah, hasil dominan tanah Khaibar adalah kurma, dan sebahagian kecil adalah barli. Ibnu Umar RA menuturkan,
أَعْطَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْبَر بِشَطْرِ مَا يَخْرُجُ مِنْ ثَمَرٍ أَوْ زَرْعٍ، فَكَانَ يُعْطِي أَزْوَاجَه كُلَّ سَنَةٍ مِائَة وَسْقٍ، ثَمَانِينَ وَسْقًا مِنْ تَمْرٍ، وَعِشْرِينَ وَسْقًا مِنْ شَعِيرٍ
“Rasulullah SAW menyerahkan (tanah) Khaibar dengan separuh hasilnya berupa kurma atau hasil pertanian. Baginda memberi isteri-isteri Baginda pada setiap tahun, 100 wasaq terdiri dari 80 wasaq kurma dan 20 wasaq barli.” (HR Ahmad No. 4732 dan 4946; Muslim No. 1551).
“Para ulama berkata: Ini adalah dalil bahawa kawasan tanah di Khaibar yang menjadi kawasan pertanian lebih sedikit dari syajar.” (Imam Aan-Nawawi, Syarh Sahîh Muslim, 10/211).
Disebabkan yang dominan adalah syajar, iaitu pohon kurma, maka pertanian (zar’[un]), iaitu barli itu adalah tâbi’un. Kaedah usul menyatakan: at-tâbi’u ya’khudzu hukma al-matbû’ (yang mengikuti mengambil hukum yang diikuti); al-ghâlibu fî al-wâqi’, al-ghâlibu fî al-hukm (yang dominan dalam faktanya maka dominan juga dalam hukumnya).
Jadi hukum zar’u di situ mengikuti tsamar dan syajar, iaitu mengikuti al-musâqah. Maksudnya, muamalah yang dilakukan oleh Rasul SAW dengan penduduk Khaibar itu hanya satu muamalah, iaitu al-musâqah. Hal itu ditegaskan dalam hadis Nafi’ dari Ibnu ‘Umar RA di atas, “A’thâ khaybara al-yahûda ‘alâ an ya’malûhâ wa yazra’ûhâ…”
Jadi di situ tidak ada akad al-muzâra’ah. Dengan demikian hadis ini tidak dapat dijadikan dalil atas kebolehan al-muzâra’ah atau penyewaan tanah untuk pertanian. Hadis di atas menunjukkan tentang kebolehan al-musâqah.
Dalam al-musâqah itu, selain penjagaan dan pengelolaaan pohonnya, juga boleh tanahnya digunakan bercucuk tanam oleh al-‘âmil, iaitu orang yang menjaga dan mengelola al-asyjâr itu. Hasilnya, baik buah atau hasil al-asyjâr dan hasil bercucuk tanam, dibahagi menurut peratus yang telah disepakati di antara pemilik al-asyjâr dengan pengelola itu. Tentu saja, muamalah al-musâqah itu perlu memenuhi ketentuan hukum syariat. Wallahualam wa ahkam.

