Site icon MuslimahHTM News

THARIQAH (METOD) MEWUJUDKAN PERUBAHAN HAKIKI

THARIQAH (METOD) MEWUJUDKAN PERUBAHAN HAKIKI

 

Perubahan hakiki dalam memastikan kehidupan manusia ini diuruskan dengan sebaiknya sudah pastinya perlu mengikut apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Satu-satunya jalan yang syarie untuk melakukan perubahan ialah dengan mengikuti jalan yang telah dilalui oleh rasulullah SAW, yang telah diwajibkan ke atas kita untuk mengikutinya. Jalan ini bukan sahaja benar, malah telah terbukti berjaya membawa perubahan yang penuh kebaikan bukan sahaja kepada bangsa atau tempat tertentu, tetapi kepada seluruh bangsa di seluruh dunia.

 

Ia berbeza dengan perubahan yang dilakukan oleh manusia tanpa pimpinan wahyu dimana proses perubahan yang dilakukan bukan sahaja boleh menjerumuskan seseorang ke dalam dosa, malah usaha perubahan juga boleh beralih arah, berbelit-belit dan tidak akan mencapai matlamat, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan tanpa adanya visi yang jelas dan diterajui oleh kepala-kepala yang mempunyai kepentingan tersendiri yang berbeza-beza.

 

Pertama: Rasulullah SAW membentuk satu kutlah (kelompok) yang terdiri daripada para sahabat yang telah memeluk Islam pada waktu itu dan melakukan tasqif (pembinaan) tanpa henti terhadap kelompok ini dengan akidah dan syakhsiyyah Islamiyyah serta mempersiapkan kelompok ini untuk terjun ke medan dakwah dan perjuangan. Kelompok ini juga dipersiapkan menghadapi apa sahaja cabaran, halangan dan ujian di jalan Allah, walaupun nyawa menjadi galang gantinya dan dalam masa yang sama, mereka dipersiapkan untuk menjadi golongan umara’ (pemerintah) dalam sebuah negara yang bakal terwujud kelak, dalam rangka menerapkan segala hukum Allah SWT di muka bumi.

 

Jadi, wujudnya kelompok seperti ini adalah suatu yang mesti dan setiap orang yang mahu mewujudkan perubahan hakiki mesti bergabung bersama kelompok ini. Kelompok/parti ini haruslah bersifat politik, terorganisasi dan berideologikan Islam kerana proses perubahan yang dituntut ialah proses politik, begitu juga negara yang hendak didirikan dalam rangka menerapkan hukum Allah secara kaffah, merupakan sebuah institusi politik Islam. Aktiviti politik yang dilakukan oleh kelompok/parti ini merupakan aktiviti politik yang komprehensif kerana ia bukan sahaja melakukan tasqif terhadap ahli-ahlinya, tetapi juga terhadap masyarakat serta membina pandangan umum (ra’yul am / public opinion) dengan pemikiran Islam yang terhasil daripada kesedaran umum (wa’yul am / public awareness).

 

Kelompok/parti politik ini juga membangun ra’yul am dalam masyarakat akan kewajipan mendirikan sebuah negara (Khilafah), membongkar strategi jahat kaum kuffar ke atas umat Islam serta melakukan penggulatan pemikiran (antara yang hak dan batil). Parti politik ini terjun ke dalam masyarakat dalam rangka melakukan amar makruf nahi mungkar dan memuhasabah pemerintah agar menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi dengan penyelesaian yang diberikan oleh Islam dan bukan dengan penyelesaian selainnya. Persiapan dan pemikiran yang benar yang dibawa oleh kelompok ini amat penting kerana pemikiran inilah yang akan dilaksanakan sejurus mereka meraih kekuasaan tanpa terkial-kial mencari formula bagaimana untuk mengendalikan negara.

 

Kedua: Dukungan daripada umat/masyarakat. Sokongan daripada umat merupakan perkara yang mesti ada, kerana umat adalah pemilik kekuasaan yang sebenar dalam sesebuah negara. Sebagai pemilik kekuasaan, umat akan menyerahkannya kepada siapa yang mereka kehendaki. Jadi, parti politik yang bergerak ke arah perubahan akan menjelaskan kepada umat akan hal ini dan memandu umat dalam membuat pilihan yang benar dan tanpa melakukan ‘rampasan’ kekuasaan daripada umat. Setelah umat yakin dan percaya dengan parti yang membawa perubahan yang benar ini, maka umatlah yang akan mengangkat mereka sebagai pemimpin dan akan menolak pemimpin yang sedia ada.

 

Atas tasqif dan kesedaran yang dibawa oleh parti politik tadi, umat bergerak bersama-samanya dalam melakukan perubahan, bukan atas desakan keperluan hidup semata-mata, tetapi atas kesedaran ideologi Islam yang mereka anuti. Dorongan terbesar dalam menggerakkan umat untuk melakukan perubahan adalah disebabkan ra’yul am yang telah terbentuk hasil dari wa’yul am oleh kelompok politik tadi. Proses dakwah yang berterusan akan menjadikan pemikiran dan perasaan umat menyatu dengan pemikiran dan perasaan kelompok politik yang mentasqif mereka. Pendek kata, ‘projek perubahan’ yang dibawa oleh parti politik tadi telah menjadi projek umat tanpa ada perbezaan antara keduanya. Apabila hal ini terjadi, maka akan terbentuk sokongan padu daripada umat terhadap parti politik Islam yang mengetuai gerakan perubahan ini sehingga umat mahukan mereka memerintah dan umat akan mengangkat mereka ke tampuk pemerintahan dan umat akan mempertahankan pemerintahan yang didirikan oleh kelompok ini atas dasar kewajipan bersama.

 

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah di Mekah walaupun ternyata sebahagian besar masyarakat Mekah menolak dakwah baginda. Rasulullah SAW kemudian mengutus Mus’ab bin Umair ke Yatsrib (Madinah) dan ternyata Mus’ab berjaya mendapat dukungan daripada penduduk Yatsrib terhadap dakwah yang dibawa oleh Mus’ab (yang mewakili Rasulullah SAW), sehingga penduduk Yatsrib akhirnya sangat mengharapkan Rasulullah SAW menjadi ketua mereka dan memerintah mereka dengan Islam.

 

Ketiga: Mencari nusrah (pertolongan) daripada ahlul quwwahAhlul quwwah adalah mereka yang al-qadirun ala i’tha’ al-hukm (berkemampuan untuk memberikan kekuasaan). Mereka boleh sahaja terdiri daripada kelompok yang sedang memiliki kekuasaan seperti mana-mana ketua negara (yang ditaati oleh tenteranya) atau pun mana-mana Ketua Tentera atau ketua mana-mana kelompok, walaupun tidak memegang kekuasaan dalam negara, tetapi memiliki kekuatan militer yang kuat. Dukungan daripada ahlul quwwah ini amat penting bukan sahaja dalam rangka untuk parti politik tadi naik ke tampuk pemerintahan, tetapi kerana ia bakal menjadikan negara yang ditegakkan itu berdiri dengan bebas tanpa perlu bergantung kepada kuasa asing.

 

Ahlul quwwah atau dikenali juga sebagai ahlul nusrah ini haruslah kelompok yang kuat iaitu mereka yang, dengan kekuatan yang mereka miliki, mampu menyerahkan kekuasaan sesebuah negara, kepada kelompok politik yang memintanya daripada mereka. Ahlul quwwah wajib Muslim. Boleh sahaja mereka sebelumnya kelompok kafir, tetapi nusrah tidak akan diterima daripada mereka sehingga mereka memeluk Islam. Ahlul quwwah yang memberi nusrah kepada kelompok politik tadi mestilah memberi nusrah tanpa sebarang syarat dan mereka bukan sahaja mendukung perjuangan yang dibawa oleh parti politik tadi, malah akan mendukung negara yang bakal didirikan dengan sepenuh hati dan kekuatan mereka. Ahlul quwwah ini juga mestilah bebas daripada sebarang perjanjian antarabangsa yang mengikat mereka yang bertentangan dengan Islam.

 

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW tatkala baginda mencari nusrah daripada kelompok-kelompok kuat di sekitar Mekah. Namun ternyata kesemua kelompok tersebut menolak nusrah yang diminta oleh baginda atau meletakkan syarat sehingga Rasulullah SAW menolak nusrah mereka. Akhirnya Rasulullah SAW berjaya mendapatkan nusrah daripada kelompok Aus dan Khazraj yang sanggup memberikan nusrah kepada Rasulullah SAW tanpa syarat, sehingga Allah SWT memuliakan kelompok ini dengan pelbagai kemuliaan dan digelar sebagai kaum Ansar (yang memberikan pertolongan). Hasil dari nusrah dari kaum Ansar inilah, Rasulullah SAW akhirnya berjaya mendirikan Daulah Islam dan menerapkan keseluruhan hukum Allah SWT dalam bentuk bernegara. Dengan adanya negaralah, maka umat Islam terus bangkit menjadi umat yang mulia dan menguasai dunia serta membawa perubahan, kebaikan dan rahmat kepada dunia.

 

Inilah secara ringkasnya jalan perubahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, yang mana jalan perubahan ini bukan untuk disemadikan di dalam kitab atau dijadikan sirah (sejarah) semata-mata, tetapi merupakan jalan yang “wajib” diikuti oleh mana-mana Muslim dan gerakan Islam yang berjuang ke arah perubahan.

 

Sumber rujukan: SN 460

 

 

Exit mobile version