[Nafsiyah] Zalimul li nafsih (Menzalimi Diri Sendiri)
Para ulama menyatakan, “Hati yang bersih adalah hati yang paling mudah mengambil hikmah. Jika seseorang mengambil hikmah, akan mudah untuk bersyukur.” Allah menitipkan hikmah pada setiap peristiwa dan manusia diminta untuk mengambil hikmah darinya.
Imam Hasan Al-Bashri mengatakan, “Ada tiga bentuk kezaliman.
Pertama, kezaliman yang tidak diampun oleh Allah iaitu kesyirikan kecuali jika dia bertaubat sebelum meninggal.
Kedua, kezaliman yang tidak dibiarkan Allah iaitu kezaliman kita terhadap makhluk. Islam menjaga manusia agar tidak melakukan kezaliman. Saudaraku, kezaliman itu seperti Boomerang, sejauh mana pun kamu melempar nyata, ia akan kembali kepadamu.
Ketiga, kezaliman yang diampuni Allah iaitu kezaliman pada diri sendiri ketika dia bertaubat.
Jika kamu tidak mampu berlumba dengan orang soleh kerana ibadah mereka, maka berlumbalah dengan mereka kerana seringnya bertaubat dan memohon ampun pada Allah”.
Firman Allah SWT, “Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” [TMQ Faatir (35): 32]
Zalimul li nafsih dimaksudkan sebagai orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikan. Ini adalah disebabkan dia tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup. Akibatnya, hidupnya gelap-gelita sehingga akhirnya menganiaya diri sendiri.
Iman tidak akan berada dalam hati seseorang yang sering melakukan kezaliman. Mereka hidup tanpa arah dan tidak memiliki panduan syarie. Mereka juga tidak mengenal halal/haram, baik/buruk dan hanya hidup demi kenikmatan.
Ciri-ciri zalimul li nafsih adalah malas melakukan ibadah, sering melakukan kemaksiatan dan berbuat dosa.
Rasulullah SAW. memberi peringatan terkait orang yang menzalimi diri mereka sendiri, “Adapun orang yang menganiaya diri mereka sendiri, maka ia ditahan sehingga mengalami kesusahan dan kesedihan. Kemudian dimasukkan ke dalam syurga.” (Tafsir Ibnu Katsir)
Oleh kerana itu, kita perlu memperbaharui istighfar dan melakukannya sekerap mungkin. Firman Allah SWT., “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.” [TMQ Al-A’raaf (7): 23]
Saudariku, sesungguhnya dosa itu menghilangkan segala kenikmatan. Dosa dan kenikmatan tidak dapat menyatu seperti minyak dan air.
Kerana itu, perhatikanlah, ketika seseorang melakukan kemaksiatan, saat itu juga Allah mencabut kenikmatan untuk beribadah kepadanya. Akhirnya, ketika dia meninggalkan kewajipan solat, perkara itu akan menjadi biasa baginya tanpa ada rasa risau kerana tidak menunaikan perintah-Nya.
Semoga kita terhindar dari perbuatan menzalimi diri sendiri. Marilah terus belajar mendalami ilmu agama dan sentiasa mengamalkan setiap apa yang sudah diketahui. Tidak lupa juga untuk mendakwahkan Islam pada sesama Muslim agar tidak jatuh pada perbuatan menzalimi diri sendiri kerana ramai yang tidak mengikat diri dengan syariat-Nya sehingga mudah untuk melakukan maksiat.
Sumber : https://muslimahnews.net/2022/12/23/15864/
#Nafsiyah #zalim #orangzalim

