[Kolum Siyasah] Nasib Palestin Terus Dipermainkan
Di pentas dunia, penghujung tahun 2022 sekali lagi menyaksikan nasib Palestin menjadi alat retorik apabila Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi yang meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi khidmat nasihat dari segi undang-undang mengenai pencerobohan Israel ke atas wilayah Palestin. Undian PBB itu menyaksikan seramai 87 ahli mengundi menyokong permohonan itu manakala Israel, Amerika Syarikat (AS) dan 24 ahli lain menentang, dan 53 pula berkecuali. Sebelum itu, Perwakilan Khas PBB ke Asia Barat berkata, tahun 2022 juga mencatat lonjakan keganasan maut apabila lebih 200 orang rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dibunuh oleh tentera rejim zionis Israel.
Lihatlah, betapa lemahnya keadaan umat Islam pada saat ini apabila terpaksa bergantung harap kepada PBB untuk menyelesaikan krisis dalam dunia Islam sendiri. Sudahlah tanah suci Umat Islam dirampas, sebahagian pemimpin Islam samada bersekongkol, bersetuju atau tertipu dengan tawaran Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution) sebagai satu-satunya jalan keluar terhadap konflik Palestin-Israel. Sebelum ini, terdapat juga usulan perdamaian seperti yang termaktub pada Konferens Madrid (1991) dan Perjanjian Oslo (1993). Namun semua itu tidak mendatangkan manfaat apapun bagi Palestin. Apa yang lebih melukakan hati apabila ramai pemimpin Arab dan dunia Islam lainnya tanpa segan silu terus mengkhianati Palestin dengan menjalinkan normalisasi hubungan dengan negara haram Israel atas alasan untuk tujuan ekonomi dan teknologi. Perpecahan yang berkiblatkan doktrin sekularisme dan liberalisme menjadi punca kelemahan dunia Islam sehingga mereka terus didominasi oleh kuasa besar Barat.
Renungkanlah antara petikan reaksi tegas Khalifah Abdul Hamid II kepada Theodore Hertzel, pemimpin Zionis Yahudi.
“Aku tidak akan melepaskan walaupun segenggam tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah ini adalah milik umat Islam. Umat ini telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah-darah mereka.. Jika Khilafah telah dimusnahkan suatu hari nanti, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, selagi aku masih hidup, aku lebih rela tertusuknya pisau ke tubuhku ini daripada melihat tanah Palestin dikhianati..”.
Isu berkaitan dengan kesengsaraan dan penindasan umat Islam hanya dapat diselesaikan dengan menyatukan umat Islam di bawah sistem pemerintahan Islam, iaitu Sistem Khilafah. Sekadar menemplak dan mengkritik dengan berani di sidang PBB tidak akan memberikan penyelesaian tuntas kepada permasalahan ini. Sebaliknya semua pemimpin umat Islam haruslah menyeru dan berusaha untuk menyatukan umat Ini di bawah Sistem Khilafah.

