[Kolum Siyasah] Hina al-Quran: Meluruskan Sikap Dan Pendirian Kita Dalam Menanggapi Tindakan Biadab Berbaur Islamofobia
Pemimpin Stram Kurs, sebuah parti haluan kanan Eropah yang anti-Islam, Rasmus Paludan sekali lagi bertindak biadab dengan mencetuskan provokasi melalui perbuatan kejinya membakar al-Quran di Copenhagen, Denmark baru-baru ini. Perbuatan yang bermotifkan Islamofobia tersebut mendapat perlindungan polis Denmark serta diberi ruang oleh kerajaan Denmark atas nama kebebasan bersuara.
Terdahulu, Paludan telah membakar al-Quran di Sweden sebagai bantahan terhadap keengganan Turkiye membenarkan Sweden dan Finland menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Sementara itu, seorang lagi pemimpin parti haluan kanan Pegida, Edwin Wagensvald turut menghina al-Quran dengan mengoyakkannya di Belanda pada 22 Januari.
Apa jua alasan di sebaliknya, perbuatan menghina al-Quran jelas merupakan satu bentuk jenayah kebencian bukan hanya terhadap Turkiye, bahkan terhadap Islam dan umatnya yang berjumlah lebih daripada 1.6 bilion.
Golongan ekstremis haluan kanan Eropah seringkali menyebarkan propaganda buruk ke atas umat Islam di Eropah dengan menggambarkan mereka sebagai pendatang yang tidak bertamadun dan dikaitkan dengan peningkatan kadar jenayah di rantau tersebut. Namun, apakah tindakan provokatif dengan membakar al-Quran itu merupakan suatu tindakan yang bertamadun?
Bagaimana sewajarnya kita menanggapi kebiadaban ini?
Insiden penghinaan al-Quran ini telah mencetuskan api kemarahan umat Islam di seluruh dunia serta mendapat bantahan daripada para pemimpin negara Muslimin termasuk Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah kenyataannya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membakar al-Quran dan mengarahkan supaya sejuta naskhah al-Quran dicetak untuk diedarkan sebagai respon terhadap insiden tersebut. Terdapat juga usul daripada pertubuhan Islam yang menyeru diadakan dialog antara agama bagi menangani Islamofobia yang semakin menjadi-jadi.
Pada permukaannya langkah-langkah ini kelihatan wajar, namun hakikatnya, ia bukanlah langkah yang tepat dan tidak akan dapat menghentikan perbuatan provokatif yang disaduri Islamofobia daripada terus terjadi pada masa akan datang. Apatah lagi setelah pelakunya, Paludan berikrar dengan lisannya yang keji, bahawa ia akan terus membakar al-Quran pada setiap minggu sehingga Turkiye akur dengan desakannya.
Kebiadaban sebegini sewajarnya dibalas dengan ancaman keras serta tindakan tegas ke atas pelakunya. Manusia keji seperti Paludan, Wagensvald, dan sekutunya hanya mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada menghentikan perbuatan mereka serta memeluk Islam atau berhadapan dengan hukuman mati. Pada masa yang sama kita juga harus mendedahkan hipokrasi Barat dalam menentukan batasan ‘freedom of expression’, terutama apabila ia melibatkan penghinaan ke atas Islam.
Malangnya, para pemimpin negara kaum Muslimin hanya mampu mengeluarkan kenyataan mengecam perbuatan keji tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan tegas bagi menghentikannya. Beginilah situasi umat Islam hari ini. Kita tidak lagi mempunyai sebuah kepimpinan yang ikhlas serta tegas dalam membela Islam serta kehormatan umatnya dari terus dihina.
Dalam pada itu, terdapat pihak yang menyanggah seruan Hizbut Tahrir yang berusaha menegakkan Khilafah yang antara lain akan bertindak mengajar kebiadaban yang dilakukan serta mencegahnya daripada terus berulang. Hakikatnya, penegakan Khilafah merupakan satu-satunya solusi tuntas bagi menghentikan penghinaan ke atas kehormatan Islam ini. Dengan tertegaknya Khilafah, maka umat ini akan kembali mempunyai kepimpinan yang akan menaungi mereka serta memelihara Islam daripada terus dihina. Kepimpinan Khilafah ini juga tidak akan membiarkan kebiadaban ini berterusan, bahkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk melancarkan jihad bagi menghentikannya.
Di samping itu, Khilafah bukan sekadar memelihara mushaf al-Quran daripada dihina sedemikian rupa, bahkan institusi Khilafah yang diperjuangkan ini juga akan menerapkan kandungannya sekaligus membumikan al-Quran dan as-Sunnah dalam segenap aspek kehidupan.
Usaha mendirikan Khilafah bukanlah tanggungjawab Hizbut Tahrir semata-mata, bahkan ia merupakan kewajipan yang terpikul di atas bahu seluruh umat Islam yang benar-benar mencintai al-Quran serta menghayati isi kandungannya.
Sumber: mykhilafah

