[Tarikh Khulafa] Sistem Pentadbiran Kekhalifahan Bani Umayyah
Penulis: Nabila Ummu Anas
Pada zaman kekhalifahan Bani Umayyah, kekuasaan Islam semakin meluas. Wilayahnya terbentang luas bermula dari Kasghar, China sehingga ke Andalusia dan dari Laut Kaspia hingga Samudera India.
Kawasan kekhalifahan Bani Umayyah yang dikuasai dari Damsyik terdiri daripada pelbagai jenis karakter masyarakat, ras, etnik, bahasa, cara sudut pandang, dan adat istiadat. Justeru, mengumpulkan pelbagai jenis perbezaan ini dengan kawasan yang sangat luas di bawah satu naungan hukum dan aturan bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan pengurusan dan pentadbiran yang mantap dan kukuh.
Wali dan Wilayah Pentadbiran
Kawasan pentadbiran Khilafah Bani Umayyah terbahagi kepada beberapa wilayah iaitu Hijaz (meliputi Madinah, Mekah, dan Taif), Yaman, Irak (meliputi wilayah Parsi purba, wilayah Tansoxiana, dan wilayah Sindh), Al-Jazirah atau Mesopotamia (meliputi Mosul, Armenia, dan Azarbaijan), Mesir, dan Andalusia yang juga menaungi Afrika Utara.
Wali dari setiap wilayah memilih beberapa orang untuk membantu tugas mereka. Para khalifah Bani Umayyah menegaskan bahawa mereka yang menjadi pemimpin wilayah pentadbiran berasal dari keluarga atau kaum mereka, atau orang yang benar-benar setia pada negara, atau orang yang tidak diragukan kemampuan dan kredibilitinya dalam mengurus negara dan politik.
Khalifah Bani Umayyah memberikan kuasa penuh kepada wali untuk menguruskan wilayah dan bekerja sesuai dengan kebijakan mereka demi kepentingan negara. Seorang wali juga menyelia hal ehwal kewangan negara.
Kepimpinan Tidak Berpusat
Ciri pentadbiran kekhalifahan Bani Umayyah adalah kepimpinan tidak berpusat. Ini kerana wilayah kekuasaan negara sudah sangat luas sehinggakan ibu kota negara Damsyik sangat jauh jaraknya dengan wilayah di timur dan barat. Jika setiap wali di kawasan tersebut melaporkan kepada khalifah tentang dasar-dasar berhubung isu kecil atau besar, kemaslahatan masyarakat akan terabai dan keputusan akan kelihatan lambat.
Ini tidak bermakna ketua wilayah bebas melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki tanpa pengawasan atau tanggungjawab kepada khalifah. Ini kerana jika Khalifah mengetahui bahawa ketua wilayah itu bersalah, khalifah tidak akan teragak-agak untuk menukar atau memecat ketua wilayah tersebut. Mereka menjaga kestabilan dan keselamatan negara, kemaslahatan rakyat dan kewibawaan negara.
Selain memperhatikan kemampuan ketua wilayah dari segi pentadbiran, khalifah Bani Umayyah juga sangat menekankan bahawa ketua wilayah mestilah dipilih daripada orang yang bersih, amanah, istiqomah, dan berakhlak mulia.
Diwan-Diwan dalam Kekhalifahan Bani Umayyah
Pada zaman kekhalifahan Bani Umayyah, selain Diwan Pembahagian dan Ketenteraan, jabatan lain juga telah ditubuhkan iaitu Diwan Al–Kharaj yang menjadi jabatan untuk mengurus hal ehwal kewangan. Terdapat Diwan Al–Barid (surat menyurat) yang bertugas memindahkan surat keluar masuk istana baik dari dalam negeri mahupun luar negeri.
Kemudian terdapat Diwan Al–Khatim (setem), di mana pesanan Khalifah dihantar ke sana dan direkodkan.Kemudian didokumentasikan supaya dapat disemak apabila diperlukan. Arkib asal kemudian dicop dengan setem negara dan kemudian dimeterai.
Diwan Ar–Rasail iaitu diwan setiausaha yang diperuntukkan dalam menyusun surat-surat dan memorandum perjanjian yang dikeluarkan dari khalifah kepada para penguasa wilayah dan juga pejabat dalam negara.
Terakhir adalah Diwan Al–Ummal iaitu jabatan penjawat awam yang bertanggungjawab terhadap seluruh pegawai awam negeri dari segi penetapan tugas dan gaji.
Kekhalifahan Bani Umayyah tidak hanya mengembangkan jabatan-jabatan dan bahagian- bahagian yang wujud sebelum zaman mereka dan menubuhkan diwan-diwan yang difikirkan perlu demi membangunkan negara dan masyarakat, mereka juga menumpukan sepenuh tenaga untuk memilih pemimpin wilayah dan pegawai-pegawai wilayah supaya mereka menjalankan pemerintahan dengan baik. Mereka juga sentiasa mengawasi pegawai dan menjatuhkan hukum kepada mereka yang berbuat kesalahan dan memberikan penghargaan kepada mereka yang cemerlang.
Sebahagian daripada khalifah Bani Umayyah sanggup menghabiskan seluruh masanya untuk mengurus hal ehwal negara dan tidak tidur demi menyelesaikan tugas. Para khalifah dan penguasanya tidak mahu menangguhkan tugasan hari ini untuk dilakukan pada keesokan harinya kerana mereka tahu bahawa esok terdapat tugas dan tanggungjawab tersendiri. Jika pekerjaan hari ini ditangguh pada esok hari, maka kerja akan bertimbun dan mengganggu kemaslahatan rakyat.
Kejayaan para khalifah Bani Umayyah dalam menguruskan negara dan masyarakat merupakan bentuk kejayaan paling ketara serta kepakaran mereka dalam bidang undang-undang dan pentadbiran. Sesungguhnya mengatur masyarakat dan menguruskan hal ehwal mereka bukanlah sesuatu yang mudah, terutama dalam sebuah negara seperti kekhalifahan Bani Umayyah yang telah melebarkan sayap kekuasaannya kepada pelbagai suku dan bangsa.
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathi, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah, Pustaka Al-Kautsar

