Site icon MuslimahHTM News

Demokrasi berbeza dengan Syura

[Fikrul Islam] Demokrasi berbeza dengan Syura

 

Penulis: Ahmad Mahmud

 

Salah satu ungkapan yang menyedihkan adalah kata-kata dari salah seorang yang mempropagandakan demokrasi iaitu “Islam itu bermula dengan demokrasi dan berakhir dengan kediktatoran.” Mereka menggunakan dalil dari firman Allah SWT,

وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ

Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah      [TMQ Ali Imran(3): 159]

 

Berkaitan dengan topik perbincangan kita (yang dilontarkan oleh mereka), iaitu Islam telah bersetuju dengan demokrasi tatkala Al-Quran mengisyaratkan mahupun Sunnah (baik perkataan mahupun perbuatan) menyebutkan tentang syura. Demokrasi itu menurut mereka tidak lain adalah syura itu sendiri. Ini kerana syura diwujudkan berdasarkan pengambilan pendapat manusia, demikian juga halnya dengan Islam yang memerintahkan untuk mengambil pendapat manusia, selari dengan firman Allah SWT,

 

وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ

Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.[TMQ Ali Imran(3): 159]

 

Allah SWT juga berfirman:

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka.”  [TMQ Ash-Syura(42): 38]

 

Selain itu, Rasulullah SAW di dalam kehidupan baginda dalam bidang politik dan ketenteraan selalu bermusyawarah dengan para sahabatnya dan mengambil pendapat mereka. Jika sedemikian perintah Al-Quran dan realiti perbuatan Rasulullah SAW, tidak ada jalan lain bagi kaum muslim kecuali mengikutinya. Mereka juga mengatakan bahawa perbezaan antara syura dengan demokrasi adalah hanya perbezaan lafaz saja. Lagipun perbezaan penyebutan tidak penting, selama mana isinya sama sahaja.

 

Kami mengetahui bahawa orang-orang yang menyerukan demokrasi terdiri dari beberapa golongan. Di antara mereka ada yang berhati busuk dan penipu, tetapi ada juga orang yang ikhlas, hanya saja mereka tidak mengetahui hakikat demokrasi. Tidak ada jalan lain bagi kelompok yang ikhlas itu kecuali mesti menjauhkan dirinya dari lontaran perkataan seperti ini. Jika tidak, maka keadaannya sama sahaja dengan orang yang menyembah Allah SWT dalam keadaan jahil, yang boleh menyebabkannya jatuh dalam maksiat. Tabiat orang yang ikhlas adalah mudahnya untuk kembali dari kesalahan dan cepat mengambil pengajaran.

 

Kelompok ini juga pernah mengatakan bahawa sosialisme berasal dari Islam dan Rasulullah SAW adalah imam mereka. Ketika kebusukan sosialis tersingkap, maka dengan apa mereka memberikan jawapan? Demikian juga halnya dengan demokrasi, yang sekarang ini sedang menghadapi sakratulmaut dan menunggu detik-detik kematiannya.

 

Justeru itu, apa yang sebenarnya diharapkan oleh para penganjur pemikiran ini? Sesungguhnya propaganda seperti ini tidak berpihak pada kepentingan Islam, melainkan demi kebaikan demokrasi. Mereka menempatkannya sebagai pemikiran yang agung daripada menjelaskan kepalsuannya. Mereka menyebarkannya, bukan malah memijaknya.

 

Pelaksanaan perintah AlIah SWT merupakan proses menjadikan kalimat Allah SWT yang tertinggi, dan agama yang berada di puncak teratas hanyalah agama Allah SWT semata-mata. Perkara ini tidak akan mampu dicapai kecuali dengan adanya jemaah yang mendapatkan petunjuk dalam memahami perintah-perintah tersebut dan memiliki perspektif ketika didirikannya serta cemerlang akidahnya. Pemahaman terhadap hukum-hukum Islam juga sangat mendalam, menyuarakan pemikiran yang bersifat dasar-dasar dan istilah-istilah yang benar (dari Islam), tidak mahu tunduk kepada realiti (yang rosak), dan tidak diwarnai oleh situasi mahupun keadaan.

 

Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam

 

Exit mobile version