Site icon MuslimahHTM News

Mengenal Mesir, Bumi Para Nabi

[Tapak Tilas] Mengenal Mesir, Bumi Para Nabi

Penulis: Siti Nafidah Anshory, M.Ag.

Peradaban Mesir sudah muncul sejak ribuan tahun sebelum Masihi. Berdasarkan sejarah, masyarakat Mesir hidup di bawah kekuasaan Firaun dengan bermacam ragam kepemimpinan mereka.

Peta Mesir sebelum masa Islam

Saat itu, masyarakat Mesir sudah mencapai tahap kemajuan yang tinggi. Tanahnya yang subur menjadikan Mesir sebagai daerah yang kaya dengan hasil bumi. Inilah yang mendorong munculnya banyak kemajuan di berbagai bidang. Bermula dari sistem pertanian, sistem pentadbiran pemerintahan, seni, budaya, matematik, teknologi dan sebagainya.

Sayangnya, kemajuan ini tidak seiring dengan taraf berfikir dalam aspek ketuhanan. Masyarakat Mesir justeru terjerumus dalam budaya mistik dan paganisme, termasuk pengakuan firaun sebagai Tuhan.

Mesir, Bumi Kinanah

Selain Palestin, Mesir juga dikenali sebagai negeri para Nabi kerana di sini tempat lahirnya Nabi Idris, Nabi Musa dan Harun. Tempat ini juga pernah diduduki oleh beberapa nabi seperti Nabi Saleh, Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf, Nabi Yaakub dan Nabi Isa. Bahkan, makam Nabi Saleh terletak di sini.

Disebabkan Mesir merupakan bumi para Nabi, maka Mesir juga dikenali sebagai bumi Kinanah iaitu negeri yang dijaga atau mendapat penjagaan dari Allah SWT melalui adanya para Nabi.

Mesir Jadi Negeri yang Terjajah

Pada masa kekuasaan Cleopatra VII iaitu sekitar 31M, Mesir menyerah kalah pada kekuatan Romawi Barat. Kemudian pada 476M, kekuasaan Romawi Barat hancur. Mesir pun beralih ke tangan Romawi Timur yang beragama Kristian Ortodoks.

Selama dijajah, masyarakat Mesir hidup dalam kesengsaraan. Wilayahnya yang sangat subur justeru menjadi sumber penderitaan mereka. Penjajah menerapkan berbagai kewajipan cukai yang tidak masuk akal. Bukan hanya yang hidup, bahkan yang mati juga dikenakan cukai.

Sebagai daerah jajahan, kedudukan Mesir juga sangat tergantung pada keadaan politik kekuasaan Romawi Timur. Saat itu, Romawi Timur dalam keadaan sedang bersaing dengan kuasa besar yang lain iaitu Empayar Parsi atau Sassanid. Kedua-duanya memang selalu berperang antara satu sama lain.

Pada 616-629M, Mesir sempat berada di bawah kekuasaan Parsi (Kisra II). Tetapi kemudian, Raja Romawi Timur, Heraclius berjaya merebut kembali Mesir ke dalam kekuasaannya sehingga kemudian ditakluk oleh pasukan kaum Muslim.

Pasukan Muslim Membuka Mesir

Bermula dari surat Umar kepada Amr bin Ash yang saat itu sedang berada di wilayah Jabiyah,

“Jika engkau mampu menaklukkan Mesir, sesungguhnya ia akan menjadi kekuatan dan pertolongan bagi umat Islam kerana sumber daya alamnya amat melimpah, tetapi penduduknya tidak berdaya untuk berperang.”

Surat inilah yang menjadi pendorong bagi Amr bin Ash dan pasukannya untuk segera bergerak menuju Mesir. Terlebih jauh sebelumnya, Baginda Rasulullah SAW juga pernah mewasiatkan tentang wilayah Mesir ini.

Baginda SAW bersabda, “Sepeninggalanku nanti, adalah kewajipan kalian untuk membebaskan Mesir. Maka, perlakukanlah penduduknya dengan baik kerana mereka masih ada ikatan dan hubungan kekeluargaan dengan kita.”

Misi pembukaan Mesir sendiri sebenarnya bermula saat misi penaklukan wilayah Syam dari kekuasaan Romawi dan Iraq dari kekuasaan Parsi yang sedang berlangsung. Ketika itu pasukan yang diketuai oleh Amr bin Ash merupakan salah satu pasukan yang diminta untuk memperkuatkan pasukan Khalid bin Walid dalam misi penaklukan Syam.

Namun, misi penaklukan Iraq justeru telah berjaya terlebih dahulu. Tidak perlu waktu yang lama untuk daerah ini direbut dari kekuasaan Parsi. Bermula dengan misi penaklukan oleh Khalid pada 633M, sehingga seluruhnya ditakluk oleh pasukan Sa’ad bin Abi Waqqas pada tahun 636M.

Sementara itu, misi penaklukan wilayah Syam dimulakan pada tahun 634M atas perintah Khalifah Abu Bakar dan diteruskan oleh Khalifah Umar. Ada beberapa pasukan yang dikirim termasuklah pasukan yang diketuai oleh Khalid bin Walid.

Wilayah ini akhirnya dapat dibebaskan sepenuhnya dari kekuasaan Romawi Timur pada 640M. Ketika detik-detik penaklukan Syam sepenuhnya berjaya, Amr bin Ash mula mengarahkan pasukannya ke wilayah Mesir. Ini kerana, wilayah Mesir masih lagi dalam cengkaman Romawi Timur sedangkan kedudukannya sangat strategik bagi dakwah dan kekuasaan Islam.

Penaklukan Benteng Babylon

Khalifah dan para komandernya sangat memahami bahawa jika Mesir boleh ditakluk, maka sumber kekuatan Empayar Romawi di kawasan Mediterania akan dipotong. Ini bermaksud, wilayah Jazirah Arab akan terlindung dari serangan Romawi dari masa ke semasa. Bahkan, penaklukan Mesir akan menjadi pintu pembuka penyebaran dakwah Islam ke wilayah Eropah dan dunia pada umumnya.

Penaklukan wilayah Mesir ini memang boleh dikatakan cukup sukar. Pasukan Amr bin Ash perlu menghadapi taktik perang gerila pasukan Romawi yang sering bersembunyi di sebalik benteng Babylon yang terkenal cukup kuat sehinggakan banyak pasukan beliau yang gugur dalam misi ini.

Sehingga pada tahun 640M, Khalifah Umar mengirim beberapa pasukan tambahan di bawah pimpinan para sahabat yang tidak kurang hebatnya. Mereka adalah pasukan Zubair bin Awwam, Ubadah bin Shamit, Miqdad bin Aswad, Maslamah bin Mukhalad dan Kharjan bin Khudzafah RA.

Mereka bergabung untuk berperang di bawah komander Amr bin Ash. Dengan kehadiran pasukan tambahan ini, akhirnya membuahkan hasil. Lebih-lebih lagi saat itu Amr bin Ash menggunakan strategi perang yang sangat bijak. Hasilnya, pasukan Romawi dengan mudah dapat dihancurkan dan seluruh wilayah Mesir akhirnya berjaya ditakluk. Amr bin Ash juga dilantik sebagai wali bagi Khalifah Umar.

Mesir dalam Pangkuan Islam

Ketika pasukan Muslim datang, ada tiga tawaran yang diajukan oleh pasukan Amr bin Ash iaitu untuk menerima Islam, membayar jizyah atau memilih perang. Ternyata, Mesir memilih untuk berperang. Walaupun Mesir masuk ke dalam kekuasaan Islam melalui jalan perang, akhirnya penduduk Mesir memilih Islam sebagai keyakinan dan jalan hidup mereka.

Perlahan tetapi pasti, masyarakat Mesir mampu meraih kemuliaan hakiki di bawah naungan kepemimpinan Islam. Di bawah kekuasaan Islam, mereka dilayan sama dengan kaum Muslim yang lainnya. Bahkan, kedudukan mereka setara dengan kaum Muslim yang hidup di pusat Daulah Islam di Madinah. Sama juga kedudukannya dengan mereka yang masuk Islam tanpa perang.

Terlepas dari pergantian dinasti-dinasti kekuasaan Islam, Mesir pada masa-masa selanjutnya mampu tampil sebagai salah satu pusat peradaban. Antara yang terkenal adalah munculnya kota baru bernama Kairo (Al-Qahirah) pada 969M.

Pada masa Dinasti Fatimiyyah, kota ini dijadikan sebagai pusat kekuasaan mereka. Kota ini juga dikenali sebagai salah satu kota moden yang dikelilingi oleh benteng kukuh dan fasiliti umum yang memadai. Sekaligus sebagai kota pendidikan yang ditanda dengan berdirinya Universiti Al-Azhar yang terkenal sepanjang zaman, bahkan sehingga sekarang.

Saat Mesir jauh dari Islam

Saat bermulanya era penjajahan Eropah ke atas Afrika, jauh sebelum khilafah terakhir runtuh pada tahun 1924M, wilayah Mesir sudah menjadi sasaran konspirasi British untuk dipisahkan dari kekuasaan Islam yang waktu itu dipegang oleh Dinasti Uthmaniyyah dan berpusat di Turki. British mendapatkan peluang itu akibat lemahnya hubungan penguasa wilayah Mesir yang rakus akan kekuasaan dengan pusat pemerintahan Islam.

Melalui perang British-Mesir pada tahun 1882M, Mesir akhirnya jatuh ke tangan British. Perkara itu terus berlangsung sehingga Mesir dimerdekakan pada tahun 1952M. Tentu saja sudah dalam keadaan yang jauh dari Islam. Bahkan, negara baru ini berdiri atas dasar konsep kebangsaan dengan menjadikan fahaman sekularisme, sosialisme dan kapitalisme sebagai asas kekuasaan.

Rejim demi rejim silih berganti memimpin rakyat Mesir sehingga sekarang. Namun, tidak ada satu pun yang mampu mengembalikan Mesir pada kemuliaan sebagaimana saat mereka berada di bawah pangkuan Islam. Mesir menjadi negeri Muslim yang bergolak dan tidak memiliki posisi antarabangsa selain menjadi pengekor peradaban Barat sehinggakan untuk kes pendidikan Israel ke atas Palestin pun, Mesir justeru bergandingan tangan dengan Barat, menyokong pendudukan melalui sikap diam dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Khatimah

Sejatinya, di mata Islam, Mesir adalah sebuah harapan. Ia ditakluk bukan untuk dihinakan melainkan untuk dimuliakan. Itu terbukti saat Mesir masih berada dalam pangkuan Islam selama belasan abad. Mesir, sebagaimana negeri Muslim lainnya, akan tetap berada dalam keadaan terjajah jika masih enggan mengambil sistem Islam sebagai sistem kehidupan. Sekularisme dan nasionalisme yang mereka pertahankan hanya akan melemahkan dan terus memecahbelahkan kekuatan.

Sudah saatnya kaum muslim Mesir dan di negeri lain berjuang bersama untuk mengembalikan sistem politik Islam, iaitu sebuah sistem yang akan menyatukan seluruh potensi kekuatan umat Islam di bawah satu kepimpinan. Dengan cara itulah umat Islam boleh kembali sebagai satu kekuatan, umat terbaik yang mampu menghancurkan berbagai bentuk kekufuran termasuk hegemoni kapitalisme global.

TapakTilas

Exit mobile version