Site icon MuslimahHTM News

Lebih Cantik daripada Bidadari Syurga

[Nafsiyah] Lebih Cantik daripada Bidadari Syurga

Penulis: Ummu Aiman

Menyedihkan namun itulah realitinya apabila seorang wanita dengan mudah menanggalkan tudungnya, meninggalkan jilbabnya dan selesa mempamerkan kecantikan mereka. Sama ada atas alasan menjunjung tinggi kebebasan, kepuasan peribadi, dunia material mahupun populariti yang semuanya membawa kepada satu perkara iaitu hawa nafsu yang tidak diperkenalkan kepada ketaatan yang sempurna.

Mengerikan tetapi inilah yang sering berlaku apabila seorang lelaki terpegun kepada wanita yang tidak halal baginya, berdandan yang boleh membangkitkan syahwat, memanjakan diri dengan segala kecantikannya tanpa batas sehingga menghancurkan iman. Sama ada atas alasan “menghargai” kecantikan wanita, “menolong” wanita sehingga sanggup menganiaya wanita yang sudah menjadi tanggungjawabnya, menyalahkan isteri yang tidak mampu berdandan, yang mana semuanya membawa kepada satu perkara iaitu hawa nafsu yang tidak terkawal.

Sedangkan, di syurga kelak terdapat makhluk yang sangat cantik, begitu indah, belum pernah seorang pun melihat ada makhluk secantik dan seindah itu. Mereka sangat pemalu dan terjaga sehingga kecantikan mereka hanya dapat dinikmati oleh suami-suami mereka di syurga.

Allah SWT telah memberikan bidadari kebaikan dalam penciptaan dan akhlak, kecantikan wajah, kulit halus yang menakjubkan sehingga fikiran dan lisan manusia yang lemah tidak mampu untuk mengungkapkannya.

Allah SWT berfirman,

فِيْهِنَّ قٰصِرٰتُ الطَّرْفِۙ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ اِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَاۤنٌّۚ  ٥٦ فَبِاَيِّ اٰلَاۤءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبٰنِۚ  ٥٧ كَاَنَّهُنَّ الْيَاقُوْتُ وَالْمَرْجَانُۚ

“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak juga oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan.” [TMQ ar-Rahman (55): 56-58]

Mari kita lihat ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menceritakan tentang bidadari syurga:

Kesempurnaan Bidadari Syurga

Bidadari itu bebas daripada segala kotoran dan perkara yang menjijikkan, baik lahiriah mahupun batin. Allah SWT berfirman,

وَبَشِّرِ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ اَنَّ لَهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ ۗ كُلَّمَا رُزِقُوْا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِّزْقًا ۙ قَالُوْا هٰذَا الَّذِيْ رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ ¡وَاُتُوْا بِهٖ مُتَشَابِهًا ۗوَلَهُمْ فِيْهَآ اَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَّهُمْ فِيْهَا خٰلِدُوْنَ

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan, “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.” Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ al-Baqarah (2): 25]

Ramai ahli tafsir mengatakan bahawa al-muthaharah bererti suci daripada haid, kencing, nifas, berak, hingus, air liur dan setiap kotoran serta perkara yang menjijikkan seperti apa yang berlaku kepada wanita di dunia ini (Tafsir Ibnu Katsir: 1/63)

Ibnul Qayyim Rahimahullah berkata, “Dalam masa yang sama, batin mereka juga suci dari akhlak yang buruk dan sifat-sifat yang keji, lisan mereka suci dari kekejian dan ucapan yang kotor, pandangan mereka suci dari keinginan kepada selain suami dan pakaian mereka suci dari kotoran yang boleh mengotorinya.” (Bada’iut Tafsir: 1/292)

Bidadari Syurga hanya untuk yang Beriman

Di antara ganjaran besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman di dalam syurga yang mulia ialah mereka akan berkahwin dengan bidadari, Allah SWT berfirman,

مُتَّكِـِٕيْنَ عَلٰى سُرُرٍ مَّصْفُوْفَةٍۚ وَزَوَّجْنٰهُمْ بِحُوْرٍ عِيْنٍ
“Mereka bersandar di atas pelamin berderet dan Kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli.” [TMQ ath-Thur (52): 20]

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah radhiyallahu anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

«أَوَّلُ زُمْرَةٍ تَلِجُ الْجَنَّةَ صُورَتُهُمْ عَلَى صُورَةِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَا يَبْصُقُونَ فِيهَا وَلَا يَمْتَخِطُونَ وَلَا يَتَغَوَّطُونَ، آنِيَتُهُمْ فِيهَا الذَّهَبُ، أَمْشَاطُهُمْ مِنْ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، وَمَجَامِرُهُمْ الْأَلُوَّةُ، وَرَشْحُهُمْ الْمِسْكُ، وَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِنْهُمْ زَوْجَتَانِ، يُرَى مُخُّ سُوقِهِمَا مِنْ وَرَاءِ اللَّحْمِ مِنْ الْحُسْنِ، لَا اخْتِلَافَ بَيْنَهُمْ وَلَا تَبَاغُضَ، قُلُوبُهُمْ قَلْبٌ وَاحِدٌ، يُسَبِّحُونَ اللَّهَ بُكْرَةً وَعَشِيًّا» [رواه البخاري برقم 3245 ومسلم برقم 2834]

“Kelompok pertama yang akan memasuki syurga akan memiliki wajah yang sama seperti bulan purnama, mereka tidak meludah, hidung berair dan tidak juga buang air besar di atasnya, bejana mereka di dalamnya adalah emas, sikat mereka daripada emas dan perak, tempat bukhur (gaharu) mereka dibuat dari kayu yang sangat harum, peluh mereka seharum minyak wangi, setiap mereka mempunyai dua isteri, bahagian dalam betisnya nampak dari belakang dagingnya kerana kecantikannya, tidak ada perselisihan antara mereka dan tidak terjadi pertengkaran, hati mereka satu, mereka memuji kepada Allah SWT pada waktu pagi dan petang”. (HR Bukhari no. 3245 dan Muslim no. 2834)

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab sahih dari Anas bin Malik radhiyallahu anhu bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,

لَرَوْحَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ غَدْوَةٌ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَلَقَابُ قَوْسِ أَحَدِكُمْ مِنْ الْجَنَّةِ أَوْ مَوْضِعُ قِيدٍ ـ يَعْنِي سَوْطَهُ ـ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَلَوْ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ اطَّلَعَتْ إِلَى أَهْلِ الْأَرْضِ لَأَضَاءَتْ مَا بَيْنَهُمَا، وَلَمَلَأَتْهُ رِيحًا، وَلَنَصِيفُهَا عَلَى رَأْسِهَا خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا» [رواه البخاري برقم 3796 ومسلم برقم 1880]

“Pergi pada waktu pagi di jalan Allah atau pada waktu petang lebih baik daripada dunia dan seisinya, dan pendeknya anak panah salah seorang di antara kalian dari syurga atau tempat cemetinya lebih baik daripada dunia dan seisinya, dan seandainya seorang bidadari dari syurga turun menghampiri penghuni bumi, maka dia akan menerangi antara langit dan bumi dan akan menyebarkan bau harum dan selendang yang menutupi kepalanya lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (HR Bukhari no. 3796 dan Muslim no. 1880)

Bidadari Syurga Sopan dan Pemalu

Allah SWT menyifatkan bidadari dengan “menundukkan pandangan” pada tiga tempat dalam al-Quran iaitu:

“Di dalam syurga, terdapat bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangan, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak juga oleh jin. Maka nikmat Rabb-mu yang manakah yang kamu dustakan? Seakan-akan biadadari itu permata yakut dan marjan.” [TMQ ar-Rahman (52): 56-58]

وَعِنْدَهُمْ قٰصِرٰتُ الطَّرْفِ عِيْنٌ ۙ
“Dan di sisi mereka ada (bidadari-bidadari) yang bermata indah, dan membatasi pandangannya.” [TMQ ash-Saffat (37): 48]

وَعِندَهُمْ قَٰصِرَٰتُ ٱلطَّرْفِ أَتْرَابٌ
“Dan di sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata) dan sebaya umurnya.” [TMQ Sad (38): 52]

Semua ahli tafsir sepakat bahawa pandangan bidadari syurga hanya dituju untuk suami mereka sehingga mereka tidak pernah memandang lelaki lain.

Wanita Beriman Lebih Baik daripada Bidadari Syurga

Ahli tafsir Al-Qurthubi rahimahullah, menjelaskan bahawa wanita dunia lebih baik dan lebih cantik daripada bidadari kerana amal baik mereka di dunia, berbeza dengan bidadari yang langsung Allah Taala ciptakan di dalam syurga. Wanita dunia juga akan menjadi ratu dan tuan puteri di syurga. Beliau rahimahullah berkata,

حال المرأة المؤمنة في الجنة أفضل من حال الحور العين وأعلى درجة وأكثر جمالا ؛ فالمرأة الصالحة من أهل الدنيا إذا دخلت الجنة فإنما تدخلها جزاءً على العمل الصالح وكرامة من الله لها لدينها وصلاحها ، أما الحور التي هي من نعيم الجنة فإنما خُلقت في الجنة من أجل غيرها وجُعلت جزاء للمؤمن على العمل الصالح ….؛ فالأولى ملكة سيدة آمرة ، والثانية – على عظم قدرها وجمالها – إلا أنها ـ فيما يتعارفه الناس ـ دون الملكة ، وهي مأمورة من سيدها المؤمن الذي خلقها الله تعالى جزاءً له

“Keadaan wanita beriman di syurga lebih utama daripada bidadari dan lebih tinggi darjat dan kecantikannya. Wanita solehah dari penduduk dunia masuk syurga sebagai balasan atas amalan soleh mereka. Inilah kemuliaan dari Allah untuk mereka kerana bagusnya agama dan kebaikan mereka. Adapun bidadari adalah sebahagian daripada kenikmatan syurga. Mereka diciptakan di dalam syurga sebagai kenikmatan bagi makhluk selainnya, sebagai balasan bagi orang beriman atas amal solehnya.

Jenis yang pertama, (iaitu wanita dunia) adalah sebagai ratu, tuan puteri, dan yang memerintah. Adapun jenis kedua, (bidadari syurga) dengan keagungan kedudukan dan kecantikannya sebagaimana yang diketahui oleh manusia maka kedudukan bidadari di bawah ratu. Dia menjadi pelayan bagi tuannya yang beriman yang Allah ciptakan sebagai balasan bagi orang beriman.” (Tafsir Al-Qurthubi, 16: 154)

Wahai kaum muslimin, capailah kebahagiaan yang hakiki dengan ketaatan total kepada Allah SWT. Seluruh kecantikan dan keindahan yang sempurna hanya ada pada jalan terindah iaitu jalan yang lurus, jalan yang ditempuh oleh hamba-hamba-Nya yang mulia, yang mengabdikan seluruh waktu, harta, dan hidupnya untuk berjuang menegakkan peraturan Allah dalam seluruh aspek kehidupan. Jangan sia-siakan waktumu dan hartamu untuk hawa nafsu yang akan menyesatkan dan membawa penyesalan yang tiada kesudahan. Mari berjuang sebagaimana perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat radhiyyallahu anhum. Lailaha Illallah. Allahuakbar!

#Nafsiyah
#BidadariSyurga
#WanitaSolehah
#LebihCantik

Exit mobile version