[Fikrul Islam] Keistimewaan Sistem Ekonomi Islam
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Islam merupakan sistem ilahi yang unik dan diturunkan oleh Allah kepada semua manusia. Ajaran Islam telah mencakup hukum-hukum tentang peraturan seluruh kehidupan manusia. Di antaranya ialah peraturan ekonomi yang keunikannya dapat dilihat dari beberapa kekhususan berikut:
1. Syumuliyah (menyeluruh) dan ittisa’ (keluasan) dalil-dalilnya untuk memecahkan dan menguraikan seluruh permasalahan ekonomi yang dihadapi oleh manusia di dalam kehidupan sehingga hari kiamat, yang berkaitan dengan masalah harta, baik masalah pemilikan, pengelolaan mahupun pembahagian.
2. Sistem ekonomi Islam tetap memerhatikan perbezaan setiap individu dalam kalangan manusia. Islam membolehkan persaingan yang sihat (mengikut hukum syarak) dalam rangka mempunyai harta sesuai dengan kemampuan dan keperluannya. Islam juga menjelaskan kewajipan orang kaya dan hak orang miskin.
3. Sistem ekonomi Islam juga telah mengatur perbezaan setiap ciri-ciri benda yang dimiliki dan kemudian menjadikan sebahagiannya milik individu, sebahagian lagi menjadi milik umum dan negara serta memberikan definisi yang jelas bagi setiap pemilikan tersebut.
4. Sistem ekonomi Islam memelihara keseimbangan material dalam kalangan individu masyarakat dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Selain itu, Daulah Islam memberi jaminan kepada rakyat yang tidak mempunyai harta, tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mempunyai keluarga untuk diharap.
Sabda Rasulullah ﷺ,
مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلْوَرَثَتْهُ، وَمَنْ تَرَكَ كَلَلَّ فَإِلَيْنَا
“Barang siapa yang meninggalkan harta, maka berikanlah pada ahli warisnya, dan barang siapa yang berstatus kallu, maka berikanlah kepada kami.”
Al-Kallu di sini bermaksud orang yang lemah, fakir, dan al-mu’dim (fakir/miskin).
5. Sistem ekonomi Islam melarang eksploitasi dan pelaburan modal asing dalam Daulah sebagaimana Islam juga melarang pemberian hak istimewa kepada warga asing. Hal ini dilakukan supaya pihak asing tidak menguasai negeri- negeri umat Islam. Firman Allah SWT.,
…وَلَنْ يَّجْعَلَ اللهُ لِلْكٰفِرِيْنَ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ سَبِيْلًا
“Sesungguhnya Allah sesekali tidak akan menjadikan bagi orang-orang kafir jalan untuk menguasai orang-orang muslim.” [TMQ An-Nisa’ (4): 141]
6. Daulah Islam menjamin keperluan asas (al-hajat al-dharuriyah) bagi setiap individu rakyat seperti kesihatan, pendidikan, dan keselamatan. Jika ada individu yang tidak mampu, Daulah ditugaskan untuk memenuhi segala keperluan asasnya (primer), kemudian memberi peluang untuk memenuhi keperluan sekunder mengikut kemampuan mereka. Keperluan asas yang dimaksudkan ialah tempat tinggal, makanan dan pakaian.
7. Emas dan perak adalah dua jenis mata wang yang diakui (dalam negara). Dengan menggunakan standard kedua-dua jenis mata wang tersebut, Islam telah menetapkan nisab zakat, ukuran denda (diat) wang, dan had ukuran pemotongan tangan pencuri. Daulah Islam boleh menggunakan mata wang kertas sebagai pengganti emas dan perak. Hal itu dilakukan demi memudahkan aktiviti pertukaran (jual beli) dan peredaran.
#FikrulIslam
#KeistimewaanEkonomiIslam
#SistemIslam

