Site icon MuslimahHTM News

Sa’id bin Amir al-Jumahi, Potret Sederhana sang Gabenor

[Tokoh Inspirasi] Sa’id bin Amir al-Jumahi, Potret Sederhana sang Gabenor

 

Namanya terkenal dikalangan para sahabat Nabi SAW Sa’id bin Amir al-Jumahi, seorang yang menjual dunia untuk kepentingan akhiratnya. Beliau mencukupkan diri dengan mengambil hanya sebatas yang beliau perlukan dalam hidupnya, tidak berlebihan dan sangat sederhana.

 

Tatkala Khalifah Umar bin Khattab RA melantiknya sebagai Gabenor Homs di Syam, beliau pun berkata, “Wahai Umar, saya memohon kepada Allah semoga anda tidak mendorong saya untuk cenderung kepada dunia.”

 

“Celakalah engkau!” kata Umar. “Engkau telah meletakkan beban pemerintahan ini di bahuku. Tetapi kemudian engkau menghindar dan membiarkan aku susah sendiri.” keluh Umar. “Demi Allah! Saya tidak akan membiarkan anda,” jawab Sa’id.

 

Kesederhanaan Sa’id bin Amir

 

Suatu hari, khalifah melakukan kunjungan ke Wilayah Syam. Setibanya di daerah Homs, beliau mendengar banyak keluhan dari penduduk tersebut. Beliau kemudian menanyakan khabar tentang pemimpin Homs.

 

Sang Khalifah bertanya, “Bagaimana khabar pemimpin kalian?” “Itulah yang ingin kami keluhkan wahai Khalifah!” jawab mereka.

 

Tidak mahu berburuk sangka, sang Khalifah pun mengumpulkan mereka dengan pemimpinnya. “Apa yang kalian keluhkan?” tanya Khalifah.

 

Mereka menjawab, “Pemimpin kami tidak menemui kami kecuali saat matahari sudah tinggi. Yang kedua, dia tidak pernah mahu ditemui saat malam hari. Ketiga, dalam satu bulan, ada satu hari dimana dia sama sekali tidak menemui kami. Dan yang keempat, kami selalu menemui beliau dalam keadaan murung dan sedih, sehingga orang-orang keluar dari majlisnya.”

 

Khalifah berpaling dan bertanya, “Benarkah itu wahai Sa’id?” Sa’id berkata, “Demi Allah, ini amat berat untuk aku katakan. Kami adalah keluarga miskin sehingga aku sendiri yang perlu memenuhi keperluan keluargaku di pagi hari. Lalu aku berwudhuk dan menemui rakyatku.”

 

“Yang kedua, sebenarnya aku juga enggan menyebutkannya. Akan tetapi, aku telah menjadikan siangku untuk manusia. Maka kujadikan malamku untuk Allah (beribadah).”

 

“Yang ketiga, wahai Amirul Mukminin, aku tidak mempunyai pakaian kecuali yang aku pakai ini sehingga aku perlu mencucinya sekali setiap bulan dan menjemurnya untuk dipakai di kemudian hari.”

 

Untuk yang keempat, Sa’id melanjutkan, “Saat aku berkubang dalam kemusyrikan, aku melihat kematian sahabat Nabi SAW, Khubaib bin Adi. Saat dia diseksa, orang-orang Quraisy bertanya kepadanya, ‘adakah dia mahu jika Rasulullah menggantikannya?’ Khubaib menjawab bahawa ‘dia tidak rela jika dia, keluarga dan anak-anaknya selamat sedangkan Rasulullah terluka walaupun hanya kerana sebuah duri.’ Sehingga saat ini, aku khuatir Allah tidak mengampuniku kerana tidak tergerak untuk menolongnya (Khubaib).”

 

Umar pun berseru, “Maha Suci Allah yang telah menyelamatkan aku dari berburuk sangka kepada Sa’id.”

 

Gabenor yang Miskin

 

Suatu hari, datanglah rombongan Homs ke Madinah untuk menyampaikan hajat mereka kepada Khalifah Umar. “Tuliskan Untukku nama-nama orang fakir dan miskin di negeri kalian untuk dipenuhi keperluannya.” Ujar Khalifah Umar.

 

Mereke pun menyerahkan nama-nama itu. Kemudian sang Khalifah tersentak ketika melihat satu nama yang tertulis di situ. Dengan penuh rasa ingin tahu, beliau bertanya, “Siapa Sa’id bin Amir?” mereka menjawab, “Dia adalah gabenor kami, wahai Amirul Mukminin.”

 

“Gabenor kalian seorang yang miskin?” soal khalifah. “Benar, ya Amirul Mukminin. Sudah beberapa hari tidak kelihatan asap berkepul dari dalam rumahnya.” jawab mereka.

 

Mendengar hal itu, Khalifah Umar menangis sehingga air matanya membasahi janggutnya. Kemudian beliau mengambil wang sebanyak seribu dinar untuk diberikan kepada Sa’id. “Kembalilah ke Homs. Sampaikan salamku kepadanya (Sa’id) dan berikan harta ini untuk memenuhi keperluannya.” Ujar khalifah Umar.

 

Tatkala Sa’id mengetahui Khalifah Umar memberikannya wang yang banyak, dia berkata, “Inna lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun”, seakan-akan dia ditimpa oleh sebuah bencana besar.

 

Isterinya yang sedang risau bertanya, “Apa yang terjadi? Adakah Amirul Mukminin telah meninggal?” “Bencana telah masuk ke dalam rumah kita, ” jawab Sa’id.

 

Tanpa mengetahui pemberian khalifah, sang isteri berkata, “Menjauhlah darinya!” Sa’id bertanya kepada isterinya, “Mahukah kau membantuku?” “Ya,” jawab isterinya dengan penuh taat. Maka suami isteri tersebut membahagikan seribu dinar itu dalam bekas-bekas kecil kepada para fakir miskin.

 

Teladan seperti Sa’id tidak akan pernah lahir di dalam sistem kapitalis sekular. Penyakit wahn telah bersarang di dada para pemimpin hari ini. Jangankan menjadi miskin, untuk sekadar membahagi separuh kekayaan yang mereka dapat saja rasanya mustahil berlaku.

 

Sungguh sangat jauh untuk kita temukan peribadi pemimpin yang begitu sederhana dalam sistem sekular. Menjauhi kenikmatan dan kekayaan dunia kerana menganggapnya sebagai musibah bagi akhiratnya. Betapa Islam tidak pernah kehabisan contoh peribadi yang luar biasa yang patut menjadi teladan sepanjang masa. Peribadi yang lahir di bawah asuhan sistem Islam. Bukankah kita begitu rindu dengan sosok pemimpin seperti Sa’id dan sistem yang menaunginya?

 

*Diolah dari berbagai sumber

 

Sumber : https://muslimahnews.net/2022/11/25/14775/

 

#KisahInspiratif #pemimpin #pemimpincontoh #teladanikepimpinan

Exit mobile version