Site icon MuslimahHTM News

Bertemu Semula dengan Keluarga di Syurga, Adakah Mungkin?

[Keluarga] Bertemu Semula dengan Keluarga di Syurga, Adakah Mungkin?

 

Penulis: Najmah Saiidah

Berkumpul dengan keluarga adalah satu perkara yang sangat istimewa bagi keluarga Islam. Lebih-lebih lagi bila kita dan keluarga berjauhan atas sebab-sebab tertentu. Contohnya suami perlu bekerja di tempat lain dan anak-anak pula ada yang belajar di bandar lain. Apabila pada suatu ketika tertentu, terutamanya pada hari-hari istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidil Adha kita dapat berkumpul atau bilamana dapat menunaikan umrah bersama-sama, pastinya kita sangat gembira.

Alangkah baiknya jika dapat berkumpul semula dengan ahli keluarga di syurga Allah SWT pada masa hadapan. Ia adalah kemuncak harapan dan doa kita pada setiap peluang terutamanya pada waktu doa mustajab.

Sesungguhnya setiap muslim menginginkan untuk bertemu dengan keluarga besar dan keturunannya di tempat baru yang penuh dengan kenikmatan dunia akhirat iaitu di syurga yang telah dijanjikan dan disediakan oleh Allah SWT.  Sesungguhnya kita semua dapat membayangkan betapa bahagianya kita.  Namun, adakah mungkin berlaku?

 

Ayat-Ayat Al-Quran Menjawabnya

 

Jika kita tadabbur dengan ayat al-Quran, terdapat beberapa kisah yang menjelaskan bahawa tidak sedikit keturunan atau keluarga yang tidak dapat bertemu lagi di akhirat seperti Nabi Nuh dan anak-anak dan isterinya, Asiah yang solehah dan suaminya, Firaun. Nabi Lut dan isterinya, dan seterusnya.

Namun, bertemu keluarga besar di syurga juga bukanlah sesuatu yang mustahil kerana banyak ayat al-Quran menjelaskan mengenai perkara ini. Ayuh keluarga muslim, mari kita teliti beberapa ayat al-Quran yang berkaitan perkara ini. Allah SWT berfirman,

جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۖ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ

“Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu” [TMQ ar-Ra‘d (13): 23]

Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalil-Quran menjelaskan peristiwa di atas sebagai perayaan atau perjumpaan di mana mereka bertemu antara satu sama lain, bersalaman, dan melakukan perkara yang menyeronokkan dan menggembirakan serta penuh penghormatan.

Ibnu Kathir rahimahullah menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah SWT akan mengumpulkan seseorang itu bersama keluarga, ibu bapa, isteri dan anak-anak serta cucunya di syurga. Inilah dalil bahawa satu keluarga boleh masuk syurga bersama-sama.

Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Allah menghimpunkan mereka bersama kekasih mereka di syurga iaitu ibu bapa, isteri, dan anak-anak mereka yang beriman dan layak masuk syurga. Sejauh mana Allah mengangkat darjat yang rendah menjadi tinggi tanpa mengurangkan darjat keluarga yang tinggi (sehingga mereka berkumpul di syurga dengan darjat yang sama).”

Dalam ayat al-Quran yang lain, TMQ az-Zukhruf, ayat 70 dijelaskan bahawa persahabatan suami isteri akan membawa mereka berdua ke syurga Allah SWT.

ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ أَنتُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ تُحۡبَرُونَ

Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.[TMQ Az-Zukhruf (43): 70]

 

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini, udkhulul jannah (“Masuklah kamu ke dalam syurga,”) bermaksud bahawa dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu ke dalam syurga.” Antum wa azwaajukum (“Kamu dan isteri-isteri kamu”) bermaksud pasangan kamu. تُحۡبَرُونَ (“kegembiraan”), iaitu kalian gembira, bermakna kalian sedang menikmatinya, bergembira, dan bahagia.

 

Penafsiran ayat ini sebenarnya telah dibincangkan dalam surah ar-Rum (30): 15,

فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فَهُمْ فِى رَوْضَةٍ يُحْبَرُونَ

“Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman syurga dalam keadaan bersuka ria.”

 

Jika kita kaitkan kedua-dua ayat ini, suami isteri yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke taman syurga yang penuh kegembiraan.

 

Imam Ash-Shabuni dalam kitabnya Shafatut tafaasir, menafsirkan ayat ini. Allah SWT berfirman kepada mereka, “Masuklah kamu dan wanita-wanita mukmin (isteri-isterimu yang beriman) ke dalam syurga. Kamu semua akan bergembira di dalamnya, dan bergembira dengan kegembiraan yang terpancar di wajahmu.”

 

Dalam tafsiran yang lain dijelaskan, maka terdengarlah seruan berikutnya, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dan isteri-isterimu ke dalam syurga yang telah dijanjikan kepadamu dahulu, bersenang-senanglah kamu di dalamnya, nikmatilah kurniaan Allah yang telah dikurniakan kepada kamu semua. Kerana Allah memuliakan mereka dengan memasukkan mereka ke dalam syurga.”

 

Dalam ayat lain, Allah SWT lebih menekankan kenikmatan yang bakal diperolehi oleh keluarga penghuni syurga.

 

إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ (55) هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ (56) لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ

“Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan. Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin. Mereka beroleh dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki. “Salam,” sebagai ucapan selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.” [TMQ Yaasin (36): 55- 57]

 

Imam Ibnu Kathir menjelaskan tentang ayat ini bahawa Allah SWT memberitahu keadaan penghuni syurga bahawa setelah mereka keluar dari mahsyar, kemudian menetap di taman-taman syurga, mereka tidak lagi mempedulikan orang lain kerana kenikmatan abadi dan keberuntungan besar yang mereka kecapi. Mereka dan isteri-isteri mereka berada di bawah naungan pepohonan, dan bersandar di atas singgahsana. Apa sahaja kenikmatan yang mereka minta, mereka akan mendapatkannya.

 

Daripada beberapa ayat al-Quran ini amat jelas sekali bahawa kita sekeluarga suatu hari nanti akan dapat berkumpul di syurga Allah SWT yang penuh dengan kenikmatan sebagaimana yang telah dijanjikan Allah SWT. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi kita umat Islam untuk melayakkan diri dan keluarga menjadi penghuni syurga Allah SWT.

 

Melayakkan Diri Menjadi Keluarga Penghuni Syurga

 

Kewujudan syurga yang Allah SWT sediakan untuk kita dan keluarga adalah satu janji yang dijamin. Cumanya dapat berkumpul bersama keluarga di syurga Allah SWT pastinya bukan perkara yang mudah untuk dicapai tetapi ia juga tidak mustahil.

 

Kita semua sekeluarga Islam mesti yakin apabila Allah SWT menjanjikan dan menyediakan syurga untuk kita, sudah tentu keluarga Islam mampu mencapainya. Terpulang kepada kita dan keluarga untuk melakukan yang terbaik untuk mencapai syurga Allah SWT. Kita hendaklah mengambil sababiyah iaitu pelbagai sebab atau usaha yang boleh membawa kita dan keluarga ke syurgaNya.

 

Dalam surah at-Tuur: 21, dijelaskan bahawa orang-orang yang beriman beserta isteri-isterinya dan anak-anak serta cucu-cucunya yang beriman akan ditinggikan di syurga sebagaimana darjat bapa-bapa mereka yang teguh imannya.

 

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ ۚكُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga)dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.[TMQ at-Tuur (52): 21]

 

Imam Jalalain dalam tafsirnya menjelaskan ayat ini bahawa maksud “Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka,” iaitu anak cucu mereka kelak di syurga supaya anak cucu mereka setaraf dengan mereka. Walaupun anak-anak dan cucu-cucunya tidak beramal seperti mereka sebagai penghormatan kepada bapa-bapa mereka agar dapat berkumpul dengan anak-anak dan cucu-cucunya (di syurga).”

 

Allah SWT menceritakan di antara doa malaikat pemikul Arsy,

رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۚإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

 

Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga “Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana..” [TMQ Ghaafir (40): 8]

 

Daripada beberapa penjelasan ahli tafsir tentang dua ayat ini dan berkaitan dengan beberapa hadis, mereka menyatakan bahawa ibu bapa dan anak-anak menarik ke syurga kerana amal soleh yang dilakukan. Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa “Allah akan mengumpulkan mereka bersama orang-orang yang dicintai di syurga iaitu ibu bapa, isteri dan anak-anak mereka yang beriman dan layak masuk syurga. Sejauh mana Allah meninggikan darjat yang rendah menjadi tinggi tanpa menurunkan darjat keluarga yang tinggi (sehingga mereka berkumpul di syurga dengan darjat yang sama)”

 

Kemudahan yang Allah SWT  berikan agar keluarga dapat masuk syurga bersama-sama ialah mereka akan menarik antara satu sama lain supaya dapat masuk syurga dan berada di syurga pada tahap yang sama. Allah SWT anugerahkan supaya mereka dapat berkumpul bersama. Boleh jadi anak berada di syurga yang tertinggi sedangkan ibu bapanya di syurga yang paling rendah, maka anak itu mengangkat darjat ibu bapanya ke syurga yang lebih tinggi begitu juga sebaliknya.

 

Anak-anak boleh meninggikan darjat ibu bapa mereka. Ini terdapat dalam banyak dalil, misalnya anak-anak yang beramal jariyah dengan terus mendoakan ibu bapa. Rasulullah SAW bersabda, “Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (iaitu): sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh” [HR Muslim No. 1631]

 

Demikian juga darjat ibu bapa diangkat oleh Allah SWT kerana istighfar anak mereka. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seseorang itu benar-benar ditinggikan darjat di syurga lalu dia bertanya, ‘Dari mana ini?’ Dijawab, ‘Sebab anakmu istighfar untukmu.“[Sunan Ibnu Majah No. 3660].

 

Daripada beberapa ayat al-Quran dan penjelasan ahli tafsir terdahulu, jelas sekali kita boleh masuk syurga bersama-sama ahli keluarga, saling menarik antara satu sama lain. Oleh itu, kita hendaklah melayakkan diri menjadi penghuni syurga Allah SWT dengan sentiasa menjadikan Islam sebagai panduan hidup kita dan keluarga dalam mengharungi kehidupan dan tanpa jemu memperjuangkan Islam di muka bumi. Semoga kita semua dapat ke syurga bersama keluarga tercinta. Amin.

Exit mobile version