Site icon MuslimahHTM News

Islam Adalah Solusi Kehidupan, Bukan yang Lain

[Buletin Kaffah] Islam Adalah Solusi Kehidupan, Bukan yang Lain

Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah Muhammad SAW dengan membawa risalah-Nya untuk seluruh umat manusia. Di situ ada jaminan dari Allah SWT bahawa risalah Islam akan membawa rahmat bagi seluruh umat manusia. Oleh itu, risalah Islam akan tetap relevan dan sesuai untuk semua umat manusia dan untuk segala urusan mereka sehingga hari kiamat. Allah SWT berfirman,

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” [TMQ al-Anbiya (21): 107].

Imam al-Baydhawi (w. 685H) di dalam tafsir Anwâr at-Tanzîl wa Asrâru at-Tawîl atau Tafsîr al-Baydhâwî menjelaskan, “Tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam, kerana risalah yang Allah SWT turunkan kepada Nabi Muhammad merupakan sebab untuk kebahagiaan mereka dan menjadi sebab untuk kebaikan kehidupan mereka di dunia dan akhirat mereka.”

Islam rahmatan lil ‘alamin bermaksud bahawa syariatnya itu jalbu al-mashâlih wa dar’u al-mafâsid (mendatangkan kemaslahatan dan mencegah kemafsadatan).

Oleh itu “menuduh” Islam sebagai penyebab konflik dan punca masalah merupakan suatu bentuk kelancangan luar biasa terhadap Allah SWT dan Rasul SAW. Hal itu tentu tidak terbayang akan muncul atau keluar dari seorang mukmin.

Sumber Konflik yang Sebenarnya

Banyak sekali konflik di dunia dan banyak  masalah yang terjadi di tengah-tengah masyarakat hari ini. Faktor penyebab terbesar sebenarnya adalah penerapan sistem sekularisme-kapitalisme. Islam sebagai ideologi dan sistem kehidupan yang memang tidak diterapkan di dunia hari ini sudah tentu bukanlah penyebab semua konflik dan masalah yang berlaku. Malah Islam tidak ada kena mengena sama sekali dengan semua masalah dunia hari ini.

Perang Dunia (PD) I dan II misalnya, sebagai konflik terbesar di dunia, bukan kerana faktor Islam. Semua negara utama yang terlibat dalam PD I dan PD II, majoriti penduduknya beragama Nasrani. Konflik Korea Utara-Selatan, konflik Vietnam, konflik dan tragedi Balkan, konflik di Afrika, dan lain-lain di antara puncanya adalah cita-cita dan dasar politik negara-negara besar yang menerapkan ideologi sekularisme-kapitalisme dengan penjajahan sebagai metod bakunya.

Begitu juga dengan campur tangan Rusia terhadap Ukraine, konflik Korea, konflik Taiwan dan lain-lain, sebabnya masih sama. Konflik di negeri-negeri umat Islam seperti konflik di Iraq dulu, juga bukan disebabkan oleh Islam. Semua itu disebabkan oleh persaingan negara-negara besar dan cita-cita negara besar, khususnya Amerika untuk menguasai kekayaan alam di sana.

Hal yang sama berlaku dalam kes konflik di Syria dan Yaman sehingga hari ini. Puncanya ialah persaingan negara-negara besar kapitalis, khususnya Amerika dan Britain untuk menanamkan pengaruh dan mengawal dalam negeri itu serta akibat sokongan mereka kepada penguasa zalim, otoriter(berkuasa sendiri) dan penguasa yang telah menyengsarakan rakyat di sana.

Pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat di negara Indonesia juga bukan disebabkan faktor agama, apatah lagi Islam. Kekayaan milik rakyat, misalnya tertumpu di tangan segelintir oligarki kapitalis. Krisis ekonomi terus berlaku secara kitaran (berulang). Hutang pemerintah semakin menggunung yang sehingga akhir September 2022 telah mencapai Rp 7,420.47 triliun, (CNN Indonesia.com, 25/10/2022).

Berjuta-juta hektar tanah dan hutan dikuasai oleh pihak oligarki. Sebaliknya, berjuta-juta rakyat tidak mempunyai tanah. Harga tanah terus meningkat. Begitu juga dengan pelbagai masalah ekonomi yang lain. Semua ini tidak lain adalah disebabkan oleh penerapan sistem ekonomi kapitalisme. Bukan sama sekali kerana Islam.

Begitu juga, nilai mata wang yang terus terhakis yang membawa implikasi kepada kemerosotan nilai wang dan barang semakin mahal serta nilai kekayaan masyarakat yang semakin berkurangan. Semua ini berpunca daripada sistem kewangan wang fiat dan sistem ribawi yang tidak lain adalah sebahagian daripada sistem sekularisme-kapitalisme.

Begitu juga ramai ahli politik yang mengabaikan kemaslahatan rakyat. Mereka lebih mementingkan kepentingan diri dan kelompok. Berleluasanya rasuah dan manipulasi oleh para pegawai. Ahli politik dan penguasa yang menabur janji tetapi tidak ditepati.

Penyelewengan penguasa dan pegawai dengan para oligarki. Dominannya korporatokrasi. Terdapat banyak undang-undang dan peraturan yang menguntungkan oligarki dan para kapitalis malah sebaliknya banyak meminggirkan kepentingan rakyat. Begitu juga dengan masalah politik yang lain. Semua ini kerana asasnya ialah pelaksanaan sistem politik sekular demokrasi yang penuh dengan modal.

Meningkatnya pergaulan bebas, pelbagai kenakalan remaja, meningkatnya perceraian, keganasan dalam rumah tangga, meningkatnya dadah dan masalah sosial pergaulan yang lain, jelas bukan kerana Islam. Sebaliknya, semua yang berlaku kerana kehidupan sosial pergaulan yang diatur dan dijalankan mengikut sekularisme, hedonisme dan liberalisme.

Justeru, segala konflik di dunia dan masalah dalam masyarakat hari ini jelas bukan disebabkan oleh faktor Islam. Bahkan Islam tidak ada kaitan pun dengan semua itu. Sebaliknya, semua konflik dan masalah yang berlaku di seluruh dunia sebenarnya berpunca daripada penerapan ideologi sekularisme-kapitalisme.

Anehnya,  perkara ini tidak disebut dalam pelbagai forum global. Malah mereka menuding agama (Islam) sebagai punca konflik dan punca masalah. Tuduhan bahawa agama (Islam) sebagai punca konflik dan masalah sebenarnya merupakan pandangan khas sekularisme. Kerana, sejak awal sekularisme menolak peranan agama (Islam) dalam kehidupan.

Oleh sebab itu, solusi yang ditawarkan oleh golongan sekular seperti pluralisme agama, dialog antara agama, moderasi agama atau moderasi beragama dan yang lain merupakan solusi yang berasal dari sekularisme yang tidak menyentuh akar permasalahan konflik dan masalah yang berlaku. Solusi tersebut malah banyak menimbulkan masalah baru.

Akibat Berpaling dari Syariat-Nya

Allah SWT telah mengingatkan bahawa pelbagai kerosakan dan masalah di dunia berlaku kerana penyimpangan terhadap syariat-Nya. Allah SWT berfirman,

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah menimpakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ ar-Rum (30): 41].

Ertinya, semua kerosakan yang terjadi di dunia ini adalah kerana pelbagai jenis kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia. Kemaksiatan manusia ditunjukkan oleh sikap mereka yang berpaling dari syariat Allah SWT. Allah SWT berfirman,

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا

“Barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku (Al-Quran), maka sungguh bagi dia penghidupan yang sempit.” [TMQ Thaha (20): 124].

Kehidupan yang sempit itu tercermin dalam banyak masalah kehidupan, seperti yang berlaku hari ini. Sebabnya jelas, kerana manusia berpaling dari Al-Quran (syariat-Nya).

Syariat Islam adalah Solusi Dinamik

Islam diturunkan oleh Allah SWT. untuk mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Islam mengatur akidah dan ibadah yang bersifat peribadi termasuk mengatur akhlak, makanan, minuman, pakaian, dan sebagainya.

Islam juga mengatur aspek muamalah. Contohnya dalam aspek kewangan, Islam menetapkan wang mestilah berasaskan emas dan perak.

Dalam aspek ekonomi, Islam menetapkan beberapa peraturan/undang-undang. Islam, contohnya mengharamkan riba.

Islam juga mengatur jenis dan pengurusan pemilikan, contohnya mengawal selia lombong dengan deposit besar, sumber tenaga, kemudahan awam, dan milik umum yang lain dengan melarang individu atau sekelompok individu menguasai semua milik umum tersebut dan menyerahkan pengurusannya kepada negara untuk kepentingan rakyat.

Islam mengatur pertanahan. Islam menetapkan undang-undang tentang pertanian, industri dan perdagangan. Islam juga menetapkan beberapa undang-undang ekonomi yang lain.

Islam juga mengatur politik dan pemerintahan. Islam misalnya, menetapkan bahawa kedaulatan (hak membuat undang-undang) ada di tangan Allah SWT, kekuasaan ada di tangan umat, penguasa adalah pelayan rakyat, rakyat wajib mengawal penguasa, dan sebagainya. Islam juga menetapkan hukum pidana dan hukumannya baik hudud, jinayah, takzir, mahupun mukhalafat. Islam juga mengatur kehidupan dan pergaulan sosial.

Segala ketetapan syariat Islam sudah tentu untuk mengatur kehidupan manusia dan mengatasi pelbagai masalah mereka.

Undang-undang syariat Islam ada yang bersifat umum dan global, atau mengandungi ‘illat syarieyah dan merupakan kaedah-kaedah. Daripada nas-nas syariat itu dapat diistinbat beberapa hukum untuk menjawab masalah baru yang timbul. Dengan begitu, solusi yang dibawa oleh Islam untuk masalah manusia itu bersifat dinamik. Dengan kata lain, semua masalah yang dihadapi oleh manusia di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa pasti dapat diselesaikan oleh syariat Islam.

Allah SWT menjamin bahawa semua masalah manusia ada solusinya dalam Islam. Sebabnya, Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai penjelasan tentang segala sesuatu (tibyân[an] li kulli syai`[in]) (lihat: Surah an-Nahl [16]: 89).

Dengan demikian, syariat Islam merupakan solusi dinamik dan terbaik untuk semua masalah kehidupan manusia. Syariat Islam pastinya akan membawa rahmat, yakni mendatangkan kemaslahatan dan mencegah mafsadat bagi manusia.

Cuma, perkara itu tidak akan menjadi nyata dan berfakta kecuali jika syariat Islam diterapkan secara nyata dan secara kaffah. Ini menjadi tanggung jawab, tugas dan kewajipan kita semua. Akibatnya, kita semua mesti bergegas dan bersegera mewujudkan penerapan Islam dan syariatnya. Wallahualam. []

Hikmah:

Allah SWT berfirman,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul jika Rasul menyeru kalian pada suatu yang memberikan kehidupan kepada kalian…” [TMQ al-Anfal (8): 24].

Sumber: Buletin Kaffah No. 269, 23 Rabiulakhir 1444 H-18 November 2022 M

#Kaffah
#IslamSolusiKehidupan
#SolusiDinamik

Exit mobile version