SN624 – Malaysia Madani: Antara Slogan Dan Tuntutan
Semestinya setiap rakyat menginginkan sebuah negara yang sejahtera dan kerajaan yang stabil. Oleh itu, setiap kerajaan baharu yang terbentuk pasti akan berlumba-lumba untuk mempromosi idea baru yang dilihat mampu membawa negara ke arah yang lebih baik. Sebelum ini kita pernah di dendangkan dengan slogan Rahmatan Lil Alamin, Islam Hadhari, 1Malaysia, Dasar Manhaj Rabbani, Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan pelbagai slogan dan dasar agar kerajaan yang memerintah dilihat kekal relevan dalam menerajui negara.
Terbaru, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya konsep Malaysia Madani dijadikan sebagai jalan ke depan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang terdiri pelbagai kaum dan budaya. Enam rukun utama MADANl iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan bermatlamat untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain. Kata kunci visi ini adalah MADANl, yang pada asasnya merupakan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama.
Setiap kali kerajaan baru terbentuk membawa slogan dan dasar yang baru, ia tidak akan terlepas daripada kritikan. Namun apa yang penting bagi kita adalah untuk menilai kritikan samada ia selari dengan kepercayaan yang mendasari keimanan kita.
Penjenamaan Negara Madani
Pada dasarnya, istilah Negara Madani (Sivil) tidak ditemukan sama sekali dalam khazanah pemikiran Islam. Istilah ini muncul sebagai reaksi balas terhadap Negara Teokrasi (Agama) yang mendominasi Barat pada abad pertengahan (5-15M). Negara Madani (NM) mulai digagaskan oleh para pemikir dan ahli falsafah Barat seperti Niccolo Machiavelli, Thomas Hobbes, John Locke dan ramai lagi se awal abad ke-15M yang menjadi titik mula penentangan terhadap kekuasaan mutlak pihak Gereja yang berkerjasama dengan para raja di Eropah. Mereka sepakat tanpa khilaf bahawa antara ciri utama NM adalah memisahkan peranan agama daripada pengaturan kehidupan masyarakat (fashluddin ‘anil-hayah) atau sekularisme. Selain ciri sekular, dua lagi ciri asas yang membentuk NM adalah demokrasi dan nasionalisme. Dua prinsip asas dalam amalan demokrasi adalah (i) pemimpin haruslah dipilih oleh rakyat, bukan lagi kekuasaan secara turun-temurun dengan dakwaan sebagai pilihan Tuhan; dan (ii) semua hukum haruslah bersumber dari kehendak rakyat, bukan lagi dibuat oleh tokoh gereja atau raja.
Namun, ada yang mendefinisikan, bahawa NM adalah negara yang bukan ditadbir oleh junta tentera; atau bahawa NM adalah negara moden yang mengikuti perkembangan sains dan teknologi. Definisi ini tidak benar, kerana ia mengabaikan konteks sejarah lahirnya NM di Eropah. Walhal, bermulanya gagasan NM bukanlah pada aspek dominasi junta tentera atau sains dan teknologi, melainkan soal hubungan urusan dalam negara dengan dominasi agama (gereja) saat itu.
Pertembungan Hak dan Batil
Kini, kita dapati bahawa wacana Negara Islam sudah mula pudar dan mendapat reaksi berbeza daripada intelektual dan pemikir kontemporari. Kerelevanan dan realiti konsep Negara Islam ini mula disemak dan dikaji semula setelah melihat pengalaman negatif beberapa gerakan Islam dan tekanan indoktrinasi idealisme Barat. Seiring dengan wacana yang mengkritik konsep Negara Islam ini, bermulalah usaha untuk mengalihkan pemikiran umat Islam kepada konsep NM berlandaskan nilai-nilai Islam atau membawa maksud ‘Negara Sivil Beridentitikan Islam’ yang didakwa lebih segar dan realistik. Rashid Al-Ghannoushi merupakan antara pemikir dan pengasas parti Ennahda di Tunisia yang terkehadapan mempromosi gagasan NM.
Wael Hallaq dalam bukunya berjudul ‘The Impossible State’ membuktikan menerusi aspek ontologi dan deontologi bahawa konsep Negara Islam itu adalah berlawanan dengan konsep NM yang lahir daripada revolusi Barat se awal abad ke-15. Beliau juga melakukan kritikan mendalam terhadap idea modernisasi. Malangnya, sebahagian sarjana Muslim berpendirian bahawa idea Negara Islam perlu selari dan relevan dengan dunia moden hari ini. Kemudian mereka membawa naratif bahawa konsep Negara Islam dan NM (Negara Sivil Bercirikan Islam) mempunyai matlamat sama tetapi fokus dan pendekatannya adalah berbeza. Mereka juga berhujah, konsep Negara Islam (Khilafah) lebih bercirikan undang-undang dan penguatkuasaan, manakala konsep NM ini lebih berorientasikan suara rakyat atau masyarakat sivil. NM ini juga mengambil kira faktor keamanan, perkongsian kuasa dan mengamalkan pluralisme politik. Mereka pada hakikatnya bersikap selektif, bias dan tidak berpegang dengan qa’idah fikriyah (kaedah berpikir) yang Islami.
Di sebalik itu, gerakan yang membawa perjuangan menegakkan konsep Negara Islam digambarkan dengan naratif yang negatif melalui pelabelan “Islamist” dan sering disalah erti sebagai kumpulan yang membolehkan penggunaan kekerasan untuk mengembalikan sistem Khilafah. Walau bagaimana pun, kita menyedari bahawa segala bentuk klasifikasi terhadap umat Islam dan naratif buruk yang dilemparkan ke atas ajaran Islam sebenarnya didalangi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya yang ingin terus menguasai dunia dengan kempen “new world order” dan “war on terror”.
Kesempurnaan Ajaran Islam
Jika dahulu Tuan Guru Haji Hadi pernah mengkritik konsep Islam Hadhari, kali ini beliau juga turut tampil memberi respon terhadap model Malaysia Madani. Beliau menjelaskan bahawa konsep madani yang sebenar telah berjaya dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dengan berpandukan nas dan ijtihad yang berkonsepkan Siasah Syar‘iyyah dan Maqasid al-Syari’ah di mana Islam wajib menjadi petunjuk dan memimpin kerana kesempurnaan ajarannya daripada konsep ad-Deen, bukan sekadar agama.
Mengambil Islam sebagai ad-Deen mestilah memenuhi tuntutan syariat Islam itu sendiri. Al-‘Allamah Sheikh Taqiuddin An-Nabhani di dalam kitab Nizhamul Islam telah merumuskan bahawa: “Islam adalah Agama yang diturunkan Allah kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Khaliq-nya, dengan dirinya dan dengan manusia sesamanya. Hubungan manusia dengan Khaliq-nya mencakup peraturan yang berkaitan dengan akidah dan ibadah. Hubungan manusia dengan dirinya mencakup peraturan yang berkaitan dengan akhlak, makanan, dan pakaian. Hubungan manusia dengan sesama manusia mencakupi peraturan yang berkaitan dengan mu’amalah dan uqubat“.
Hubungan tiga dimensi ini terkandung di dalam ajaran Islam yang melayakkannya untuk dijadikan cara hidup sempurna sepertimana firman Allah (swt), “Sesungguhnya agama yang diterima Allah adalah Islam” [TMQ ali-Imran: 19]. Firman-Nya lagi, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ al-Baqarah: 208]. Tidak sedikit nas di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang memperlihatkan kesempurnaan ajaran Islam dalam semua aspek. Tatacara untuk melaksanakan mabda’ (ideologi) ini pula ialah dengan menerapkannya di dalam wadah Negara Islam (Khilafah) yang mampu membawa kesejahteraan kepada umat manusia.
Kesimpulan
Niat untuk memberikan sesuatu yang terbaik itu amatlah kita hargai, namun apakah kita akan dapat mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk Islam dan umat Islam jika dasar negara ini masih kekal dengan acuan sekular? Perkenalkanlah apa sahaja slogan, namun jika Islam tidak menjadi dasar bagi negara, mana mungkin kita akan mendapat keredhaan disisiNya. Hakikatnya, semua slogan atau gagasan apa sekali pun atas nama ‘Islam’ yang cuba dilakukan hanyalah usaha untuk menyembunyikan kezaliman dan keburukan sistem kapitalisme-demokrasi yang dipaksakan ke atas rakyat hari ini. Begitu juga dengan hakikat rakyat yang dihimpit dan menderita dengan pelbagai masalah, juga tidak akan berubah.
Sebagai umat Islam, sudah pasti keyakinan kita dibentuk oleh keimanan kepada yang Maha Esa yang menuntut perlaksanaan syariatNya secara kaffah (menyeluruh) dalam semua aspek termasuk pendidikan, perekonomian, perundangan dan politik – bukan berlindung di sebalik pelbagai jargon dan helah atas alasan kemajmukan seolah-olah menafikan kesempurnaan syariat Islam yang diturunkan oleh Yang Maha Mengetahui. Seiring dengan salah satu rukun MADANI yang perkenalkan iaitu “Keyakinan”, maka kami dan umat Islam akan terus menyeru dan memuhasabah pemerintah agar menerapkan syariat Islam secara keseluruhan, bukan hanya berorientasikan Negara Sivil Bercirikan Islam agar dengannya negara ini menjadi Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.
Sumber: mykhilafah

